Akan Datang!

Sunday, February 12, 2017

Lagu Terbaru Namewee Dikatakan 'Takde Bulu, Tapi Tak Halal'


Sebut sahaja nama Namewee, pasti ada yang akan kaitkan dengan isu-isu lirik lagu Negaraku, dan juga MTV yang dikatakan menghina agama suatu ketika dahulu. Pada 11 Februari 2017, Namewee, melalui akaun rasmi Youtubenya telah mengupload sebuah lagu baru yang berbentu reggae. 

Lagu tersebut memaparkan seorang bos yang sangat besar barang di dadanya mengarahkan pekerjanya melakukan kerjanya, kemudian, pekerja yang stress itu menanggalkan pakaiannya satu persatu. Apa yang terjadi seterusnya ialah persembahan MTV yang unik dengan gadis seksi. 

Oh, come on, kau nak kecam lagi kah? Lantak kaulah. Tapi, aku rasakan lagu Sorry Bos ni sangat catchy dan best!


Layan!

Melalui akaun Facebooknya, Namewee menyatakan bahawa "music video ini takde bulu ape tapi tak HALAL…"

 Update:


Friday, February 10, 2017

Review: Kaabali (Malay Dubbed Version)

Tahun Terbit | 2016
Pengarah | P.A Rajinth
Pelakon | Rajinikanth, Winston Chao, Radhika Apte, Dhansika

“Kami diabaikan oleh orang Melayu, dipinggirkan oleh orang Cina, dan dibiarkan oleh orang India” 

Itu ialah antara ayat yang agak baik untuk menggambarkan keseluruhan inti Kaabali. Berkesempatan untuk menonton sebuah filem yang superhit tahun lepas selepas ditayangkan di Astro First, aku tergerak untuk memberi sedikit komen kepada filem ini yang pertama kalinya bergerak mewakili kaum India di Malaysia. 

Kaabali rupanya bukan sebuah filem yang dipenuhi aksi biasa. Malah, atmosferanya juga berbeza apabila hampir 90% filem ini dilakonkan di Malaysia. Malah, babak endingnya di sebuah menara yang tidak wujud itu, which is dilakonkan di dalam studio, lalu diletakkan di Malaysia melalui CGI menjadikan iana sangat memukau. 

Ceritanya bukanlah sebuah filem Rajinikanth yang selalu kita lihat. Rajinikanth masih dengan watak biasanya, namun pengarah, P.A Ranjith memberikan adunan yang berbeza dalam membentuk filem ini. Mungkin ada yang akan kurang selesa dengan filem ini, jika ada yang pernah menonton filem Rajinikanth sebelum ini yang penuh aksi. 

Dalam Kaabali, Rajinikanth diberikan watak yang lebih sesuai dengan usianya. Watak seorang gangster yang baru keluar dari penjara, lalu cuba untuk memperbaiki hidup yang masih terlekat kisah silam, dan mencari kembali sisa-sisa hidup yang masih ada di sepanjang usianya dipaparkan dengan cara yang sangat baik. 

Rajinikanth pula tidak melampau-lampau dengan gayanya, malah, lakonan dan emosinya antara yang menarik untuk disaksikan. 

Selepas menonton Kung Fu Yoga beberapa hari lepas, aku tidak rasakan yang gabungan Cina dan India bukan lagi perisa yang pelik. Winston Chao, walaupun agak peliklah tutur katanya, nampak sangat-sangat ohsem walaupun dia tidak diberi ruang untuk beraksi dengan lebih banyak. Kau akan nampak dia banyak pegang colok dan juga adegan slow mo yang melemaukan. 

Aku berkesempatan menonton filem ni dalam versi dubbing Bahasa Melayu. Apa yang aku mampu katakan, dubbing filem ni sebenarnya satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan. The team yang bergabung untuk mengalih bahasakan setiap watak memang melakukan tugas dengan baik. Apatah lagi, Jalaluddin Hassan memainkan peranan yang sangat baik sebagai watak jahat. Malah, alih bahasa watak Kaabali juga sesuai. 

