Akan Datang!

Thursday, January 23, 2014

Review: Tokan

Tahun Terbit | 2013
Pengarah | Ghaz Abu Bakar
Pelakon | Pekin Ibrahim, Johan Ashaari, Zizan Razak (klik untuk senarai penuh pelakon)

Aku pandang rendah filem ni. Ya, tidak harap apa apa. Mungkin sekadar filem biasa. Namun, semuanya berubah bila aku tonton filem ni yang menjerat aku untuk tanya apa kenapa dan siapa sebenarnya mereka mereka yang ada dalam filem ni. Dari Ghaz Abu Bakar yang mengkapcaikan hantu dalam Hantu Kapchai, Tokan ialah sebuah karya cliché yang punya cara tersendiri untuk terserlah dalam dunia filem Malaysia. 

Memula, bila aku tahun ini terbitan Pencil Pictures, maka aku tak mahu tak mahu fikir apa apa. Maklumlah, karya Aku Ada, Kau Ada tu pun taklah sehebat mana. Tapi, perancangan Tokan sempurna. Tidak seperti terbitan mereka yang dahulu, Tokan ada sesuatu yang agak baru, sedikit elemen Hollywood yang sangat sangat aku suka. Nampak kemenjadiannya walaupun sekali sekala ada juga lemah sana sini. 

Sebelum cerita bab plot, aku nak cakap yang kerja kameranya mungkin terbaik. Namun, aku mula rasakan kehilangan dalam roh visual yang diberikan apabila filem semakin menghampiri penamat. Gerak kerja visual nampak tidak lagi dititikberatkan seperti fasa awal filem. Begitu juga dengan editing yang jelas nampak bezanya dari separuh masa pertama filem dan juga separuh masa kedua filem. 

Namun begitu, Tokan masih ada istimewanya yang tersendiri. Buat idea asal yang diperah, aku rasakan apa yang diberikan berjaya mewujudkan misterinya tersendiri. Assassin lakonan Johan Ashaari itu berjaya timbul misteri walaupun aku tahu dia bakal membunuh satu persatu watak. Dari A sampai Z tidak dapat sedikitpun aku jangka apa yang bakal berlaku dari satu ke satu. 

Tokan bijak dalam menyusun babak, menyimpan misteri dan elemen kekeluargaan yang diberikan. Plotnya satu satu berpisah antara satu sama lain, diceritakan dengan tenang dalam setiap jiwa karakternya, lalu diberikan satu titik penyesalan yang sangat di luar jangkaan. Jelas, ideanya nampak segar dalam pembikinannya serta hasilnya. 

Aku mungkin menyukai Soffi Jikan dan Pekin yang membawa lakonan ikonik mereka. Soffi Jikan dengan caranya. Pekin mungkin agak pelik untuk sebuah karakter bodyguard. Namun, persembahannya boleh tahan. Zizan Razak mungkin sukar untuk menjadi karakter yang perlukan dia kawal kelebihan melawaknya. Dan dalam hasil lakonannya, aku cuma rasakan dia hanya memberi persembahan yang agak sederhana. 

Malah, aku rasakan agak janggal apabila setting Brazil pada awal filem yang tidak meyakinkan. Nampak macam kat Malaysia sangat! Adegan intro pembunuh upahan membunuh seorang lelaki yang keluar dari lif itu juga mungkin terjejas dengan lakonan Ajai yang agak kurang menjadi. Nasib baik dia hanyalah penampilan istimewa! 

Idea Fadzil Zahari yang diterajui Ghaz Abu Bakar ini memang sangat misteri, energetik dan ada gaya yang tersendiri. Tambah pulak dengan visual yang agak benar benar memberi perasaan menonton sebuah filem, Tokan memang sebuah filem yang stylish pada plot, penceritaan dan segalanya. Dari kuasa Hantu Kapchai, Ghaz Abu Bakar berjaya buka sebuah cerita 'keldai dadah' dalam satu tradisi yang belum pernah dialami! 

4.5/5

Review: Chikaro

Tahun Terbit | 2013
Pengarah | Nizam Zakaria
Pelakon | Izzue Islam, Adleena Nordin, Izara Aishah (klik untuk senarai penuh pelakon)

Bila aku tengok poster, aku rasa Chikaro ni memang sebuah filem yang sangat lucah dan bakal meloyakan. Maklum sajalah, awal awal lagi kita dah tengok wajah Izzue Islam dengan mimik nakal memandang punggung wanita yang entah siapa pemiliknya. Aku tertanya tanya apa benar punggung itu syarat wajib untuk memberitahu filem ni tentang ‘chikaro’? Atau adakah perlu punggung itu ditunjukkan sebegitu rupa? Tak seksi pun punggung tu. Menyemak adalah! '

Baik, kita ketepikan cerita Izzue Islam dan punggung perempuan mana tah di poster. Chikaro kita lihat dalam filem dan intinya pula. Filem arahan Nizam Zakaria ini sebenarnya tak ada kaitan sikit pun dengan punggung dan poster. Dan semuanya satu marketing yang sangat meloyakan untuk sebuah filem yang sangat sweet sebegini. Melihat dua sisi, promosi dan cerita yang tidak bersatu, Chikaro hilang satu sengat iaitu persepsi penonton. 

