Aku tak tahulah apabila Osman Ali meletakkan Bara Jiwa a.k.a Jiwa Taiko ini sebagai sebuah filem yang cuba membangkitkan mutu persilatan negara, apa ada di kepala otak dia. Pada aku, Jiwa Taiko tak lebih dari filem Anak Halal yang diupgrade sana sini dan dikaburkan dengan beberapa rencah kehidupan terpesong yang selalu jadi permainan Osman Ali. Ya, filem ini bercerita tentang anak anak terbiar, sama saja dengan Anak Halal, tetapi, lainlah pada plotnya.
Meletakkan hero dan heroin yang ada rupa dalam sebuah filem seni mempertahankan diri memang silap besar. Mengambil contoh filem Thailand, Tony Jaa tidak diambil berlakon kerana kebolehannya dalam lakonan tetapi kebolehannya menkoreografi gerak aksi muay thai. Malah, meloncat seketika ke tanah Indonesia, Iko Uwais juga tidak diambil berlakon kerana kebolehannya berlakon tetapi kerana ketangkasan dalam silat harimaunya.
Justeru, untuk membina Jiwa Taiko yang segempak boleh dan mampu memfokuskan penonton pada aksi aksi koreografi silat, maka tidak perlulah ada wajah si hensem Remy Ishak untuk diutamakan, dan juga Fizz Fairuz untuk menyokong. Carilah newcomer yang pandai bersilat. Bukan harap rupa saja hensem, tapi bersilat macam menari chacha. Namun, letaknya Bront aku setujui. Malah, dengan adanya Diana Danielle yang membawa konflik cinta antara Firman dan Trisha, juga konflik Nadiayul Nisaa sebagai Lara memang buah yang masak enak, tetapi di dahan yang reput.
Jika Jiwa Taiko mahu membawa idea koreografi silat, sebenarnya lebih baik jika hanya Firman saja yang punya aksi persilatan. Aku rasakan dengan semua rakan rakan Firman bertarung dalam satu babak, mengambil contoh pertarungan di kapal lama, aksi tidak dapat diamati dengan jelas. Sekejap sekejap focus beralih ke watak itu, sekejap sekejap beralih ke watak satu lagi. Ambil contoh Merantau dan Ong Bak, setiap pertarungan yang mengagumkan menggabungkan satu versus satu dalam satu babak. Bukan lima versus lima dalam satu babak.
Bukanlah aku nak kata Jiwa Taiko seboleh bolehnya dilevelkan ke tahap Ong Bak mahupun Merantau, ataupun The Raid, tetapi sekurang kurangnya jika si penulis a.k.a pengarah cuba untuk meneliti filem yang dari luar untuk diamati formatnya untuk membina Jiwa Taiko, maka dapatlah diangkat sedikit tarafnya bagi filem ini. Untuk mengatakan filem ini memaparkan koreografi silat yang kreatif, tidaklah sangat. Semuanya koreografi biasa.
Perhatikan saja saat Firman bertarung dengan Frezz semasa Frezz menegur Firman dan Trish yang sedang beromen saat Lara bersedih. Pertarungan yang nampak terlalu berhati hati, dicampur dengan kerja kamera yang tidak memuaskan membuatkan adegan itu macam tarian balet versi silat saja. Malah, semasa Frezz terjatuh di atas meja kayu yang nampak agak mahal, jatuhannya pun seperti dijaga jaga supaya tak merosakkan meja.
Bukan babak itu saja, malah kesemua babak nampak tidak bijak menggunakan segala prop dan juga barang barang untuk dijadikan senjata. Sekali lagi, lihat ke Thailand, lihat ke China dan lihat ke Indonesia. Bagaimana silat itu dikoreografikan dengan kreativiti, bagaimana muay thai dikoreografi dengan kreativiti dan bagaimana kung fu dikoreografi dengan kreativiti. Penonton tak mahu lihat koreografi silat yang kilas sana kilas sini macam silat seni. Apa yang penonton mahu adalah kreativiti koreografi. Dan Jiwa Taiko tak ada itu.