Malah, aku tertarik juga mendengar setiap dialog. Perkataan yang digunakan kedengaran seperti menonton KL Gangster 3. Ada ayat-ayat yang memang digunakan biasa dengan orang muda yang selalu menonton filem sebegitu dan ianya sangat segar. Kau trylah tonton versi BM, aku rasa kau takkan kecewa.

Norman Hakim dan Zack Taipan tidaklah menonjol sangat. Tetapi, Rosyam Noor nampaknya diberi ruang untuk beraksi pada hujung filem melawan Kaabali. Satu kebanggaan walaupun dialognya memang boleh dikira dengan jari dan hanya muncul menunjukkan muka senyumnya sahaja. 

Cuma, iyalah, apabila aku menonton sebuah filem India, aku cuma mengharapkan setiap aksi dan tembak menembak tidak dimusnahkan emosinya dengan potongan LPF yang agak mengganggu. Namun, penceritaan filem ini masih layak dinikmati walaupun filem ini agak mengecewakan pada babak aksinya kerana potongan LPF yang sangat kejam untuk menghilangkan kekejaman. 

Cinta, balas dendam dan sebuah kehidupan India kasta rendah dipaparkan dalam Kaabali. Secara jujurnya, Kaabali ibarat sejarah benar dalam fiksional. Kaabali itu sebuah watak rekayasa, namun apa yang berlaku itu ialah satu kebenaran. Kaabali mewakili kaum India di Malaysia yang dahulunya ditindas oleh kaum lain. 

Terbaik! Aku harap sangat endingnya masih membuka ruang untuk sebuah lagi kisah Kaabali yang belum diceritakan. 

4/5

Thursday, February 2, 2017

Review: Raees

Tahun Terbit | 2017
Pengarah | Rahul Dholakia
Pelakon | Shah Rukh Khan, Nawazuddin Siddiqui, Mahira Khan

Dua filem lakonan dua aktor popular Bollywood bertarung tarikh tayangan yang sama. Daripada Kaabil, dan Raees, masing-masing ada pengikutnya yang tersendiri. Ada yang menyatakan pelbagai pendapat berbanding dua filem ini. Aku perlu memilih. Tiada masa untuk menonton dua filem yang berdurasi hampir 3 jam ini pada masa satu hari. Maka, aku pun memilih Raees. 

Kenapa? Kerana Shah Rukh Khan ada track record yang agak baik melalui Fan selepas gagal dengan Dilwale. Malah, pelakon itu juga nampaknya sering tampil dengan cerita yang nampak real dan berat sejak dua menjak ini. Hrithik Roshan pula nampak gagal dalam Bang! Bang! yang mana ialah adaptasi rasmi dari filem Hollywood Knight and Day. 

Aku mahu menonton sebuah filem Bollywood yang sedikit berat dan memerlukan aku untuk merasai jiwa dan segala falsafah yang ada. Tidak sempat menonton Dangal, Raees ialah pengubatnya. Walaupun Dangal dan Raees bukanlah dua filem yang sama genre, isinya yang lebih kepada pemikiran dan juga kehidupan antara perkara yang membuatkan aku membandingkannya. 

Shah Rukh Khan kelihatan seperti watak dalam filem Don yang diterbitkan oleh penerbit yang sama. Cuma, dalam Raees, wataknya dikisahkan sebagai watak jahat yang ada sisi baiknya. Watak Raees ialah sebuah watak yang besar yang menyebabkan kita sendiri faham kenapa title filem ini memerlukan namanya sebagai tajuk. 

Raees bukan sekadar hiburan. Ianya ialah paparan sebuah kehidupan yang sememangnya agak memeritkan. Menjadi seorang yang disanjungi, lalu dikhianati dan seterusnya berakhir dengan penipuan yang tragis, Raees mampu untuk membuatkan kau rasa simpati dengan kehidupan watak ini dari awal sehingga akhir. 

Tidak aku nafikan jika filem ini ialah antara filem yang bagus dan baik selepas kegagalan Dilwale walaupun ianya berbekalkan cerita yang cliche di Bollywood. Watak Shah Rukh Khan yang luar biasa dan kehebatannya ada seperti menonton Karan Arjun mahupun Dil Se versi baru. 

Filem ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu sebelum intermission dan juga selepas intermission. Pada aku, bahagian paling menarik bagi filem ini ialah sebelum intermission. Perkembangan wataknya, dan juga lagunya berada pada bahagian yang baik dan kena pada tempat. Malah, melihat bagaimana Raees meningkat dewasa antara memori yang kau akan bawa sehingga ke selepas intermission. 

Selepas intermission, kita akan dibawa ke setahun selepas insiden yang mengubah hidup Raees. Di bahagian ini, permulaannya nampak seperti tidak berapa seimbang. Ada lagu Zaalima yang aku rasa tidak kena pada tempatnya, juga beberapa bahagian yang lebih fokus kepada cinta Raees bersama isteri, serta isu politik yang pada aku kurang menarik namun harus ada dalam cerita. 

Menuju ke penghujung, filem ini bergerak dengan skala biasa dengan paparan Raees yang akhirnya terlibat dengan perkara yang tidak dia sangka dan akhirnya membawa kepada kemusnahan diri dan hidupnya yang tragis. Seperti aku cakapkan, fasa kedua filem ini biasa sahaja, tetapi terima kasih kepada permulaan filem yang menutup bahagian akhir filem ini yang sederhana. 

Lakonan Nawazuddin Siddiqui memang terbaik. Ketika Shah Rukh memilih untuk berada di pihak prontagonis, pelakon ini berjaya menjadi hero yang sangat bagus dan cemerlang. Sebagai watak utama yang bercerita tentang Raees dan kisah hidupnya juga, pelakon ini berjaya untuk meyakinkan penonton dengan apa yang dia ada. 

Lagu Laila oh Laila kedengaran seperti lagu Fifa World Cup anthem. Lagu yang berasal dari filem klasik Qurbani ini memang antara title track yang aku sukai. Diletakkan pula pada bahagian paling penting filem ini, Laila oh Laila memang killer track. Sayang sungguh Zaalima pula kelihatan seperti berada di bahagian yang tidak sesuai untuk sebuah lagu romantic. Background score toksah cakaplah, terbaik! 

Raees mengajar kita bahawa dalam kehidupan, manusia ada pelbagai ragam. Dan apa yang ada di dalam hidup kita ini bukan kita boleh dapat dalam sekelip mata. Otak kena pakai. Namun, sejauh mana kebijakan kita, akan ada satu masa kita akan jatuh, dikhianati, rebah dan tersungkur. Tiada watak yang sepenuhnya baik dan sepenuhnya jahat dalam filem ini. Setiap kebaikan ada kejahatannya, dan sebaliknya. 

Sebuah perjalanan watak fiksional yang memang sangat menarik dan menyentuh hati. Walaupun Shah Rukh sudah banyak berlakon watak gangster, don dan mafia, Raees antara watak yang boleh dikatakan hebat. Ceritanya mungkin biasa-biasa, namun garapan Rahul Dholakia nampaknya menjadikan cerita ini luar biasa dan segar.

4/5

Tuesday, January 31, 2017

Review: Kung Fu Yoga

Tahun Terbit | 2017
Pengarah | Stanley Tong
Pelakon | Jackie Chan, Sonu Sood, Zhang Yixing

Kadangkala, ada perkara yang perlu ditinggalkan setelah sekian lama ianya berada di dalam dunia ini. Begitulah apa yang aku fikirkan apabila berpeluang menonton filem Jackie Chan yang terbaru, Kung Fu Yoga. Filem ini kelihatan jauh meninggalkan kualiti filem China yang pada aku sekarang ini berada di tahap yang sangat hebat dan penuh imaginasi. Tiga kata aku simpulkan sebelum mula bercerita tentang Kung Fu Yoga, ialah Biasa, Biasa, Biasa! 

Jackie Chan yang dahulunya sudah tidak lagi mahu menampilkan aksi akrobatnya dalam filem, lalu berlakon sebuah filem yang lebih berat pada emosi seperti Shinjuku Incident dan Police Story 2013 yang mempunyai cerita yang lebih berat. Nampaknya, dia buat comeback baliklah pulak! CZ12 sebagai bukti. Dan selepas itu, actor tua ini seperti tidak mampu untuk meninggalkan aksi-aksi ikonik yang sering dilakukannya. 

