Friday, June 3, 2011

Review: Dalam Mihrab Cinta


Berkesempatan menonton filem Indonesia yang memang diharapkan menusuk jiwa. Disutradai sendiri oleh penulis novel terkemuka, juga merangkap penulis novel ini sendiri. Itulah yang tertera pada poster filem ini. Dalam Mihrab Cinta menyambung populariti Ayat Ayat Cinta dan adiknya Ketika Cinta Bertasbih. Sebuah filem yang begitu penuh dengan melodi islami yang ditulis oleh habiburrahman El Shirazy atau lebih dikenali sebagai Kang Abik. Dalam Mihrab Cinta menyusul sebagai filem ketiga dan pertama kalinya, penulis itu mahu menangani filem ini dengan luahan ideanya sendiri dalam bentuk filem.



Penonton semestinya bakal disajikan dengan wanita wanita bertudung yang begitu menawan. Itu adalah aspek penting sebuah filem Kang Abik. Namun, dalam pada masa yang sama, mesti akan timbul satu pemikiran bahawa Kang Abik ini dalam diam mengeksploitasi wanita bertudung untuk marketing filemnya. Ah, itu bukan satu kesalahan! Lebih baik bertudung dari yang terdedah bukan? Itu bukan aspek perbincangan penting dalam ulasan aku.

Melihat keseluruhannya, filem ini tak ubah seperti drama biasa. Ianya nampak suram dari beberapa aspek. Ciri ciri keistimewaan yang dimiliki Ayat Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih nampaknya tidak wujud dalam filem ini. Ya, aku akui semasa aku melihat filem ini, aku rasakan penontonan aku tak ubah seperti menonton sebuah sinetron di tv. Gayanya terlalu biasa malahan tidak ditangani dengan profesional. Beberapa babak nampak lewah dan tidak berjaya memancing penonton untuk menangis tetapi membuatkan reaksi tak dijangka terjadi.


Aku cuba mencari kelebihan dan kekuatan filem ini. Jujurnya, filem ini adalah sama saja dengan filem filem terdahulu. Garapan babaknya tidak ada yang lebih dan kurang dengan filem dahulu. Jika anda semua perasan, mana mana adegan dalam ketiga tiga filem (jika Ketika Cinta Bertasbih dikompilasikan sebagai satu filem), akan ada babak babak trademark seperti adegan duduk di kerusi di ruang tamu. Percakapan yang sedikit skema dan lembut itu mungkin satu perkara biasa, namun pembinaan babak yang kurang bervariasi menjadikan filem ini nampak seperti satu cermin filem terdahulu.

Malah, babak babaknya terlalu panjang dan nampak tidak diubah dengan baik secara adaptasi dari novel. Sesetengah penciptaan babak nampaknya begitu lemah sehinggakan emosinya tidak berjaya diberikan kepada penonton. Penggunaan single syot yang begitu banyak juga satu perkara yang menyebabkan aspek hiburan filem ini begitu mengecewakan.


Apa yang lainnya filem ini dari karya Kang Abik yang dahulu ialah pada isinya. Aku lihat, Kang Abik cuba menterjemahkan satu perara realiti yang luarbiasa. Satu sudut pandang yang kita selalu lupa. Perkara halal haram yang kita selalu lakukan tanpa usul periksa. Kisah Shamsul Hadi, pembelotan kerana cinta oleh si Borhan, adalah satu perkara realiti yang kita tidak sedar berlaku dalam dunia kita.

Malah, kali ini juga pembinaan watak utamanya nampak lebih realistik. Karakter Samsul Hadi itu sendiri sebenarnya bertindak balas dengan keadaan sekelilingnya yang menyebabkan dia menjadi seorang pencopet. Dalam pada masa yang sama, dia sedar yang dia melakukan satu perkara yang salah. Desakan yang menghimpitnya membuatkan dia terpaksa melakukannya. Sebuah pemikiran tentang halal haram yang bijak ditangani terutama apabila kita lihat Samsul Hadi memasukkan duit yang dicurinya ke dalam tabung mesjid.


Tak ada yang luar biasa tentang filem ini. Dengan sinematografi yang biasa dan banyak statik, filem ini tidak berjaya untuk memberikan satu cinematic art seperti filem terdahulu. Isinya sampai tetapi tidak dapat diangkat lebih tinggi dengan faktor penting pembentukan sesebuah filem, arahan yang hebat. Apapun, Dalam Mihrab Cinta memang akan menjadi sebuah filem yang ditonton bagi semua peminat filem Kang Abik dan juga pembaca novel Dalam Mihrab Cinta.

Keseluruhannya, Dalam Mihrab Cinta, sebagai sebuah filem pertama arahan seorang penulis novel hanyalah biasa biasa sahaja. Seperti mana aku cakap tadi, filem ini lemah pada seninya namun mesejnya tetap ada. Babak babak yang terlalu panjang dan single syot yang banyak membuatkan penontonan menjadi bosan pada sesetangah bahagian filem. Sebuah filem islami yang patut ditonton, jika anda mahu mesejnya dan bukan hiburan sinemanya..

2.5/5

No comments: