Ni rasanya adalah percubaan kedua dalam industry kita dalam pemaparan cerita orang invisible. Dulu, XX Ray mempersembahkan gaya halimunan yang lebih bervisi dan memartabatkan wawasan 2020 yang cuba dicapai. Itu pada pandangan masa dulu yang mana teknologi dan futuristik satu impian. Kini, Halim Munan muncul, dalam zaman yang dah dekat dah dengan wawasan 2020, namun dengan penceritaan yang menggunakan teknologi terkini, tetapi ideanya dikolotkan dengan pembomohan. Nampaknya kita sudah pandang ke belakang.
Tak mengapa pada idea itu. Yang pasti, Halim Munan ini sebenarnya usaha kita untuk menjauhi klise. Dan, inilah dia percubaan Hashim Rejab dalam menjadikan filem invisible man versi Malaysia yang padat dengan ketahyulan cliché yang mana semakin hambar. Namun, dengan adanya kehalimunan Halim Munan, persembahan filem ini nampaknya berlandaskan sesuatu yang luar biasa pada ideanya, tetapi malangnya, kita masih tak dapat lari dari budaya yang mencengkam.
Lihat saja dulu, filem XX Ray contohnya membayangkan visi dan misi kita. Kisah time travel, malah invisible mannya sendiri menggambarkan dunia futuristik. Dek kita mendekati wawasan yang dicita dalam filem 90an tersebut, nampaknya kita mengundur membuang futuristik tersebut dan menggantikannya dengan ketahyulan. Halim Munan sepatutnya lebih hebat dari XX Ray. Malangnya, dek kerana terikat dengan faktor keinginan untuk mendapatkan untung semata mata, Halim Munan tak lebih dari sebuah cerita komedi biasa.
Aku puji visual efek filem ini. Walaupun kehalimunan Halim Munan tidaklah berjaya dilakukan dengan baik (sebab bayang bayang Halim masih kelihatan solid pada sesetengah babak walaupun Halim lut cahaya), filem ini adalah simbolik industry yang sudah mula menggunakan visual efek dalam membawa idea utama sesebuah filem. Halim Munan, dalam senarai filem filem boleh tonton untuk berhibur berada ke hadapan daripada filem filem lain. Untuk dimasukkan sebaris dengan Hikayat Merong Mahawangsa, ataupun Magika, ianya masih jauh.
Kejauhan itu terjadi disebabkan garapannya yang tak berapa menjadi. Cerita Halim Munan yang mana berkisar tentang Halim yang menjadi halimunan disebabkan mengambil kain kapan seorang pawing kampung sebelah itu boleh diterima akal sebagai sebuah hiburan. Tetapi, kewujudan kisah pocong yang entah apa apa melemaskan penceritaan Halim Munan yang tidak difokus dengan baik. Malah, keseluruhan cerita ini, kisah pocong itu sendiri lebih menonjol daripada kisah Halim Munan itu sendiri.
Dengan barisan pelakon pelakon murahan yang selalu sangat dilihat dalam filem MIG (walaupun filem ini hanyalah diedar oleh MIG), ini menjadikan semuanya biasa sangat. Tak ada apa pun yang nak dibanggakan dengan plot cerita ini. Sebuah kisah cinta dan drama biasa yang digerakkan dengan karakter karakter yang tak menentu. Sekadar hiburan ringan yang tidak ada apa apa pun yang spesel.
Namun, kita alihkan cerita Halim yang halimunan itu kepada insiden pocong pawang. Nah, di situ aku rasakan ideanya kelakar dan juga menarik. Abaikan kisah Halim dan lihat komedi komedi pocong yang rasanya memang berjaya menggeletek hati. Tetapi, ini bukan filem Lawak Pocong. Ini filem Halim Munan. Sepatutnya, cerita Halim yang halimunan itu lebih umph dari cerita pocong tersebut.
Tabik kepada Wan Hanafi Wan Su. Lakonannya memang aku sukai walaupun ini rasanya kali pertama aku melihat lakonannya sebagai bomoh kelakar. Dalam Hikayat Merong Mawangsa itu lain gayanya. Fizo Omar dan juga beberapa pelakon lain biasa biasa. Tak ada pun yang menonjol. Mungkin sebab karakternya terlalu banyak dan juga terlalu banyak benda yang nak diperkatakan. Maka, semuanya tenggelam dan tidak diberi peluang untuk menonjolkan emosi satu persatu.
Sebuah persembahan yang hambar dan murahan walaupun aku tahu CGI untuk menghalimunankan Halim bukanlah murah. Komedi pocong best! Tak ada yang menarik pasal halimunannya Halim melainkan teknologi yang digunapakai. Komedi pocong menjadi dan kelakar. Tetapi, cerita utamanya, Halim yang hilang selepas menyelimut dirinya dengan kain mayat pawing kampung sebelah seolah olah tenggelam dalam menyelesaikan konflik cerita yang berterabur dan tidak diatur dengan baik.
2/5
2/5
No comments:
Post a Comment