Tahun demi tahun, Jackie Chan cuba sehabis baik untuk menjadi lebih muda dengan cuba untuk menghiburkan penonton dengan aksi yang selalu dia sajikan di zaman mudanya. Tetapi, apa yang mampu aku katakan, Jackie sudah makin tidak menunjukkan taring dan kadangkala berlakon seperti dalam satu keterpaksaan atas permintaan peminat dan industry. 

Kung Fu Yoga dikatakan sebuah filem kerjasama India-China yang seperti tertakluk dalam perjanjian tiga filem oleh Eros International. Apa yang aku mampu katakan tentang filem ni, ianya tak lebih dari sekadar sebuah filem makan angin yang mana dipenuhi aksi yang boleh tahan bagus dalam menutup kelelahan Jackie Chan melakukan aksi, dan juga komedi yang agak boleh diterima kemenjadiannya. 

Dalam filem ini, Stanley Tong selaku pengarah bijak untuk menutup kelemahan dan keclichean yang diberikan oleh Jackie Chan dengan lebih menampilkan aksi akrobatik yang dilakukan oleh pelakon-pelakon yang lebih muda. Malah, aksi yang dibantu dengan kesan CGI terutamanya aksi kejar mengejar ala-ala Fast & Furious di Dubai itu antara yang sangat kelakar dan menghiburkan. 

Namun, Stanley Tong juga kelihatan melebih-lebih dalam CGI sehinggakan ada beberapa kesan khas yang dilihat mencacatkan visual filem. Mungkin mahu menunjukkan kemampuan China membina haiwan menggunakan teknik CGI, Stanley Tong memasukkan entah berapa banyak haiwan dalam filem ni sehinggakan perkara yang tak penting seperti serigala yang tidak membawa apa-apa kesan kepada plot pun dihidupkan juga. 

Darj segi plot pula, ceritanya cacamerba. Ada kelompangan yang nyata dan pergerakan cerita kelihatan terganggu dengan pelbagai masalah. Selain daripada cerita yang kelihatan mahu ditwist sana sini tetapi masa bercerita tidak mencukupi, filem ini juga digagalkan dengan dialog-dialog English yang sangat skema dan tidak natural. Aku rasa sedikit terganggu juha dengan aspek dubbing, tetapi ianya perkara biasa dalam filem China. 

Banyak juga adegan dalam filem ini yang dibina sengaja tanpa apa-apa motif. Adegan serigala contohnya tidak seharusnya lama sampai macam tu sekali sebab ianya tidak sedikit pun memberi kesan kepada cerita. Malah, menanti scene di Tibet habis memang memeritkan, namun nasib baik adegan Dubai ialah ubat yang melegakan. 

Kung Fu Yoga juga kelihatan lemah sangat-sangat daripada sudut karakter sendiri. Watak Sonu Sood yang seharusnya menjadi watak yang memukau nampaknya dipermainkan lalu ditamatkan dengan cara yang sia-sia. Malah, terlalu ramai watak dalam team Jackie nampaknya melemahkan pembinaan karakteristik dan akhirnya semuanya menjadi serabut dan tidak menarik. Kadangkala, semuanya kelihatan dibina atas faktor menghidupkan komedi dan tidak lebih dari itu.

Sebagai sebuah filem yang menjalinkan hubungan antara dua negara, Stanley Tong tidak meletakkan Sonu Sood sebagai sebuah karakter jahat yang harus menerima takdir biasa seorang antagonis. Keadilan ini aku kurang gemari. Malah, Jackie yang seolah-olah jadi penceramah yang asyik tekankan harta tu milik kerajaan bla bla bla dah macam muak gila. Rasa nak muntah aku dengar! 

Sebagai hiburan, Kung Fu Yoga gagal menarik aku dalam segi ceritanya. Sebuah filem treasure hunt yang dah berkali-kali dia lakonkan. Namun, Kung Fu Yoga mungkin menarik dari segi komedinya yang bervariasi dan tidak bertumpu kepada Jackie Chan semata-mata. Untuk sebuah filem kerjasama dua negara, Kung Fu Yoga berjaya mendidik tentang perpaduan. 

Melihat Jackie Chan menari keras macam landak antara perkara yang melucukan. Melihat Sonu Sood lawan Jackie Chan, ianya perkara yang memukau. Sesuatu yang harus ditonton. Namun, apakan daya, ianya tidak mampu untuk mengubah verdict aku yang menyatakan filem ini hanyalah sebuah filem yang cliché dan gagal ditutup oleh komedinya yang luar biasa. 

2.5

Thursday, December 15, 2016

Review: Rogue One - A Star Wars Story

Tahun Terbit | 2016
Pengarah | Gareth Edwards
Pelakon | Felicity Jones, Diego Luna, Donnie Yuen, Mads Mikkelsen

Apabila franchise Star Wars kembali dibikin, seharusnya kejadian kematian Darth Vader akan menjadi satu kekecewaan. Bagaimana sebuah karakter yang sudah mati lama dulu mahu kembali dalam sebuah opera angkasa yang memang ada pengikutnya tersendiri ini. The Force Awakens membawa penonton untuk menulusuri kejadian selepas epik Return of The Jedi. 

Bila mana bercakap pasal Star Wars, apa yang bermain di fikiran ialah perjalanan angkasa dan nama pelbagai planet. Malah, paling utama ialah Jedi dan juga light saber yang memang menjadi ikon kepada jenama Star Wars. Jadi, bersedialah untuk kecewa sebentar jika semua itu yang kau harapkan ketika mahu menonton Rogue One. 

Rogue One ialah filem biasa yang berjiwa luar biasa. Karakternya hanyalah manusia-manusia biasa yang tidak ada kuasa sedikit pun. Malah, mereka hanya tahu menembak dan juga martial art sahaja. Tidak lebih dari itu. Pada aku, inilah yang memberikan Rogue One satu nafas yang baru bagi peminat siri filem ini. 

Dari segi penceritaan, Rogue One ialah cerita Star Wars yang mudah. Ianya simple tetapi masih mampu memberikan kehebatannya yang tersendiri. Pada yang pertama kali menonton filem ini, aku rasa tidak menjadi masalah untuk menontonnya. Namun, bagi yang sudah menonton, pasti beberapa cameo dan juga dialog yang mengaitkan Rogue One dengan filem Star Wars menjadi satu excitement yang ditunggu. 

Jika anda menonton filem A New Hope, filem Rogue One ialah sebuah filem yang bercerita bagaimana Darth Vader boleh menyerang kapal Princess Lea di awal filem A New Hope. Malah, kalau kau baca tulisan yang biasa muncul sebelum filem Star Wars bermula, Rogue One ialah adaptasi tulisan-tulisan itu kepada visual. Kau dah tahu cerita, tapi kalau kau nak tahu lebih, Rogue One akan ceritakan. 

Boleh aku katakan di sini yang Rogue One memecahkan tradisi saga angkasa ini. Dari segi cerita, mahupun karakter, Rogue One kelihatan merendahkan dirinya dalam segala aspek. Filem ni tidak mahu menjadi another cliché Star Wars story, tetapi ianya mahu menjadi cerita dengan resipinya yang tersendiri. Dan apa yang aku boleh katakan, ya, ianya cerita Star Wars dalam kelasnya yang tersendiri. 

Dari nama pelakon utama sehingga wataknya, tiada yang special. Jyn ialah watak yang cliche. Rempah biasa Hollywood dalam resipinya. Malah, tiada sedikit pun watak yang mampu menandingi jedi-jedi dalam filem Star Wars yang sebelum ini. Tapi, jangan kau sangka, dengan hanya berbekal nama-nama yang entah baru pertama kali kau dengar ini, filem ini mampu menyuntik semangat yang the rebellion yang akan mampu buatkan kau mencari semula filem A New Hope. 

Kekecewaan menonton Iko Uwais dalam The Force Awakens bergaduh dengan martial arts nampaknya terubat dalam filem ini. Watak Donnie Yuen yang memang agak menarik perhatian antara perkara yang mencantikkan lagi filem ini. Ada beberapa babak-babak aksi martial art yang tidak kurang hebatnya. Walaupun agak janggal martial art berada dalam dunia Star Wars, ianya ohsem! 

