Tahun Terbit | 2017
Pengarah | Dean Israelite
Pelakon | Dacre Montgomery, Naomi Scott, RJ Cyler, Elizabeth Banks
Tiada siapa pun yang meminta sebuah filem Power Rangers yang sedang berada di dalam dunia superhero yang dikuasai DC dan Marvel. Membuka sebuah dunia superhero yang memang semua sudah tahu berasal daripada sebuah rancangan Jepun, Super Sentai ini adalah satu gamble yang agak berani. Percaturan selepas beberapa lama filem adiwira 5 orang ini muncul menimbulkan pelbagai reaksi.
Pada aku, Power Rangers kali ini boleh dikatakan menjadi. Walaupun ianya masih gagal untuk menjadi emas seperti Marvel (walaupun DC cuba mengejar sehabis daya), Power Rangers seperti masih berada di darat. Mencuba untuk mencari bahagian yang sesuai untuk mencuri perhatian penonton yang sudah terbiasa dengan jiwa adiwira yang sudah biasa ditonton.
Disebabkan itu mungkin, aku nampak Power Rangers memilih untuk tidak terlalu mengadiwirakan ceritanya. Ianya lebih seperti sebuah filem remaja bermasalah yang terpaksa menyelamatkan dunia, lalu menyelami erti persahabatan yang sebenar.
Persahabatan. Tanpa elemen ini, aku rasa Power Rangers bukanlah sebuah filem yang baik. Dari ceritanya yang memang 90% kelihatan seperti Suicide Squad, yakni si jahat yang nak takluk dunia dan mempunyai kuncu-kuncu yang terpaksa dihapuskan, Power Rangers hanya biasa-biasa. Tahniah pada ceritanya yang diadun dengan baik.
Boleh aku katakan, perasaan aku menonton filem ini pada mulanya agak flat. Hambar. Watak Red Rangers yang menjadi pemula gagal menarik perhatian aku. Malah, momen pengenalan setiap watak yang pada aku gagal menarik perhatian (kecuali Billy) membuatkan aku rasa ianya bakal jatuh. Zack yang muncul tiba-tiba, Trini dan Kimberly juga tidak dimulai dengan sempurna secara peribadi.
Namun, filem ini mula dibentuk menjadi lebih seimbang. Elemen friendship yang diterapkan pada pertengahan filem mula menjadi elemen yang menyuntik semangat dan emosi. Ianya seperti satu bahagian filem yang sebenarnya meluahkan sisi remaja masa kini, realiti dan hakikatnya, dan juga kebenaran pada kehidupan sebenar remaja di Barat sana.
Menunggu Power Rangers beraksi memang sangat-sangat lama. Tapi, dengan kisah persahabatan yang dipaparkan, filem ni seperti sebuah perjalanan cerita yang boleh membuatkan kita terus menunggu dan menunggu. Mungkin penulis reboot Fantastic Four harus melihat hal ini untuk bikin filemnya dahulu.
Tiada aksi-aksi pertarungan Power Rangers sepanjang filem. Seperti siri tvnya yang mana pada hujung filem sahaja pertarungan terjadi, filem ini pun mengekalkan momentum yang sama. Tapi, percayalah, jika kau menunggu aksi sahaja, filem ni mungkin akan mengecewakan kau. Apa sangat kau boleh jangka kalau Lionsgate yang buat. Efek CGI sederhana, aksi nak gempak. Boleh blah!
Rita Repulsa versi upgraded tidak kejam sangat. Terlalu ‘cliché’ dalam segala tindakannya. Cuba untuk dibina sedikit komedi tapi, ianya hanya sekadar penjahat yang muncul untuk melengkapkan sahaja. Tiada perkara menarik tentang Rita Repulsa. Malah pertarungan akhirnya tidaklah hebat mana.
Mungkin ada pelbagai sebab anda menonton Power Rangers. Ada yang menonton kerana mahu mengembalikan memori. Mengingati bahawa siri tv ini pernah diharamkan kerana perkataan ‘morphin’ yang hampir kepada ‘morphine’ adalah perakra yang terlintas apabila filem ni mahu menjengah pawagam. Ada juga generasi baru yang baru nak menontonnya. Macam-macam sebab.
Aku pula menonton kerana mahu melihat sejauh mana adaptasi ini boleh pergi. Menonton untuk menilai, membeza dan juga menghayati. Ternyata, filem ini tidak mengecewakan jika kau tidak tanamkan azam untuk menonton Power Rangers beraksi sepanjang filem. Jika ditanya adakah filem ni boleh pergi jauh, aku rasa jawapannya mungkin tidak.
Kenapa? Kerana persahabatan dan jiwa remaja sahaja yang menjadi asas unik filem ini. Selebihnya hanya gula-gula biasa. Kau agak, sekuelnya nak bawa elemen apa pula sebagai 'tiang baru'? Sukar juga untuk memberikan sesuatu yang berbeza untuk sekuel kalau plotnya tidak bercerita tentang 'superhero' sepenuhnya.
Bagi aku, aku rasakan yang Power Rangers ialah sebuah filem superhero yang pelik. Ianya boleh berdiri tanpa sebarang aksi adiwira sepanjang filem, dek kerana fokus kepada pengembangan watak, dan ianya sangat menarik. Di era baru, dengan teknologi dan juga cara bikin filem baru, Power Rangers seperti cuba menjadi diri sendiri, dan kadangkala lari untuk menjadi segar. Ianya menjadi.
Kau mungkin tak perlu menonton siri tv untuk kau merasa ijwa filem ini. Oh, Billy! Antara karakter fevret aku yang membawa elemen persahabatan ke tahap tertinggi filem ni. Tanpanya, jiwa Power Rangers kosong. Pelakon-pelakon yang baru, tapi jiwanya terbaik! Kalau nak beralih arah dari universe serius dan cliché, Power Rangers mungkin boleh kau jenguk sekejap.
4/5
No comments:
Post a Comment