Filem ni tak ada apa apa yang baru. Ia hanyalah sebuah filem cinta biasa, diselang seli dengan unsur drama dan kehidupan belakang tabir sebuah produksi filem. Itu kurang lebih boleh aku samakan dengan drama drama tv sahaja. Dan apa yang pengarah ini beri, adalah itu juga. Sebuah drama tv punya cerita yang dibawa ke layar. 

Ceritanya ringan. Pada aku, filem yang lebih berkisar tentang karakter Anggun dan kisahnya ini tidak jauh dari sebuah karya ringan yang ditonjolkan untuk penonton yang ingin ‘ringan ringan’. Dari awal filem hinggalah akhir, aku tidak nampak percubaan pengarah untuk membesarkan apa sahaja emosi dan konflik yang diberikan. Yalah, ini filem ringan. Tapi, kalau ringan tapi tak ada rasa apa apa pun memang tak jadi jugak kan. 

Aku harap Nori lakonan Izara Aishah mungkin diserlahkan sebaik mungkin untuk menolak watak Anggun lakonan Adleena Nordin lebih ke hadapan. Namun, semakin lama, aku lihat watak Nori masih dok kat situ sampai bila bila walaupun dia ada alami perubahan yang sepatutnya diberikan. Ceritanya nampak tidak terserlah walaupun keseluruhan filem nampak benar mahu menceritakan kisah dan konflik dirinya yang berasal dari kampung. 

Apapun, walaupun ceritanya biasa, aku puji visual dan bagaimana filem ni bermain dengan gayanya yang tersendiri. Aku suka scene temubual tu walaupun aku rasakan ianya masih nampak plastik. Aku juga suka visual animasi yang diberikan. Sekaligus memberikan sentuhan feminin yang sangat menyuntik jiwa wanita dalam pengarahan pengarah ini. 

Keseluruhannya, filem kali ni lebih ringan. Sekurang kurangnya, idea kali ni lebih tenang dalam penyampaiannya dan tidak terperangkap seperti Kahwin 5. Jelas sangat pengarahnya tak mahu penonton berfikir panjang2 pasal jalan cerita. So, dia beri yang straightforward dan unsur animasi dan gaya yang menarik menjadi selingan. Sebuah filem yang tenang dan cantik dalam visualnya namun terlalu biasa dalam dramanya. Macam tonton bulu ayam jatuh ke lantai. 

3/5

Review: Tom Yum Goong 2

Tahu Terbit | 2013
Pengarah | Pracha Pinkaew
Pelakon | Tony Jaa, Jija Yanin, RZA (klik untuk senarai penuh pelakon)

Mungkin ini ialah filem aksi terbaik dari Thai yang pernah aku saksikan. Dari segi semuanya, filem ini berjaya membuatkan semua elemen bersatu dan membentuk sebuah kisah yang sangat besar dalam satu skala yang tidak pernah aku lihat dalam mana mana filem Pracha Pinkeaw. Untuk sebuah filem martial art, Tom Yum Goong 2 nampaknya mahu menunjukkan kekuatan dalam segala aspek. Binaan plot, rekaan set, muzik skor dan juga aksi aksi tahap terbaik! 

Akhirnya, aku rasakan Tony Jaa tidak menjadi satu monopoli besar dalam filem aksi. Pracha Pinkeaw nampaknya tidak memilih untuk membesarkan Kham sebagai tunggak cerita. Tetapi, apa yang aku nampak, pengarah ini membesarkan skala ceritanya, skala aksinya dan juga skala casting pelakon yang sangat memenuhi aspek lakonan. Dan kemenjadiannya, sempurna sebagai sebuah filem aksi buat penggemar filem aksi. 

Bagi yang mahukan drama, plot dan cerita, aku rasakan TYG2 bukanlah filem yang sesuai. Filem ini dipenuhi aksi yang tidak berhenti sejak dari adegan pertemuan Kham dan polis Interpol di bandar. Semua aksi bermula dan hanya berakhir apabila filem ni berakhir. Justeru sebagai seorang pengemar aksi, aku rasakan Pracha Pinkeaw sudah berjaya menaikkan taraf filem aksi Thai ke tahap kepuasan maksima yang infiniti! 

Sukakan plotnya yang nampak ringkas tapi diselangseli dengan plot kecil yang bergerak untuk memenuhi tuntutan aksi. Penulisannya nampak besar. Menonton plot TYG kedua ini tidak seperti filem pertamanya yang straightforward. Filem kali ni lebih twist dan memberikan perasaan kejutan dan emosi seperti sebuah filem 90an Hollywood! Ada komplot membunuh orang tertinggi, dunia jenayah yang lebih besar dan emosi yang diyakini. 

Malah, aku juga puji apa yang dipaparkan melalui visualnya. Walaupun ada kadangkala aksinya terlebih bantu oleh efek sehinggakan menampakkan kekurangan filem ni sebagai filem martial art, itu boleh dilupakan. Namun, hampir keseluruhan, aku rasakan visual efek berjaya menambah baik aksi seni bela diri itu sendiri. Set pertarungan nampak sangat luas dan lebih puas ditonton. Malah, visual efek juga berjaya menonjolkan aksi yang sukar dilakonkan dengan jaya. 