Beruntunglah Rogue One tidak diberi nafas seperti Godzilla. Pengarahnya, Gareth Edwards memberi jalan cerita yang mudah, tidak terlalu susah dihadam, dan juga aksi-aksi yang padat dan memuaskan. Malah, cerita ini yang juga kelihatan berfokus pada emosi hubungan anak dan ayah dijalin dengan baik walaupun kisah ini dipenuhi dengan aksi perang galaktik. 

Adegan perang yang terakhir, di kawasan yang banyak pokok kelapa tu mengingatkan aku kepada adegan dalam fiem Pirates of the Caribbean. Ianya juga pertarungan yang menjanjikan nafas yang baru. Tidak hanya bertumpu kepada perang di atas angkasa sahaja, Rogue One memang menyajikan perperangan yang lebih realistik. 


Rogue One mampu untuk mengembalikan memori bagi siapa yang pernah berada pada zaman A New Hope. Ianya juga sebuah filem yang mampu untuk membawa kau berada lebih dekat dan menambah minat untuk kau mengetahui lebih lanjut tentang mitos Star Wars. Untuk memudahkan kau faham, Rogue One ibarat Suicide Squad versi Star Wars. Satu misi, dan ianya tiada jalan keluar! 

Bagi siapa sahaja yang berada pada tahun sekarang, dengan teknologi yang sudah kemas dan berkembang, Rogue One ialah sebuah filem yang akan membawa penonton masa kini kembali kepada jiwa filem asal, A New Hope yang diterbitkan pada 1977 (ditukar tajuk kepada Episode IV pada tahun 1981). Ianya sebuah memori yang memang sangat menyeronokkan. Apatah lagi, kau akan menyaksikan Princess Lea dan Tarkin kembali semula (thanks kepada teknologi CGI yang hebat!). 

Rogue One ternyata hebat! Tontonlah. Ianya sesuatu yang tidak harus dilepaskan sementara menunggu Episode 8 pada 2017 nanti. 
4.5/5

Sunday, December 11, 2016

Review: Desolasi

Tahun Terbit | 2016
Pengarah | Syafiq Yusof
Pelakon | Syamsul Yusof, Dato Jalaluddin Hassan

Kejayaan Munafik (mungkin) atau mungkin kejayaan KL Gangster juga membuatkan Skop Production mula menampilkan idea-idea pelik dan gila. Bagus. Ianya sekaligus membuatkan Yusof Haslam dan anak-anaknya ‘bertaubat’ dan menyedari bahawa masih belum terlambat untuk mengubah lanskap filem tempatan walaupun dengan mengekalkan konsep saling menasihati antara satu sama lain. Lebih dekat lagi, saling ingatkan Tuhan. 

Itulah Desolasi. Ini ialah sebuah filem ‘tarbiyah sentap’ yang sebenarnya penuh dengan cara masakan yang berbeza. Malah, aku rasakan yang penonton yang awalnya membayar tiket untuk menyaksikan pancing utama yakni latar Kuala Lumpur yang sunyi tanpa penghuni tidak menyangka mereka akan ditarbiyahkan oleh Syafiq Yusof dan juga Syamsul Yusof. 

Malah, Desolasi juga bergerak bukan seperti filem-filem hikayat yang Islami biasa. Tiada cinta-cinta dan bersentuhan tangan, malah dipenuhi dengan pelbagai persoalan-persoalan ketuhanan yang membuatkan kita berfikir sejenak tentang sejauh mana kita selalu berfikir tentang apa yang Dia dah beri. 

Syafiq Yusof menipu penonton. Tetapi, aku rasa tipuannya memberikan pancing yang sangat berisiko. Desolasi mungkin takkan sehit Munafik kerana tipuannya (mungkin), tetapi ianya ialah satu filem yang layak untuk dipuji pada kesungguhan pembikinannya dan juga effort yang diletakkan dalam usahanya. 

Melenyapkan KL bukanlah perkara mudah. Tapi, dengan apa yang Skop Production ada, group VFX yang ditugaskan berjaya melenyapkan kesemua manusia dari visual. Errr… walaupun ada la satu dua scene yang mungkin mereka terlepas pandang untuk hilangkan manusia tu. Jika kau perhati pada refleksi cermin mata Aiman contohnya, kau akan perasan. Gotcha! 

