Adik Manja 1974 memang best! Pada eranya, Adik Manja berjaya membawa satu cerita yang luar biasa. Dihimpunkan gadis gadis sebagai penyeri dan hanya satu saja wira, iaitu Cikgu Azmi yang berlegar legar dalam sebuah isu gender yang bermain main dengan komedi. Pada zaman itu, aku rasakan keberanian Adik Manja dengan keseksian ceritanya memang memberikan box office. 25 tahun lepas tu, Dharma Harun bawa kembali sekuel itu.
Cikgu Azmi kembali. Namun, malangnya Adik Manja Returns tidak mampu memberikan seri Adik Manja yang asal. Malah, gaya olahannya nampak cuba mengadun pelbagai isu semasa tetapi tidak berjaya menjadi seperti format filem Adik Manja yang asal. Aku rasa, secara peribadinya, Adik Manja sebenarnya agak popular sebab karakter karakter dalam filem tersebut yang ada peminatnya yang tersendiri. Malah, event eventnya juga berkait antara satu sama lain.
Dalam Adik Manja Returns, antara perkaitan yang menarik dan aku suka adalah penampilan cikgu Sofia dan juga beberapa siri flashback yang agak unik (menggunakan animasi). Mungkin penonton yang tak menonton Adik Manja akan merasakan animasi itu sia sia, tetapi bagi yang mengetahui salasilahnya, ianya akan berguna. Tetapi, aku rasa imbas kembali itu akan lebih menarik dan terkesan kalau digunakan visual asal Adik Manja. Mungkin itu lebih memberikan unsur kenangan kepada penonton.
Tidak seperti Adik Manja yang dahulu yang lebih kepada insiden komedi dan punya satu atau dua plot yang bercerita, Adik Manja kali ini nampaknya berselirat dan terlalu banyak subplot yang dibina tak pasal pasal. Adik Manja versi Hafsham dahulunya lebih simple dan cukup baik garapannya pada zaman itu. Tapi kali ini, nampaknya garapan memang nampak berserabut dengan pengisian subplot yang entah pape seperti insiden ah long dan juga racing haram.
Memang kehadiran Usop Wilcha dan juga insiden ah long India tu memang nampak sungguh tak ada guna dalam filem ini. Aku lebih mengharapkan kisah Cikgu Azmi itu dikembangkan dengan menjadikannya sebagai nadi kepada cerita. Tetapi, apa yang ditonjolkan hanyalah pergaduhan dua geng di sebuah kolej yang tidak henti henti tanpa memasukkan Cikgu Azmi yang bertindak sebagai penyelesai masalah.
Aku mengharapkan juga watak Cikgu Azmi itu menjadi lebih sopistikated dan juga lebih bercorak seperti filem asal. Cikgu Azmi dalam filem ini dilihat tidak ada banyak karakter dan emosi dan hanya bertindak macam ‘akulah wira’ tanpa apa apa faedah. Aku nampak Cikgu Azmi tidak muncul sebagai penyelesai masalah sebaliknya hanya sebagai orang yang sekadar tunjuk muka dalam sebuah filem yang pernah box office suatu tika dulu.
Aku agak hairan apabila sekuel ini mengembalikan watak Cikgu Dibah yang memang muncul dalam filem Adik Manja asal. Bukan apa, setting masanya sudah berjarak dan aku rasakan Cikgu Dibah ini sudah hilang dan jika ada pun mungkin sudah berkedut. Bukti zaman tersebut ialah pada watak Cikgu Sofia yang mana menjadi anak kepada pengetua asal dalam filem Adik Manja. Atau mungkinkah Dharma cuba mencorakkan watak unik itu sekadar untuk memori dengan mengembalikan Cikgu Dibah baru yang tiada kaitan dengan Cikgu Dibah lama?
Dialog dialog skema kadangkala menjadi paparan. Memang nampak skema gilerlah! Tapi, bukanlah semuanya skema. Dharma kadangkala bijak membawa mesejnya dalam beberapa babak yang berkesan. Paling hebat adalah insiden insiden komedi di awal cerita yang memang gila nak mampus! Memang ketawa habis dengan keletah pelajar nakal kolej yang mengembalikan kegilaan Adik Manja yang dahulu.
Overall aku tak rasakan Adik Manja menarik dari ceritanya. Ceritanya yang memang agak cincai dengan subplot yang memang tangkap muat menjadikan Adik Manja kali ini hilang seri. Namun, satu sudut positifnya, komedi filem ini memang cukup best pada awal cerita. Jangan bandingkan cerita ini dengan komedi lain sebab filem ini ada sentuhan gaya 70an yang berselit sedikit unsur moden. Komedi menjadi, cerita yang tangkap muat, dan memori yang cuba dikembalikan. Terpulang kepada korang untuk menilai.
2.5/5
No comments:
Post a Comment