Satu satunya kreativiti yang cuba dinukilkan adalah adegan aksi dalam train. Aku respect adegan tu dengan percubaan untuk menampilkan aksi pertarungan dalam kawasan sempit. Malangnya, adegan itu masih tidak mampu dikoreografi dengan baik. Salah siapa, salah koreografer lah! Justeru, walaupun settingnya agak baik, seperti mana aku katakana tadi, kreativiti koreografi takde, maka, adegan itu hanyalah biasa biasa saja.
Memang tak patutlah aku nak cerita pasal lakonan Remy Ishak dan Diana Danielle. Mereka memang dramanya sempurna. Dengan persembahan Bront Palarae yang berani mencium seluruh tubuh si Nadiyatul Nisaa untuk adegan berahi, memang filem Jiwa Taiko cuba untuk memancing penonton untuk menonton seksualitinya, dan bukannya silat aksinya. Tertanya tanya juga, perlukah sebuah filem silat dibantu oleh adegan peluk peluk yang berlambak. Tak perlu lagilah aku nak suruh pandang ke Thai dan Indo.
Kelemahan yang paling teruk dan menerukkan filem ini adalah suara Remy Ishak yang melatari awal cerita dan akhir cerita. Konflik diri Firman tidak dipaparkan dengan baik. Malah, jika konflik Firman lebih besar skopnya, mana ceritanya? Asyik asyik berbalik kepada kisah cintanya dengan Trish. Malah, dengan montaj yang terlalu banyak dan membosankan, ditambah dengan persembahan latihan silat yang terlalu banyak, ianya membosankan. Tak nak latihan silat yang banyak, yang utamanya adalah kreativiti aksi silat dalam satu pertarungan. Ok??
Muniff Isa memang cuba untuk memberikan persembahan yang baik. Tetapi Beto Kusyairi layak dinobati kemenonjolannya dalam membantu sisi Bront. Aku cukup menyukai lagak gayanya, tetapi disebabkan watak dua orang ini tidak diberi penekanan sangat, habis tu buat apa watak watak dua jahat ini dibina? Konflik mereka tidak dicaturkan. Kalau macam tu, baik buang je watak diorang ni.
Pengakhiran filem yang akhirnya cuba membina pertarungan sekali lagi mengecewakan. Gerak Bront Palarae dan Remy Ishak biasa. Dalam adegan pertarungan ini, aku lebih menyanjungi pertarungan Stephen Rahman Huges dengan Khir Rahman dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Tangkas, pantas dan cekap. Tidak seperti pertarungan akhir filem ini, lembab, dah lah diselah seli dengan si Lara yang sedang nak beranakkan anak luar nikah tu pula.
Dah aku jangka filem ini akan jadi sebegini. Filem kita bukannya tak mampu nak buat filem aksi, kalau tak masakan Hikayat Merong Mahawangsa punya koreografi aksi yang baik seperti filem Hollywood. Kalau tak ada koreografer yang hebat dari sini, Indonesia bukankah ada. Importlah demi untuk menunjukkan kematangan dan pembangunan filem aksi seni pertahankan diri. Mungkin Persatuan Silat yang bekerjasama agak terbiasa dalam mencorak koreografi aksi silat seni menyebabkan kreativiti silat seni untuk filem tidak menjadi.
Lihat bagaimana Merantau membuatkan silat menjadi sebuah aksi yang jaw dropping. Cukup untuk menginspirasikan kita. Malangnya, kita rasa kita mampu untuk buat sendiri tanpa bantuan orang lain, dan disebabkan itulah Jiwa Taiko menjadi filem aksi silat yang sampah walaupun dramanya agak baik garapannya. Ini filem aksi, kalau filem aksi, aksinya teruk tetapi dramanya baik, tak oklah jugak. Keseimbangan tu perlu. Ini nampak macam seksual saja lebih banyak dari silat. Apa jadah! Sekian.
2/5
1 comment:
filem ni tak patut ditayangkan sebenarnya
Post a Comment