Pada aku, Desolasi tidak sehebat S.A.M mahupun Abang Long Fadil. Aku rasakan Syafiq memang mampu membikin lebih baik dari sekadar filem yang menasihat. Aku nampak filem ini bermula dengan sangat bagus. Malangnya, satu elemen yang sedikit kelihatan memaksa untuk kita menerima hakikat dunia Desolasi itu kelihatan agak janggal dan kurang kuat. 

Syafiq memang mempunyai imaginasi yang bagus dalam membina visual yang dia kehendaki. Bagi pengarah lain, aku rasakan apa yang Syafiq beri dalam filem ni boleh disampaikan dengan lebih murah tanpa membazirkan masa dengan CGI yang melampau. Namun, itulah Syafiq. Dia mahu memaparkan Hollywood blockbuster mampu dibikin dalam arca filem Melayu. Dan dia sudah membuktikannya. 

Fikir-fikir balik, S.A.M dan Desolasi memegang konsep yang sama. Adanya ‘red-herring’ yang melencongkan akal penonton dan menerima hakikat yang mereka ditipu se’gila’ mungkin dan menerima hakikat. Aku rasakan Syafiq pasti belajar banyak pasal penyakit untuk membina cerita psikologi sebegini. Jika kau tonton S.A.M, kau akan faham dua filem ini seiras. 

Namun, aku kurang selesa apabila Syafiq memilih untuk membuka twistnya awal dan melanjutkannya kepada adegan yang pada aku sekadar nasihat dan ianya tidak pun penting untuk dipanjangkan. Mungkin ada cara lain untuk adegan Maya dan Aiman di padang untuk dipendekkan dan untuk mengelakkan audiens berkata ianya hampir kepada kemengarutan sempurna. 

Pada aku, ini ialah sebuah filem Syafiq yang tidak sebaik mana. Karya ini, yang kelihatan tersuntik sekali elemen Munafik kelihatan tidak penuh dengan kekuatan cerita. Namun, ianya adalah amat baik apabila Syafiq kini lebih menggila dengan imaginasi desolasinya yang lebih perfect dari sebelumnya. Apa aku boleh puji, pengarah ini ialah seorang yang berani.


Syamsul Yusof juga memaparkan 'keinsafan' dirinya dalam bayangan Desolasi. Lakonannya boleh dikatakan semakin baik. Tidak lupa juga aktor lain seperti Bella Dally dan Pekin yang memberikan performance yang membantu menampal bahagian bocor filem ini. Ada certain part yang dibina untuk memberi mood serius tapi scene tu jadi lawak. Do something please!

Ringkasnya, Desolasi ialah resapan tarbiyah dari Munafik yang dipersembahkan dalam elemen si fi dan gila. Ya, gila! Kau akan dibawa merasai kegilaan pengarah ini memancarkan visinya dan ditarik ke dalam mesjid untuk menyedarkan kau daripada apa yang kau persoalkan kepada Tuhan.

Desolasi ialah filem yang berat. Tapi, ianya tidak seberat Hanyut mahupun Interchange (mungkin kot, sebab belum menonton kedua-dua filem ini). Namun, aku rasa ramai penonton yang akan fikir dua kali untuk menonton Desolasi kerana ideanya bukanlah sebuah filem biasa. Jika kau bersedia untuk ditarbiyah kaw kaw dalam filem ni sambil kau pula memuji keindahan visual efek dan kekaguman melenyapkan manusia dalam Kuala Lumpur, selamat menonton. 

Aku gerenti, Desolasi ialah nafas baru industri filem kita. Jika kau sendiri tak mampu nak hadam idea filem ni yang pada aku masih lagi ringan tetapi digarap dengan sedikit berat, kau kena sedar, kau ialah penonton yang masih ditakuk lama. Berubahlah. 

3.5/5

Saturday, December 3, 2016

Review: Underworld - Blood Wars

Tahun Terbit | 2016
Pengarah | Anna Foerster
Pelakon | Kate Beckinsale, Theo James, Tobias Menzies

Selene, antara watak vampire yang memang sangat-sangat aku gemari pada zaman-zaman awalnya. Kemunculannya sekitar 2003 kemudiannya bersambung-sambung sehinggalah ke 2012 dengan Underworld: Awakening. Ini antara filem vampire yang aku kira hebat selain daripada trilogy Blade yang dilakonkan Wesley Snipes. Garapannya penuh dengan twist dan memang menarik pada eranya dahulu. 