Aku tak nafikan kekuatan filem martial art itu sebenarnya hilang apabila TYG2 menggunakan tali, visual efek dan juga bantuan teknikal dalam menjayakan aksi. Namun, walaupun seni martial art itu hilang, sekurang kurangnya, kita sebenarnya boleh rasakan new era of their martial art filem. Aku sudah bosan menonton siri aksi muay thai yang sama dalam filem berlainan. Dan apa yang TYG 2 beri, buat aku rasa yakin bahawa ada cara untuk menghilangkan bosan itu melalui penggunaan CGI! 

Jujurnya, aku rasakan Tony Jaa masih dulu. Walaupun ada beberapa babak cuba untuk menonjolkan kekuatan lakonannya, aku rasa lakonannya hanyalah sederhana. Namun, kekuatan dia dalam beraksi, itu mmg tak dapat dinafikan. Walaupun lakonannya sederhana, aku salute bagaimana pengarah berjaya buat aku rasakan Kham itu sebagai satu watak yang ikonik dan patut dihormati atas apa yang dia dah lakukan. 

Gabungan Jeeja Yanin, Tony Jaa, RZA dan Marrese Crump memang menjadikan filem ni internasional. TYG 2 memang dipenuhi aksi. Namun, kekuatannya muncul pada plotnya yang juga bijak diselangseli dalam membentuk sebuah cerita aksi yang padat. Secara peribadi, apa yang Pracha Pinkeaw beri ini memang sebuah filem adrenalin pumping yang tidak kenal erti mengalah. Uniknya, hanya kerana seekor gajah, semua plot ini berkembang! 

4.5/5

Review: Cloudy With A Chance Of Meatball 2

Tahun Terbit | 2013
Pengarah | Cody Cameron & Kris Pearn
Pelakon (suara) | Bill Harder, Anna Faris, Will Forte (klik untuk senarai penuh pelakon)

Filem arahan Cody Cameron dan Kris Pearn ini mungkin agak kurang berbandingg filemnya yang pertama yang lebih original dan sedap. Bukan sahaja sedap bermimpi makanan jatuh dari langit, tetapi sedapnya melihat sebuah filem yang mengarut menjadi hiburan yang sangat menjadi. Aku suka filem yang pertama. Tetapi, selepas menonton sekuelnya ini, aku harapkan ianya hebat. Malangnya, ianya kurang menyenangkan hati aku. 

Ok, peminat Flint Lockwood semua, jangan ler marah ye sebab memang jujurnya aku rasakan sekuel ini agak goyah dan nampak sekadar melepas batuk je. Pada aku, filem ni kurang original dari cerita, dan malah predictable sejak dari awal. Kesilapan paling besar ialah memulakan filem ni dengan saat akhir filem pertama. Permulaannya sudah dilengah lengahkan dengan plot yang masih tidak ada arah tuju. 

Malah, adventure dalam filem ni yang menjadi premis cerita dari awal hingga akhir sangatlah membosankan. Pada aku, filem ni tidak mampu untuk bercakap tentang hal lain dan masih lagi meneroka jiwa Flint yang tak sudah sudah. Pada aku, aku mengharapkan sesuatu yang baru dan bukanlah repetition perkara yang sudah dibicarakan dalam filem pertama. 

Watak penjahat juga, yang meminjam kegedikan watak watak filem yang menjadi lawaknya dalam filem pertama agak mengecewakan. Karakter jahat Chester V nampak terlalu gedik dalam penampilannya sehingga aku sendiri rasa annoying! Flint Lockwood masih boleh diterima tapi Chester V, uh, aku rasa dos karakternya terlalu melebih lebih sehingga ‘evil’nya tidak wujud untuk menambahkan sifat jahat yang sepatutnya ada. 

Namun, dalam penceritaan yang pada aku agak membosankan, filem ni meriah dengan karakter karakter yang sangat luarbiasa. Tarikan sebenar mungkinlah kanak kanak yang biasanya akan suka dengan semua perkara ini. Dan pada mereka, apa yang disajikan mungkin sudah cukup untuk memuaskan mata mereka dan mengajak mereka tertawa. 

Tak dinafikan filem ni meriah dengan visual, warna dan kesan 3D (bagi yang pakai kacamata 3D), ternyata ianya bakal memberi pengalaman penontonan yang sangat luar biasa. Namun, bagi aku yang hanya menonton sekadar mahu melayan plot, aku rasakan ianya masih belum cukup untuk memuaskan hati aku yang mahukan plot yang lebih segar dan bukannya karakter sahaja yang segar. 

Karakter paling aku suka, kalau ditanya, pasti si strawberi. Ada juga watak watak yang sangat ikonik namun sebagai orang dewasa, agak sukar untuk menghadam kisahnya yang agak mengarut. Tapi, strawberi itu aku suka. Jika wataknya dikembangkan dengan lebih besar, aku rasa ianya boleh berada standing watak minion dari Despicable Me! 

