Akan Datang!

Thursday, February 2, 2017

Review: Raees

Tahun Terbit | 2017
Pengarah | Rahul Dholakia
Pelakon | Shah Rukh Khan, Nawazuddin Siddiqui, Mahira Khan

Dua filem lakonan dua aktor popular Bollywood bertarung tarikh tayangan yang sama. Daripada Kaabil, dan Raees, masing-masing ada pengikutnya yang tersendiri. Ada yang menyatakan pelbagai pendapat berbanding dua filem ini. Aku perlu memilih. Tiada masa untuk menonton dua filem yang berdurasi hampir 3 jam ini pada masa satu hari. Maka, aku pun memilih Raees. 

Kenapa? Kerana Shah Rukh Khan ada track record yang agak baik melalui Fan selepas gagal dengan Dilwale. Malah, pelakon itu juga nampaknya sering tampil dengan cerita yang nampak real dan berat sejak dua menjak ini. Hrithik Roshan pula nampak gagal dalam Bang! Bang! yang mana ialah adaptasi rasmi dari filem Hollywood Knight and Day. 

Aku mahu menonton sebuah filem Bollywood yang sedikit berat dan memerlukan aku untuk merasai jiwa dan segala falsafah yang ada. Tidak sempat menonton Dangal, Raees ialah pengubatnya. Walaupun Dangal dan Raees bukanlah dua filem yang sama genre, isinya yang lebih kepada pemikiran dan juga kehidupan antara perkara yang membuatkan aku membandingkannya. 

Shah Rukh Khan kelihatan seperti watak dalam filem Don yang diterbitkan oleh penerbit yang sama. Cuma, dalam Raees, wataknya dikisahkan sebagai watak jahat yang ada sisi baiknya. Watak Raees ialah sebuah watak yang besar yang menyebabkan kita sendiri faham kenapa title filem ini memerlukan namanya sebagai tajuk. 

Raees bukan sekadar hiburan. Ianya ialah paparan sebuah kehidupan yang sememangnya agak memeritkan. Menjadi seorang yang disanjungi, lalu dikhianati dan seterusnya berakhir dengan penipuan yang tragis, Raees mampu untuk membuatkan kau rasa simpati dengan kehidupan watak ini dari awal sehingga akhir. 

Tidak aku nafikan jika filem ini ialah antara filem yang bagus dan baik selepas kegagalan Dilwale walaupun ianya berbekalkan cerita yang cliche di Bollywood. Watak Shah Rukh Khan yang luar biasa dan kehebatannya ada seperti menonton Karan Arjun mahupun Dil Se versi baru. 

Filem ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu sebelum intermission dan juga selepas intermission. Pada aku, bahagian paling menarik bagi filem ini ialah sebelum intermission. Perkembangan wataknya, dan juga lagunya berada pada bahagian yang baik dan kena pada tempat. Malah, melihat bagaimana Raees meningkat dewasa antara memori yang kau akan bawa sehingga ke selepas intermission. 

Selepas intermission, kita akan dibawa ke setahun selepas insiden yang mengubah hidup Raees. Di bahagian ini, permulaannya nampak seperti tidak berapa seimbang. Ada lagu Zaalima yang aku rasa tidak kena pada tempatnya, juga beberapa bahagian yang lebih fokus kepada cinta Raees bersama isteri, serta isu politik yang pada aku kurang menarik namun harus ada dalam cerita. 

Menuju ke penghujung, filem ini bergerak dengan skala biasa dengan paparan Raees yang akhirnya terlibat dengan perkara yang tidak dia sangka dan akhirnya membawa kepada kemusnahan diri dan hidupnya yang tragis. Seperti aku cakapkan, fasa kedua filem ini biasa sahaja, tetapi terima kasih kepada permulaan filem yang menutup bahagian akhir filem ini yang sederhana. 

Lakonan Nawazuddin Siddiqui memang terbaik. Ketika Shah Rukh memilih untuk berada di pihak prontagonis, pelakon ini berjaya menjadi hero yang sangat bagus dan cemerlang. Sebagai watak utama yang bercerita tentang Raees dan kisah hidupnya juga, pelakon ini berjaya untuk meyakinkan penonton dengan apa yang dia ada. 

Lagu Laila oh Laila kedengaran seperti lagu Fifa World Cup anthem. Lagu yang berasal dari filem klasik Qurbani ini memang antara title track yang aku sukai. Diletakkan pula pada bahagian paling penting filem ini, Laila oh Laila memang killer track. Sayang sungguh Zaalima pula kelihatan seperti berada di bahagian yang tidak sesuai untuk sebuah lagu romantic. Background score toksah cakaplah, terbaik! 

Raees mengajar kita bahawa dalam kehidupan, manusia ada pelbagai ragam. Dan apa yang ada di dalam hidup kita ini bukan kita boleh dapat dalam sekelip mata. Otak kena pakai. Namun, sejauh mana kebijakan kita, akan ada satu masa kita akan jatuh, dikhianati, rebah dan tersungkur. Tiada watak yang sepenuhnya baik dan sepenuhnya jahat dalam filem ini. Setiap kebaikan ada kejahatannya, dan sebaliknya. 

Sebuah perjalanan watak fiksional yang memang sangat menarik dan menyentuh hati. Walaupun Shah Rukh sudah banyak berlakon watak gangster, don dan mafia, Raees antara watak yang boleh dikatakan hebat. Ceritanya mungkin biasa-biasa, namun garapan Rahul Dholakia nampaknya menjadikan cerita ini luar biasa dan segar.

4/5

No comments:

Review: Kingsman 2 - The Golden Circle (2017)

Tahun Terbit | 2017 Pengarah | Matthew Vaughn Pelakon | Colin Firth, Taron Egerton, Julianne Moore, Halle Berry Tak banyak filem ...