Malangnya, aku tidak nafikan, untuk Blood Wars yang muncul pada tahun 2016, filem ini sudah terlalu tua untuk Kate Beckinsale. Untuk watak Selene yang segar dahulu dibawa kembali kepada arunya yang asal agak payah kerana Selene sudah hilang taringnya apabila Awakening mula muncul. Pada aku, trilogy awal filem ini antara yang ohsem. 

Demi buat duit punya pasal, Len Wiseman keep on producing Underworld sehinggalah hari ini. Dengar khabar nak reboot pada awalnya, tapi end up dengan sekuel. Eloklah, kalau kau buat reboot, memang takkan jadi lebih baik daripada sekuel. 

Blood Wars ialah debut pengarahan dari pengarah perempuan pertama siri Underworld, Anna Foerster. Bagi aku, garapan yang dia bawa tersangat berhati-hati sehinggakan filem ini kelihatan bersungguh-sungguh menyambung cerita Selene dari Awakening dengan tergesa-gesa dan juga tidak kemas. 

Aku rasakan pada awal filem, terlalu banyak konfrontasi antara watak baru dan lama yang berlaku sehinggakan ianya gagal untuk memberikan taring yang tersendiri untuk filem ini. Awal filem ini tidak berjaya menarik aku sehinggakan aku sudah mula rasa sedikit kecewa dengan penceritaan kali ini. 

Malah, aku rasakan seperti ada kelemahan ketara kepada pengembangan watak yang kelihatan mendatar dan tidak memberikan apa-apa impak selain bercerita apa yang mereka mahu ceritakan. Malah, Selene sendiri diberi ruang membebel dengan banyaknya dalam filem ini which is very weird sebab dia suppose to do action more than talking! 

Untuk aku yang rasa filem-filem sebelum ni mempunyai plot ringkas tetapi penceritaannya bagus, aku masih rasa kecewa dengan babak yang agak kurang meyakinkan dan tidak dibina dengan kemas. Ada juga dialog-dialog yang pada aku kelihatan sangat kaku dan nampak pelik dan tidak natural. Aku paling rasa janggal ketika Selene pergi ke geng rambut putih tu. Pelik semacam dan tiada rasa! 

Tapi, kalau kau mengetahui sejarah Selene dari filem-filem yang terdahulu, kau pasti akan menunggu sehingga habis filem. Sebabnya, filem ini ada twist yang menarik pada akhir filem yang mana mengubatlah kekecewaan aku setelah sekian lama menanti sesuatu yang menarik dalam filem ini. Ianya tidaklah hebat mana tetapi mampu menyuntik rasa untuk menyegarkan mata. 

Pesan-pesan akulah, jika mahu menonton, janganlah mengharapkan aksi yang banyak. Ianya bakal mengecewakan anda. Malah, aksi dalam filem ini antara aksi yang gagal menunjukkan the real Selene seperti filem-filem lepas. 

Underworld: Blood Wars seperti menunjukkan yang Kate Beckinsale mahu berundur sudah dari menjadi Selene. Namun, sebab ingin menyambung legasi dan cerita Underworld yang menggunakan ‘di mana Eve?’ sebagai tali untuk bercerita, filem ini diteruskan juga. Dukacitalah kalian, jika kau takkan dapat jawapan kepada soalan dalam Awakening dalam filem ni. Apa yang kau akan dapat ialah keterpaksaan untuk menonton filem keenam yang akan datang entah bila. 

Apapun, aku boleh cakap, kau boleh layan filem ni even sedikit membosankan pada awalnya jika kau penggemar filem Selene yang terdahulu. Jika kau masih belum menonton siri Underworld terdahulu, rasanya ini bukan filem kau. Ianya dibina untuk siapa yang mengetahui siapa Selene dan sejarah hitamnya. 

3/5

Review: Kingsman 2 - The Golden Circle (2017)

Tahun Terbit | 2017 Pengarah | Matthew Vaughn Pelakon | Colin Firth, Taron Egerton, Julianne Moore, Halle Berry Tak banyak filem ...