Ok, begini sajalah. Aku fikir positif. Ada dua sisi penontonan. Pada aku, yang dewasa ini, inilah apa yang aku dapat. Plot yang boring, visual yang meriah, karakter yang menarik. Pada budak budak pula, aku rasa, filem ni dah cukup untuk menyajikan lawak dan persembahan yang membuat mereka tertarik. Jika anda seronok menonton dan korang ialah dewasa, itu maknanya korang ada jiwa kanak kanak. 

2.5/5

Wednesday, January 22, 2014

Novel: Eat Pray Love (Elizabeth Gilbert)

klik untuk gambar lebih besar
Buku ni mungkin agak menarik. Sangat sangat menarik sebab kita melihat sebuah cerita tentang bagaimana seorang manusia mula mencari erti ketuhanan dalam dirinya, mengejar cinta dalam hidup, dan mencari ketenangan. Karya Elizabeth Gilbert ini diceritakan dengan cara yang sangat santai sehinggakan membacanya ialah seperti membaca sebuah diari yang sangat penuh dengan pengalaman dan juga kisah hidup. 

Dibahagikan kepada 3 bahagian, buku ini membawa kita mengembara ke tiga negara. Itali, India dan seterusnya Indonesia. Di setiap negara, penulis bercerita tentang perkara penting yang dilakukan dalam hidupnya di sana. Dan setiap negara mewakili satu komponen hidup yang dia cari. Apa yang kita sebagai pembaca dapat, sebuah pandangan penulis tentang negara yang dia lawati. 

klik untuk gambar lebih besar
Gaya penulisan yang santai, serta penceritaan yang nampak detail membuatkan kita boleh rasakan setiap negara. Paling aku suka adalah ceritanya tentang India dan Indonesia Bali. Dua kawasan penting penceritaan yang sangat sangat menarik untuk dibaca. Mengenali Ketut Liyer, Wayans dan juga karakter sekeliling membuka mata tentang sikap manusia, dan juga budaya yang mereka ada. 

Sebuah buku yang mungkin buat orang yakin yang agama adalah satu perkara penting dalam hidup. Dalam pencarian seorang wanita mencari kesempurnaan hidup, Elizabeth Gilbert memberikan kita ruang untuk melihat tiga dunia dengan caranya tersendiri. Sebuah novel yang sangat menawan, seperti filemnya juga. 

4.5/5

Friday, January 17, 2014

Review: Captain Phillips

Tahun Terbit | 2013
Pengarah | Paul Greengrass
Pelakon |  Tom Hanks, Barkhad Abdi, Barkhad Abdirahman (klik untuk senarai penuh pelakon)

Mula mula nak tulis review ni, aku nak buat statement membandingkan filem ni dengan karya macam Bourne Ultimatum dan United 91. Tapi, in the end, aku rasa statement tu haruslah dicancel serta merta sebab aku baru tahu Captain Phillips ialah arahan pengarah yang sama. Patutlah aku rasa ketegangannya, gerak kerja kameranya, dan situasinya yang tak ubah seperti filem pengarah ini yang dulu. Lalu, aku mula tabik sekalilagi pada kerja Paul Greengrass ini yang sudah pasti antara yang terhebat. 

Biasalah, aku menonton memang tak selidik soal director dan hal hal berkaitan sebelum menonton. Aku suka berteka teki dan apabila selesai filem, barulah aku baca kreditnya satu persatu. Lalu, aku juga akan google dan ambil tahu segalanya. Tambahan pula, masa filem ni ditayang, aku berada dalam keadaan sibuk yang amat.

Baik! Berbalik kepada filem ini, bagi yang belum saksikan ataupun ambil tahu, filem ni adalah filem hijack. Ianya berdasarkan kisah benar yang diadaptasi dari sebuah buku yang ditulis mangsa serangan lanun ini sendiri. Lalu, adaptasi lakonlayar pula dibawa oleh Billy Ray. Dibantu Tom Hanks sebagai pelakon utama, filem ni ada factor yang sangat bagus untuk menarik penonton untuk menonton. Aku sedikit terlambat sebab factor kependudukan yang perlu diambil kira. 

Jika anda menonton United 93, arahan pengarah yang sama, filem ini menghampiri filem itu. Kita ada permulaan filem yang tidak lama untuk berdrama, kita ada sebuah kisah saspen yang betul betul terjadi suatu ketika dulu, dan kita ada kerja kamera yang memang benar benar menampilkan situasi yang dilakonkan seolah olah sedang berada dalam realitinya yang tersendiri. 

Dalam erti kata lain, Paul Greengrass berjaya menjadikan filem ni antara filem hijack terbaik yang sungguh tegang. Aku lekat mata setiap saat menonton filem ini di skrin. Tidak ada ruang untuk filem ni bermanja dengan adegan yang sangat buang masa dan berdrama. Setiap saat, penonton disajikan dengan situasi yang sangat energetik dari pelakon pelakonnya. 

