Thursday, May 9, 2013

Novel: Perahu Kertas (Dee)


Perahu Kertas
Penulis: Dee
Penerbit: PTS Litera Utama


Mungkin aku boleh katakan karya romantik nukilan penulis Indonesia ini sangat menarik dan juga hebat. Aku agak suka karya sebegini kerana mereka bukan saja mendedahkan cinta dari sudut yang mereka mahu, tetapi pada masa yang sama memaparkan reality yang si penulis mahu tunjukkan. Perahu Kertas adalah bayangan dunia imaginasi yang terperangkap dalam dunia reality. Dan melalui Kugy dan Keenan, Dee menyampaikan mesejnya tersendiri. 

Pada mula membaca buku ini, aku rasakan dramanya dan juga persahabatan yang ditonjolkan amatlah biasa. Cuma Dee bijak menyilangkan watak wataknya dengan konflik yang saling bertingkah antara watak dengan watak. Kugy teman lelaki Ojos namun suka kepada Keenan. Keenan pula mahu dijodohkan dengan Wanda. Semuanya adalah paparan persahabatan semasa zaman universiti yang mereka lalui. 

Tidak hanya menetap pada satu masa saja, Dee kemudiannya membawa kita ke hadapan apabila Kugy dan Keenan ditakdirkan berpisah dari kelompok persahabatan itu selepas habis belajar. Konflik yang dibawanya simple. Dee menjelaskan yang hidup sebenarnya tidak ditentukan oleh diri kita sendiri. Sejauh mana kita bermimpi untuk menjadi sesuatu yang kita mahu, tanpa izin, semuanya tidak terjadi. Tetapi, apa yang kita boleh buat, adalah berusaha. 

Dee membawa reality dan fantasi yang bercampur melalui Keenan dan Kugy. Si Keenan yang minat melukis ditentang ayahnya dan akhirnya terdampar menjadi pengurus syarikat ayahnya. Kugy pula yang suka menulis dongeng kanak kanak terdampar menjadi pereka iklan. Kesemuanya disebatikan dengan sempurna dalam sebuah cinta yang agak tenang dan realitik. Jiwa muda ceritanya diserlahkan dengan baik. 

Kugy digambarkan sebagai seorang perempuan yang mencari ketenangan melalui fantasi. Dia 'pura pura' mengutus surat kepada dewa Neptun melalui perahu kertas jika dia ada masalah. Namun, digambarkan semakin dia meningkat dewasa, dia tidak lagi memerlukan kebergantungan terhadap 'dewa' yang diciptanya lagi. Gambaran jelas tentang kebebasan dalam mencari erti diri sebenar dan pemisahan antara dunia dewasa dan si kecil yang masih bersisa dalam diri Kugy.

Perahu Kertas bercerita tentang fantasi, harapan, ujian dan juga pelayaran hidup yang tidak diketahui nasibnya. Kisah cinta Keenan dan Kugy yang amat menarik paparan ini menyaksikan cerita ‘happy ending’ yang cukup baik. Jiwa ceritanya muda, imaginasi karakternya yang menyerlah, juga mesej yang ingin disampaikan amat menjadikan Perahu Kertas kisah cinta remaja yang baik. Luhde, Remi, Keenan, Kugy - mereka memang unik!Tidak hairanlah novel ini diangkat menjadi filem.

4/5

No comments: