Tahun Terbit | 2017
Pengarah | F Gary Gray
Pelakon | Vin Diesel, Dwayne Johnson, Jason Statham, Michelle Rodriguez, Tyrese Gibson
Selagi mana sesebuah filem mampu menjana pendapatan berganda-ganda, selagi itulah Hollywood akan sentiasa untuk menyambung semua plot yang ada dari filem dulu untuk membentuk sekuel. Apa sahaja plot yang masih belum diukir, diambil lalu dicambah menjadi sebuah cerita baru untuk dihidangkan kepada penonton walaupun ianya hanya sisa.
Berkesempatan menonton filem The Fate of the Furious 8 yang juga dikenali sebagai The Fast and Furious 8. Aku hanya boleh simpulkan yang ianya hanyalah pengulangan yang tidak ada pembaharuan yang baik. Ianya seperti melihat sebuah makanan yang sama, cuma olahannya sedikit berbeza. Mungkin pada hiasannya, pada rasa garammnya, juga pada jiwanya.
Lazat itu lazat. Cuma aku hanya mahukan keunikan dan juga kesegaran. Aku gagal untuk menjumpai itu melainkan sebuah kisah aksi yang menarik tanpa perkara luar biasa.
Kali ini, plot filem ini bermain dengan pokok utama prinsip Dom yakni 'keluarga'. Namun, tatkala Dom mula berpaling tadah, kau sendiri sudah mula tahu yang filem ini akan dipenuhi putar belit yang mana akan berakhir dengan Dom kembali kepada prinsipnya. Ianya seperti Batman vs Superman, lawan-lawan jadi baik. Huh!
Filem F8 ini seperti dicedok dari satu kepingan memori cerita lalu, kemudian dibawa ke satu tempat baru, lalu kesemuanya dikembangkan lapis demi lapis sehinggalah watak Charlize Theron diciptakan untuk memayung kesemua watak jahat dalam filem sebelumnya. Apabila difikirkan balik, ianya kedengaran seperti filem James Bond yang bertajuk Spectre yang mana konsepnya hampir sama.
Garapan plotnya seperti terbahagi dua. Pada fasa pertama filem, ianya kelihatan seperti sebuah drama Crime Scene Investigation yang agak advance. Terlalu banyak babak-babak acah acah spy yang membuatkan beberapa babak sedikit kelihatan berulang dan membosankan. Namun, bila Jason Statham dan The Rock acah-acah buat Maharaja Lawak Mega dalam dialog mereka, ianya sedikit mengubat walaupun kadangkala menjengkelkan.
Aku kurang gemar permulaan filem ini yang kelihatan seperti tiada arah. Namun, aku rasakan permulaan filem ini sebenarnya kelihatan seperti sebuah tribute kepada tiga filem asal yang awal. Walaupun aksinya kelihatan seperti sudah dijangka, adrenalin aksi lumba itu masih dapat dirasakan.
Dari segi komedi, aku tidak nafikan Jason Statham nampaknya semakin bagus untuk jadi pak lawak. Apabila lakonannya dalam filem bertajuk Spy yang sebelum ini menampilkan sisi pertama pelakon ini sebagai watak lawak, aku tidak nafikan dia dah pandai buat aku tersenyum. Meluat pula aku pada gaya comelnya. Dahla pandai buat lawak, fight pula hebat!
Malah, karakter The Rock sebagai Hobbs sangat-sangat serupa macam Rajini. Sekali tumbuk, kontena pun boleh kemek. Hampeh. Wei, ini filem Tamil versi Hollywood ke?
Malah, karakter The Rock sebagai Hobbs sangat-sangat serupa macam Rajini. Sekali tumbuk, kontena pun boleh kemek. Hampeh. Wei, ini filem Tamil versi Hollywood ke?
The Fate of the Furious ini boleh dikatakan sebagai sebuah filem reunion. Ianya tidak mementingkan plot cerita yang kecil dan aksinya yang besar. Ianya kelihatan mementingkan memori dan juga kenangan.
Seperti mana yang aku cakapkan tadi, apabila filem ini kelihatan lebih kepada aksi daripada storytelling, maka semestinya tumpuan yang lebih harus diberikan kepada aksi. Emosi yang dicipta dalam filem ini kelihatan sangat minor dan tidak ada penekanan yang baik.
Jika kau adalah orang yang kali pertama menonton filem aksi lumba ini, kau mungkin akan merasa kagum. Tetapi, kalau kau dah biasa menonton sejak dari filem keempat, kau akan perasan yang filem-filem ini punya cara ending yang sama. Semua aksi racing besar pada penghujung filem kelihatan amat-amat biasa. Namun, situasi yang digunakan pada kali ini sekurang-kurangnya lebih baik daripada filem Furious 6.
Aksi di atas ais tu antara yang menarik. Panjang pula tu. Ianya sangat Hindustani, defying logic dan sangat menarik. Ianya mengingatkan aku kepada filem James Bond, Die Another Day. Tidak lupa juga kepada adegan kereta zombie yang memang agak ohsem dan unik.
Cuma, aku agak peliklah apabila Deckhard sedikit pun tidak minta maaf kerana membunuh kawan baik Dom sendiri. Wah, cepat pula diorang ni memaafkan antara satu sama lain.
Dengan menampilkan tema cyber crime dalam filem kali ini dengan jiwa yang lebih besar, The Fate of the Furious sebenarnya seperti sebuah filem Bond dengan rencah komedi, aksi dan juga kereta mewah.
Aku tidak menyatakan yang ianya filem The Fast and the Furious yang terbaik dalam sirinya, tetapi ianya masih lagi mampu untuk menghiburkan walaupun kadangkala ada kebosanan dek idea yang sama diulang-ulang. Untuk penggemar aksi kereta yang melanggar hukum fizik, aksi non-stop, filem ini untuk anda!
Berjaga-jaga, filem ke 9 akan ada! Jadi, baik kau siap sedia.
3.5/5
No comments:
Post a Comment