Akan Datang!

Monday, May 23, 2011

Review: Priest


Berkesempatan menonton Priest, sebuah filem futuristik yang pada pandangan aku lebih kepada sebuah penafsiran dunia gereja yang dibesar besarkan skalanya. Sebuah filem aksi yang luar biasa pada sesetengah point, namun nampak terlalu cliché pada sesetengah bahagian. Priest menampilkan Paul Bettany di barisan utama dengan bantuan Karl Urban serta Maggie Q dalam role utama. Priest pada pandangan aku bukanlah satu hasutan, tetapi ada satu sudut pandang positif yang boleh dilihat bagi orang bukan Kristian dalam menilai sesuatu terjemahan spiritual. Namun, dari sudut lain pula, kisah ini seolah mahu memberitahu kita sesuatu.



Filem Priest ini tak banyak beza pun dengan filem aksi futuristic Hollywood yang lain. Sebuah filem pasca-apokalips yang begitu selalu kita jumpa dalam beberapa ketika ini. Mungkinkah kehadiran filem sebegini sebenarnya satu propaganda Kristian tentang 2012? Abaikan persoalan ini kerana terlalu cetek akal untuk berfikir sedalam itu. Namun, Priest yang menggunakan subjek paderi sebagai karakter utama boleh layan. Suatu kreativiti Scott Charles Stewart mengadaptasi novel grafik karya Min-woo Hyung ke dalam visual filem.

movie mistakes dalam filem ini:

Priest berkisar dalam zaman pasca-apokalips, yang mana jelas menunjukkan bahawa dunia sudah ‘kiamat’ dan kehidupan manusia kini sudah bercampur aduk dengan teknologi yang masih ada sisa sisa namun diimpovisasi serta kehidupan yang sudah kurang ketamadunan. Dalam dunia serba gelap ini, dikatakan bahawa ketaatan kepada gereja sahaja mampu untuk membebaskan umat manusia dari belenggu kejahatan dan juga masalah (propaganda? Hmm…) Demi menjaga keamanan dan kesejahteraan, kononnya dalam filem ini ditunjukkan gereja berkuasa dan membina sebuah kawasan perlindungan untuk umat manusia. Keselamatan yang dijamin perlu dibalas dengan ketaatan kepada gereja yang mana akan disama ertikan dengan ketaatan kepada tuhan. Kenapa bandar ini dibina oleh gereja bukan persoalan yang penting. Tetapi apa yang terselindung di sebalik kuasa gereja itu sendiri adalah sesuatu yang harus difahami.

Alkisah pada zaman sebelum bandar ini dibina oleh gereja, puak vampires dan juga manusia berbalah dan wujud perang ‘salib’ antara dua puak besar ini. Perwira dunia manusia, adalah golongan paderi gereja yang dilatih untuk membunuh vampires. Namun, zaman itu sudah lama ditinggalkan. Malah, golongan perwira Priest ini juga sudah hamper dilupakan. Namun, Priest kita (Paul Bettany) mendengar khabar sedih apabila keluarga anak buahnya dibunuh kejam. Dikatakan bahawa vampires sudah kembali. Kuasa gereja tidak membenarkan Priest keluar dari bandar. Namun, hero kita terpaksa melanggar janji dan keluar dari bandar untuk membongkar sebuah kisah lama yang akhirnya membentuk kisah ini.

Keseluruhannya, disebabkan canangan filem ini lebih kepada adegan 3D, aku menyukai cinematografinya yang begitu jelas boleh dilihat cuba bermain dengan penonton. Walaupun aku tidak menonton filem ini dalam format 3D, aku masih boleh merasai permainan itu walaupun kurang. Priest lebih banyak bermain dengan kegelapan dan membuatkan aku rimas kerana babak siang kurang. Lagipun, logiklah.. vampires mana hidup waktu siang beb!


Dari segi garapan ceritanya, aku rasa ceritanya ok. Tetapi adegan intro yang menggunakan animasi 2D nampak macam tak best la. Walaupun penceritaannya sampai, tetapi memasukkan imej 2D dalam filem 3D nampaknya macam begitu mendukacitakan. Namun, filemnya selepas itu tetap ok. Aku menyukai konsep yang ingin disampaikan. Muzik Christopher Young ada impak. Adunan yang biasa namun begitu banyak membantu filem ini untuk berjalan sebagai sebuah filem fiksyen.

Bercakap pasal CGI, memang tak dapat dinafikan bahawa Priest mempunyai rekaan CGI yang begitu kemas dan cantik. Aku menyukai permainan aksi di rel keretapi yang begitu cantik dan kreatif. Malah, rekaan kawasan kawasan dalam zaman tersebut nampak luar biasa sekaligus memberikan satu pandangan dunia lain, yang mana mungkin akan dilihat dalam jutaan tahun akan datang (aku dah mampos sudaa!!). Makhluk ganas dalam filem ini membuatkan aku teringat makhluk dalam filem Resident Evil yang pertama.

Namun, satu kelemahan filem ini adalah pada pembinaan babaknya. Bukan apa, aku rasakan bahawa babak aksi dalam filem ini terlalu pendek dan tidak banyak meninggalkan impak kepada penonton. Babak aksi di tengah tengah filem amatlah mendukacitakan bukan kerana gaya, tetapi durasinya yang tidak memberi kepuasan maksima. Malah, adegan akhir juga rasanya bukanlah semegah mana. Klimaksnya terlalu biasa dan kurang impak. Walaupun, adegannya dibantu CGI yang memang high class, malangnya, ianya tak menjadi. Malah, dengan lakonan Maggie Q, yang sederhana tidak banyak membantu filem ini, Paul Bettany juga perwiranya. Dalam lakonan Maggie Q yang nampaknya tenggelam, aku menyukai gaya Karl Urban sebagai watak jahat. Lakonan yang versatil dan tidak mengecewakan.


Secara tersirat, aku lihat Priest wujud dalam dua sudut pandang. Dari satu sudut, Priest nampak seperti memerli institusi agama itu sendiri. Maklumlah, nak masuk confession room itu sendiri pun kena beratur macam masuk toilet. Malah, pada zaman ini juga, digambarkan bahawa pengampunan hanya perlu dilafazkan kepada mikrofon yang mana akan menganalisa bunyi suara seterusnya menghubungkan kepada paderi melalui tv. Malah, salibnya yang segi empat sama, adalah sesuatu yang abnormal, rasanya lah. Satu sudut pandang lagi, Priest nampak membesarkan institusi Kristian itu sendiri dengan mewujudkan paderi yang bukan seperti yang dilihat dalam realiti. Mana satu sudut pandangnya, aku hanya menonton untuk keseronokan, bukan apa apa.

Kesimpulannya, Priest nak tonton atau tak, terpulang pada korang. Tonton sekadar untuk hiburan dan enjoy the movie. Peluang menonton filem ini di Hall 13 Mid Valley tayangan 1.25 petang 22hb Mei 2011 bukanlah sesuatu yang merugikan. Filem ini sebenarnya terserah kepada anda untuk menilai, yang baik kita ambik, yang tak elok buang jauh jauh.

3.5/5

No comments:

Review: Kingsman 2 - The Golden Circle (2017)

Tahun Terbit | 2017 Pengarah | Matthew Vaughn Pelakon | Colin Firth, Taron Egerton, Julianne Moore, Halle Berry Tak banyak filem ...