Propagandanya jelas. Apalagi Amerika mahu tunjukkan? Ya, mereka akan lakukan apa sahaja untuk citizen mereka yang diancam. Kali ini Paul Greengrass membawakan situasi hijack dari udara (United 93) ke laut. Dan, dalam kekuatan emosi dramanya yang tegang, Paul membawakan kekuatan askar laut mereka yang menjadikan filem ni hebat! 

Aku suka Tom Hanks. Tapi, kalau orang tanya aku siapa lebih hebat dalam filem ni, aku rasakan mamat lanun gigi jongang tu. Pelakon bernama Brkhad Abdi yang diberanakkan di Mogadishu, Somalia itu antara yang paling menonjol. Kekuatannya pada akulah, bukan sahaja mampu menjadikan Tom Hanks hampir tenggelam. Boleh aku katakan, karakternya menjadi dan berada sebaris dengan lakonan Tom Hanks yang jadi fokus utama. 

Overall, Captains Phillips semuanya tentang dari A sampai Z sebuah rampasan kapal. Ianya satu cerita yang panjang lebar bermula dari jam pertama, yakni di kapal besar sehinggalah sejam selebihnya, yakni di bot penyelamat. Segala kerja Paul Greengrass berjaya memberikan satu lagi filem yang sangat tegang, cekang, dan berjaya gam mata dari berpaling satu saat dari skrin. Statement aku, akhirnya aku dapat sekali lagi rasakan filem hijack yang sempurna setelah lama aku tunggu. 

4.5/5

Review: Rush

Tahun Terbit | 2013
Pengarah | Ron Howard
Pelakon | Daniel Bruhl, Chris Hemsworth, Olivia Wilde (klik untuk senarai penuh pelakon)

Nikki Lauda dan James Hunt? Aku tak kenal pun siapa mamat ni. Yang aku tahu, Rush arahan Ron Howard ini dah berikan aku nama baru dalam kepala hotak aku yang sempit pasal Formula One. Yang aku ingat dalam kepala bila bercakap soal Formula One hanyalah Schumacher. Jadi, aku hanyalah letak objektif menonton ini seperti menonton filem fiksyen biasa. Sebelum menonton, aku memilih untuk melihat karya Ron Howard ini sendirian tanpa pencarian fakta. 

Ternyata, apa yang Ron Howard berikan membuka mata aku mengenali Nikki Lauda dan James Hunt. Walaupun dua pelumba ini berada pada zaman aku masih berada di dalam alam roh, kisahnya sangat memberikan aku tarikan yang sangat besar. Dalam erti kata lain, Ron Howard memilih sebuah cerita yang makan dua sisi emosi yang menjadi. Rush sebuah filem yang sangat heart-pumping dan emosional. 

Menonton Rush membuka mata tentang cita cita menjadi juara, dan bagaimana permainan hidup dalam mencapai sesuatu. Kisah Nikki lauda dan James Hunt bukan sekadar cerita litar lumba dan apa yang berlaku di sekelilingnya. Ianya berpijak atas keinginan untuk menjadi yang terbaik pada diri dan juga pada manusia sekeliling. 

Benar, aku sangat mengagumi emosi filem ni yang makin lama makin menusuk hati aku untuk turut bersimpati dengan Lauda, dan pada masa yang sama memahami jiwa Hunt yang terumbang ambing dalam menjadi yang terbaik. Apa yang pengarah Angels & Demon ini sajikan sangat menunjukkan realiti sebenar litar lumba dan kisah di sebaliknya. 

Pada masa awal menonton, aku hanya merasakan filem ni punya emosi yang biasa. Tidak mengharapkan apa apa yang lebih, aku mula tersuka dengan pelakon gigi arnab Daniel Bruhl yang menjadi fokus utama selain Chris Hemworth. Dengan karakternya, egonya dan keinginannya, filem ni makin lama menjadi seperti litar lumbanya yang tersendiri. Sesuai dengan tajuk, filem ni mengejar satu demi satu perlumbaan dua pelumba ini dalam moment moment yang sangat laju. 

Kelajuan filem, visual yang energetic dan juga emosi lagu latar belakang yang sangat mengagumkan menambahkan kredibiliti Rush. Semakin filem ni bergerak ke hadapan, semakin tinggi emosi dan falsafah yang diberikan. Tidak hairanlah filem ini mendapat respon yang agak bagus dari pengkritik. Sememangnya filem ni menerima kritikan yang selayaknya. 

Rush nampaknya buat aku buka mata tentang Nikki Lauda dan James Hunt. Lalu aku buka Google dan lantas menerjah Wiki. Sememangnya, Don Howard berjaya memberikan sebuah cerita yang sangat memberikan keterujaan untuk penonton sekarang mengenali dua lagenda ini. 

Pada aku, Rush memang sebuah filem yang bukan sahaja ditonton atas aksi perlumbaan yang sangat mengagumkan tetapi atas dasar kekuatan filem ni yang datang dari pelbagai aspek. Chris Hemsworth dan Daniel Bruhl menampilkan persembahan yang sangat mengagumkan. Daniel Bruhl paling menonjol kerana jiwa dan impiannya. Tahniah untuk sebuah filem yang diskripkan dengan bagus. 

