Tahun Terbit | 2013
Pengarah | Woo Ming Jin
Pelakon | Zizan Razak, Siti Saleha, Izara Aishah (klik untuk senarai penuh pelakon)
Ada yang kata best, ada yang kata tak. Yang pasti, original idea dari buku Zombijaya ini sebenarnya sebuah persembahan zombie yang agak modern dan menjauhi zombie versi Mamat Khalid. Dalam ulasan buku dari aku tentang Zombijaya, aku menceritakan bagaiman jalan ceritanya agak kurang kemas, longgar dan kurang penekanan. Namun, pada visual imaginasi KL selepas pengzombian, itu sangat magis. Terjemahan Zombiejaya ke KL Zombi (yang mirip nama KL Gangster) pula bagaimana?
KL Zombi amat jauh dari filem zombie Malaysia yang sebelum ini ada (Mamat Khalid itulah satu satunya yang aku tahu ada). Menekankan visi untuk menjadikan zombie sebuah bintang di bumi Malaysia, pengarah nampaknya menyempitkan cerita novelnya yang agak berterabur dengan bantuan penulisnya sendiri. Maka, cerita yang lebih besar difokus kepada Nipis lakonan Zizan Razak memberikan pengalaman zombie yang sangat lain dari yang lain.
Pada aku, KL Zombi bijak memberikan operasi pengzombian yang berlaku di sekitar KL. Watak Nipis digunakan sebaik mungkin untuk membentuk adegan adegan yang sangat membantu menaikkan visual filem ni. Malah, ceritanya yang lebih pantas dan kemas nampaknya memberikan sisi baru bagi yang telah membaca novelnya.
Bagi yang belum membaca novelnya, KL Zombi mungkin agak membosankan. Memang ceritanya macam tak ada apa apa. Kosong. Cuma watak watak yang sekejap sekejap lakukan itu ini, bertingkah sana sini, dan in the end, ia hanyalah filem sekadar memaparkan survival few people yang tengah melarikan diri dari pengzombian yang telah berlaku secara tidak sengaja (disebabkan anjing kecil yang entah datang dari mana).
Walaupun ceritanya kemas, KL Zombi hilang sesuatu yang besar. Pada aku, sebuah filem yang faktanya direka perlulah ada fakta yang kuat supaya penonton dapat memegang kepada fakta itu untuk percaya apa yang mereka lihat. KL Zombi (malah novelnya juga) tiada itu. Kita hanya dipaparkan yang Aliff digigit anjing tanpa apa apa eksplanation tentang apa sebenarnya yang membuatkan anjing tu membawa virus zombi.
Malah, KL Zombi juga lemah pada latar tempat yang sangat tidak meyakinkan. Pengzombian yang berlaku tak sampai seminggu sudah menyebabkan dinding cat luntur. Pokok patah dan daun daun bertaburan yang agak melampau. Seperti apokalips. Penggunaan lorong belakang yang agak banyak agak melemahkan suasana zombie yang dibawa. Mungkin bajetnya perlu lebih besar untuk guna jalan besar untuk memaparkan suasana pengzombian yang lebih besar. Tak apalah, aku faham faham sendirilah.
Apa yang best ialah bagaimana Woo Min Jin membawakan visual yang sangat cantik dan memukau. Visual iklan iklan fake produk Bro Khalid sangat best! Malah, adegan ala ala filem Sherlock Holmes punya plan sebelum attack seseorang itu juga awesome. Sekurang kurangnya, dengan latar tempat yang kurang meyakinkan, kerja visual yang baik menutup kelemahan itu.
Zizan Razak terkawal. Antara lakonannya yang terbaik sepanjang dia berada dalam industri. Justeru, aku nampak pelakon lawak ini lebih tenang dalam berkomedi. Ada karakter yang wujud dalam setiap tingkahnya. Emosinya juga sudah makin bertambah baik. Mungkin kawalan lakonannya dalam KL Zombi antara yang terbaik. Tahniah untuk supporting punya watak yang juga banyak membantu Nipis dalam mengawal wataknya.
KL Zombi fresh, sangat cantik, dan tenang. Ada garangnya dengan kengerian, malang sedikit apabila potongan babak kejam melemahkan plot. Abaikan sajalah. Faham sajalah, Malaysia kan?. Pada aku, KL Zombi ada lakonan Zizan yang menarik untuk dilihat. Solekan yang membantu, dan visual yang cantik. Sedikit boring bagi yang belum biasa dengan filem sebegini. Bagi yang mahu idea baru, filem ini direkomendasi.
4/5