Akan Datang!

Wednesday, August 30, 2017

Review: Abang Long Fadil 2 (2017)

Tarikh Tayang | 24 Ogos 2017 (Malaysia)
Pengarah | Syafiq Yusof
Pelakon | Zizan Razak, A Galak, Wak Doyok, AC Mizal, Syamsul Yusof

Padu! Itulah yang mampu aku katakan selesai sahaja menonton filem sekuel kepada filem Abang Long Fadil yang diarahkan oleh pengarah Syafiq Yusof ini. Pengarah ini nampaknya memang buat full throttle punya percubaan sehingga meletakkan ABF2 ini berada dalam kategori filem komedi yang memang masak dan terhidang dengan sempurna. Sedikit cacat cela boleh diabaikan, dan kesedapannya boleh dinikmati. 

Secara peribadinya, aku nobatkan filem ABF2 ini sebagai filem aksi komedi paling terbaik selepas Polis Evo. Filem yang tahu untuk disajikan apa, dan disuapkan apa kepada penonton yang sedia dengan permintaan di meja. Filem yang tahu untuk membikin sebuah pengalaman menikmati menu filem hebat, dengan rencah dan juga main dish yang cukup sifat. 

Tahniah aku ucapkan pada Skop Production dan juga Astro Shaw kerana berjaya memberikan sebuah lagi filem ‘jamu mata’ yang ‘confirm tak menang award, tapi menang di hati penonton pawagam Malaysia’ ini! Memang ianya kena pada masanya dimana para penonton dahagakan filem aksi yang disulam komedi yang lebih lagi semenjak jayanya filem Polis Evo! 

Apa yang kau akan dapat jika kau beli tiket untuk tonton filem ABF2? Satu, kau akan dapat merasai bagaimana tiga orang karakter dari Maharaja Lawak yang korang tahu bagaimana diorang ni beraksi jika pengarah tidak ‘mengikat’ lawak mereka. Syafiq berjaya memenjara komedi Achey, lalu membuka ruang jiwa serius Shuib dan menambah kematangan dalam lakonan Zizan. 

Malah, aku juga gembira melihat bagaimana kekayuan Syamsul Yusof (yang mana dah improve dari masa ke masa) diukir cantik untuk membentuk karakternya yang sempurna. Aku juga agak kagum dengan lakonan AC Mizal yang mengingatkan aku kepada wataknya dalam filem Buli dan juga Cicak Man. Terbaik! 

Kedua, kau perlu tonton filem ni supaya kau faham ada filem Malaysia yang pandai untuk menukar penonton menjadi detektif dan melayari teka teki filem. Dalam filem ini, persoalan siapa Tiger memang dibina dengan baik sehingga ‘twist’ yang direka tidak dapat dijangka. Namun begitu, aku rasakan persoalan siapa Tiger dijawab dengan agak ‘longgar’ dan tidak meriah walaupun cukup untuk meleraikan filem ini dipengakhirannya. 
Selain itu, aku juga sedikit kurang gemar dengan plot King Kong/ Cobra yang dilayan seperti sebuah sambal yang hanya dicicah-cicah sekali sekala, dan kemudiannya dibuang ketepi selepas semuanya selesai. King Kong/Cobra ialah antara watak yang menarik dan menyerlah dalam filem ni. Namun, kecewa sedikit apabila ianya tidak dilayan dengan selayaknya. 

Ketiga, kalau kau suka Wak Doyok, kau harus tahu dia berlakon memang ohsem. Syafiq berjaya membentuk karakternya dengan tahap lakonannya. Tapi, aku tetap rasakan lakonannya biasa-biasa sahaja. Hanya wajahnya yang bermisai itu sahaja membantu untuk membaluti kelemahan karakter itu di samping A. Galak! 

Keempat, fight scene filem ni memang terbaik. Kau akan nampak yang Syafiq sedaya upaya cuba untuk memuaskan keinginan penonton untuk melihat aksi yang dikoreografi dengan baik dalam sebuah filem Malaysia. 

Jika ABF ada aksi yang memukau di babak pertarungan akhir, ABF2 memang non-stop fighting since the beginning. Walaupun editingnya fast paced untuk menutup kelemahan pelakon, ianya antara koreografi aksi yang memang memukau! Aku juga nampak bahawa filem ini banyak memaparkan aksi pertarungan di lorong sempit yang mana sekaligus menguji kebolehan koreografer aksi tempatan! Tahniah, korang reka aksi gasak terbaik! 

Selain itu, aku puas hati bagaimana setiap watak diberikan ruang untuk menyerlah dalam mempersembahkan aksi pertarungan. Achey, Shuib dan Zizan diberi ruang bergasak mereka sendiri. Paling aku suka, aksi gasak Shuib. Memang best! Malah, dalam filem ABF2, pelakon veteran A. Galak pun bergasak juga. Memang hebatlah! 

Seperti filem-filem Syafiq yang sebelum ini, pengarah muda itu tidak lupa untuk memberikan ‘gula-gula’ dalam filemnya. Kalau dalam filem ABF ada superhero dan juga angan-angan Fadhil yang berlambak, ABF2 nampaknya Fadhil banyak berpijak kepada realiti. Namun, imaginasinya terkeluar sekali sekala dan ianya ialah babak ‘popcorn kosong’ yang dihidang untuk menyerlahkan kekuatan Viper Studio dalam kerja buat CGI! 

Sejujurnya, adegan trailer Transformers yang dispoofkan di akhir filem tidak perlu ada. Ianya seperti menenggelamkan peleraian filem yang sempurna. Dari sebuah filem gangster, trailer itu seperti ‘pisau yang membunuh’ jiwa asal filem. Tapi, aku puji bila CGI yang dibuat Viper Studio berjaya mewujudkan Transformers mereka sendiri yang ohsem. Tapi, cukup-cukuplah mencilok. Be original lain kali, ok! 

Akhir sekali, aku nak puji bagaimana filem ini bercerita. Adegan Zizan cuba untuk mendapatkan loket dengan kelicikannya memang terbaik. Macam tonton filem Hollywood! Aku pantas teringat lagu Kaki Licik yang tak berapa nak best tu! Tapi, aku mula mengerti kenapa lagu Kaki Licik itu dicipta. Ya, Zizan memang licik. 

Jika ada sekuel ketiga, aku tak kisah untuk keluarkan belanja untuk menontonnya. Sudah lari daripada jiwa KL Gangster, ABF2 kini berjaya berdiri dengan sendirinya untuk memberikan penonton sebuah filem aksi komedi dengan ketawa dan aksi tanpa henti. ABF2 ialah hidangan yang sangat enak untuk dinikmati walaupun ada sedikit rentung dalam bahagian finalenya yang diisi dengan ‘reunion’ di sebuah gudang. 

Semacam menonton naskah Hollywood, Abang Long Fadil 2 ialah sebuah filem yang harus dirai bersama dengan ‘Senorita’ dan ‘Kaki Licik’nya. Lupakan ‘plothole’ juga ‘teori filem ini sebenarnya imaginasi mimpi Fadil selepas berjumpa Yusof Haslam’. Enjoy the show! 

4.5/

Untuk maklumat lanjut berkenaan filem ini, terus ke klink di bawah:

No comments:

Review: It (2017)

Tahun Terbit | 2017 Pengarah | Andy Muschietti Pelakon | Bill Skarsgard, Jeremy Ray Taylor, Sophia Lillis Ketika menonton The Da...