 4.5/5

Review: Ninja 2 - Shadow of a Tear

Tahun Terbit | 2013
Pengarah | Isaac Florentine
Pelakon | Scott Adkins, Kane Kusogi, Mika Hijii (klik untuk senarai penuh pelakon)

Ninja 2 ni bukanlah filem yang betul2 ada seni. Menonton Ninja 2 seperti menonton filem Asia yang dalamnya ada pelakon Hollywood. Apapun, apa yang disajikan bukanlah sebuah seni filem yang sangat mahu penonton terpukau dengan visual. Sebaliknya, filem ni mahu jadi seperti Ong Bak, mahupun apa saja filem aksi seni bela diri Asia. Seperti filemnya yang pertama, Ninja 2 menampilkan Scott Adkins yang mana kehebatan seni bela diri tak dapat disangkal lagi. 

Walaupun filem ni taklah hebat mana sebab ia hanya sebuah filem DVD yang nampak murah, filem ni diyakini, pada aku, mampu memberikan persembahan energetik yang mampu memuaskan peminat filem aksi seni bela diri. Scott Adkins menjadikan filem ini sebagai sebuah filem simbol dirinya untuk dikenali. Maklumlah, mamat ni jarang dapat role utama dalam filem Gred A! 

Namun, aku pula ada rasa berbeza. Aku yakin, dan sangat yakin bahawa Hollywood yang mana dibantu oleh pengarah koreografi aksi Tim Man yang sebelum ini mengarah aksi Kill Bill, aksinya lebih ganas dan bervisi. Melihat pada keseluruhannya, Ninja 2 ada moment aksi yang sangat cantik, kemas dan juga memenuhi tuntutan sebuah filem aksi seni bela diri. 

Malangnya, jika aksinya tidak selari dengan kekuatan ceritanya, aku rasakan Ninja 2 tidak boleh pergi sejauh mana. Pendapat aku secara peribadi, filem ni gagal menyajikan sebuah penceritaan yang boleh memberikan keterujaan yang tinggi selari dengan aksi yang dipersembahkan. Filem ni juga gagal untuk memberikan perasaan berdebar dalam setiap kejutan plotnya yang bergerak dari aksi ke aksi. 

Entahlah orang lain macam mana, tapi bagi aku, aku kurang menyukai penulisan David White yang sangat jelas menunjukkan cerita itu hanya sekadar dibuat hanya untuk masukkan aksi. Ceritanya sangat kosong sehinggakan ianya nampak seperti hanya sebuah tali pengikat yang hanya digunakan untuk mempersembahkan aksi. Sungguh aku tidak rasa naik turun emosi setiap kali kejutan demi kejutan plot diberikan. 

Kegagalan dari segi plot itu mungkin menjadikan Ninja 2 sedikit mendatar pada setiap drama. Melihat sahaja plotnya yang sangat lurus dan tidak dipenuhi plot selayaknya, Ninja 2 buat aku rasa keciwa. Aku berharap plotnya lebih baik treatmentnya dan bukan hanya dibuat sekadar mahu membenarkan Scott Adkins beraksi! 

Tapi, kalau cakap bab aksi, memang tak dinafikan yang filem ni far better dari yang pertama. Walaupuun aku masih meyakini Asia lebih bagus garapan aksinya daripada Hollywood, Scott Adkins sudah lakukan sehabis mampu. Cuma sedikit keciwa lagi apabila pelakon ini agak gagal melempiaskan emosi yang seharusnya ada. Come on! Bini dia mati! Takkanlah tak ada satu pun emosi yang mampu buat penonton kata ‘apa tunggu lagi, kill the bad guy!’ 

Overall, Ninja 2 ada aksi yang lebih baik dari filem pertama. Namun, dalam kegagalan David White menampilkan plot yang lebih bagus dan juga emosi Scott Adkins yang lemah, filem ni terumbang ambing antara baik buruknya. Tak membosankan. Cuma mungkin anda akan rasa sedikit kosong apabila korang melihat bagaimana aksinya tidak betul2 memberikan cerita yang benar benar berdendam. Verdict, terumbang ambing. 

2.5/5

Thursday, January 9, 2014

Review: Krrish 3

Tahun Terbit | 2013
Pengarah | Rakesh Roshan
Pelakon | Hrithik Roshan, Priyanka Chopra, Vivek Oberoi (klik untuk senarai penuh pelakon)

Apabila SRK muncul dengan Ra.One dengan betul betul mempromosikannya sebagai superhero India, penonton dilupakan dengan Rakesh Roshan yang memulakan segalanya. Masa itu, Ra.One berjaya potong Krrish yang dihasilkan pada 2006. Dari segi visual efek, semuanya SRK boleh bangga. Tapi tak lagi kini. Rakesh Roshan nampaknya berjaya buat lebih dari apa yang SRK laburkan.Itupun dengan pertolongan kompani visual efek SRK jugak! 

Dan Krrish 3, yang berada dalam superhero lakonan Hrithik ini, lebih berbeza. Erti kata lainnya, ini satu lagi tangga baru industry superhero Bollywood! Krrish 3 penuh dengan imaginasi Rakesh Roshan yang liar. Apa yang dia nampak di Hollywood, itu yang dia mahu wujudkan dalam filem Bollywood. Dengan cita cita itu, maka Krrish 3 penuh dengan penciplakan yang jelas dan nyata. Tapi, penonton harus tahu yang Bollywood memang pakar menciplak. Penciplakan bukan hal biasa sejak dari dulu lagi. 

Bagi yang menonton, pastinya korang akan perasan yang filem ni ada campuran idea mutan X Men (watak jahat kuncu Kaal), visual terbang menerbang Krissh yang mirip visual filem Spiderman. Malah, pertarungan akhir yang mirip Man of Steel arahan Zack Snyder juga ada. Oh ya, pastikan jangan lupa menonton bagaimana Bollywood menggunakan kepakaran CGI mereka untuk mewujudkan insiden yang mirip satu adegan dalam filem Dark of the Moon! 

Namun, Rakesh Roshan masih berjaya buat orang kata, ciplakan itu hanyalah satu benda yang tak harus difikirkan. Pengarah ini bijak mengadun drama dan juga cliché Bollywood sehinggakan aku merasakan ianya sebuah filem Bollywood yang hidup. Menerima sentuhan lagu lagu, ditambah moment dan dialog yang sangat biasa ditonjol dalam filem Bollywood, Krrish 3 hidup. 

Fasa pertamanya mungkin sedikit kurang kuat apabila aku rasakan bagaimana Kaal dan Krrish punya hidup nampak dilengahkan dengan percubaan Rakesh Roshan untuk sebolehnya membuatkan pertemuan Kaal dan Krrish bermula di fasa selepas Intermission. Walaupun begitu, dramanya, dan juga kemunculan Rohit Mehra yang juga dilakonkan Hrithik menjadi perhatian. 

Aksi maksi kabom boom boom yang sangat gila berlaku di fasa kedua. Fasa dimana kita melihat visual efek yang lebih banyak dilaburkan untuk tatapan mata. Dan disini jugaklah akan berlaku sebut menyebut filem filem Hollywood yang ditiru dari mulut penonton. ‘Ah, ini filem ni! Ah, ini filem tu!’. Jika korang kata macam itu sepanjang penontonan, maka keseronokannya mungkin akan hilang. Just ketepikan semua tu, dan have fun! 

Disebalik semua persembahan CGI yang mungkin aku kira paling hebat buat filem Bollywood setakat ini, Krrish 3 sebenarnya ada dua sebab sahaja kenapa ia muncul selepas 11 tahun! Satu, memenuhi tuntutan sekuel buat peminat Krrish. Dan keduanya, untuk memberikan apa yang Bollywood mampu saji dengan visual efek yang menjangkau limit mereka. 

Dengan plot yang penuh dengan ciplakan, Krrish 3 masih mampu memberikan perassn taching yang biasa diterima bagi penggemar tegar Bollywood. Mungkin yang tidak menyukai aktiviti ciplak menciplak, Krrish 3 mungkin sukar diterima. Namun, apa yang patut anda lihat bukanlah pada cerita, tetapi pada impian dan imaginasi orang filem Bollywood yang mampu usaha keras untuk tunjukkan yang mereka boleh. Bollywood boleh! Malaysia pun boleh! 

4/5

Review: Laki-laki

Tahun Terbit | 2013
Pengarah | Ollyn Khadri
Pelakon | Angah Raja Lawak, Zul Handyblack, Mie Raja Lawak (klik untuk senarai penuh pelakon)

Pada aku, Laki Laki adalah filem yang sangat membuang masa. Aku akui ianya sebuah filem yang ada nilai persahabatan yang mahu dijadikan satu premis cantik dan jujur tentang dunia lelaki. Namun, ianya masih nampak seperti satu lagi filem main main yang tidak dicipta atas dasar nafsu ingin benar mahu saji cerita tentang lelaki. Laki Laki tidak ubah seperti sebuah filem yang sekadar buat hanya untuk cuba dan mencuba menarik penonton yang tak pernah faham filem. 

Menonton Laki Laki menyaksikan aku menilai filem ni dengan perasaan tertunggu tunggu bila filem ni mahu habis. Nasib baiklah filem filem David Teo ini tak lebih dari 1 jam 20 minit. Maka, selesai saja filem ini, aku rasa lega kerana habislah sengsara menonton sebuah filem yang tidak ada apa apa yang mahu disajikan selain sebuah adventure lima lelaki yang tak menjadi. 

Kalau MIG nak jadikan filem ni sebagai satu tanda yang mereka sudah bikin 100 filem, rasanya Laki Laki tak patut berada di dalam senarai untuk berada di nombor seratus. Sepatutnya, dengan visual efek yang sudah mula menjadi tambah baik yang menarik untuk ditonton, skrip dan ceritanya seharusnya bertambah baik. Kalau sekadar teknologi sahaja bergerak ke depan tapi kepala otak masih di belakang, tak ada guna geng! 

Dalam filem ni, sindiran demi sindiran digunakan sebagai joke. Malangnya, ianya tidak sampai kepada aku. Dan kadangkala, sindiran itu memberikan rasa annoying yang terus menyebabkan aku rasa mual dan geli. 

Ollyn Khadri gagal untuk menunjukkan sifat ego dan juga kisah lelaki yang mahu diutarakan. Di keseluruhan cerita, Laki Laki hanyalah sebuah filem yang ditulis tangkap muat dan tak ada apa apa yang istimewa. Aku ada juga nampak percubaan untuk memberikan apa yang filem ni berhak dapat, tapi ianya tenggelam apabila kemalasan untuk explore lebih lagi terjadi di sepanjang filem ini. Sia sia sahaja semua ni! 

Aku sebenarnya suka semua gandingan watak. Watak ok, bukan pelakon. Ada beza tu!. Karakter yang diberi sudah boleh bertingkah dengan baik untuk mewujudkan situasi yang ada komedi dan emosi yang layak. Namun, lakonan yang kurang menyenangkan aku sebagai penonton, ditambah pula dengan insiden insiden yang sangat bermain main, Laki Laki menambah keterukan. Aku menanti sudut komedinya di fasa pertama, konfliknya di fasa kedua, dan penyelesaiannya di fasa ketiga. Semuanya tiada! Gagal! 

Lakonan Zul Handyblack sia sia. Ditambah pula lagi tiga pelakon yang sangatlah tergedik gedik untuk jadi habis baik. Bukan nak salahkan mereka. Salahkan pencerita yang mahukan mereka jadi sebegitu. Angah mungkin antara yang terbaik. Namun, dalam sekumpulan kisah ini, dia masih gagal untuk menjadikan Laki Laki gah dan menarik. 

Overall, tak ada apa yang istimewa pasal filem ni. Kalau korang nak tonton copycat Jack Sparrow dalam filem ni, lupakan sajalah. Laki Laki termasuk dalam filem MIG yang worst dan tidak patut wujud. Sebuah filem yang sangat sia sia jika korang menontonnya untuk ketawa terbahak bahak. Jika korang tanya aku apa paling baik dalam filem ni, aku akan jawab moment tidur sambil dengar dialog laki laki gedik bersuara dalam filem ni. 

2/5

Review: Papadom 2

Tahun Terbit | 2013
Pengarah | Afdlin Shauki
Pelakon | Adflin Shauki, Liyana Jasmay, Khir Rahman (klik untuk senarai penuh pelakon)

Aku sebenarnya sudah mula hampa dengan komedi komedi Afdlin Shauki. Pada aku, melihatnya melawak tidak mampu buat aku gelak. Ada orang cakap, ianya black komedi. Sindiran dalam erti kata lainnya. Namun, sindir menyindir tak mampu buat aku ketawa. Mungkin sebab aku sendiri tak suka menyindir. Aku fikir, Afdlin sendiri tidak mampu untuk melawak sekelakar kehendak masa sekarang. Namun dia masih berkata ‘ya’ pada kebolehannya yang dia yakin ada. 

Maka, muncullah Pontianak vs Orang Minyak yang menyaksikan meluat aku bertambah tambah. Komedinya makin meleret sehinggakan meluatnya menjadi kematu sehinggakan aku sendiri sudah mula rasakan tindakannya untuk keluar dari Maharaja Lawak Mega 2013 itu adalah satu perkara yang sangat wajar. 

Afdlin berkebolehan. Tidak dapat dinafikan sejak Buli menjadi filem pertamanya, dia sebenarnya membuat filem dengan jiwa, seni dan juga ikhlas. Apa yang ada dalam filemnya tidak sekadar hanya cerita yang kosong. Dalamnya ada inti yang sangat sedap sehinggakan menonton beberapa filemnya yang dulu sudah seperti sedapnya memakan kuih karipap di waktu pagi di warung mak cik yang kita suka. 

Papadom antara karya terbaiknya. Aku suka. Dan menonton kepada sekuel Papadom 2, aku yakin bahawa filem Papadom ini adalah sebenarnya jiwa sebenar Afdlin. Dia sebenarnya menjadi seorang yang betul diyakini sehinggakan apa yang ada dalam filem ini tidak dibuat buat seperti filem komedi hitam yang pernah dibuat. Melihat kepada sekuel ini, kita sebenarnya melihat ke dalam jiwa Afdlin yang sebenar. Itulah dia si Afdlin Shauki yang berkebolehan. 

Kelakarnya tidak tinggi. Sekadar cukup rasa. Itu sepatutnya jadi kepada sebuah filem yang ada perisa. Papadom 2, seperti filem pertamanya, ada semua perisa. Afdlin mengajak kita untuk bergelak ketawa, sedih, gembira, meraikan jiwa, dan pada masa yang sama mengajak kita berfikir tentang pentingnya kasih sayang dan juga menghargai hidup. Jiwa filem ni kuat sebab mungkin Afdlin meluahkan semua suka dukanya sekuat hati. 

Sekuel ini membawakan kekuatannya yang tersendiri. Afdlin membawa misteri dalam drama teka teki suami Mia yang pada aku sangat baik garapannya. Gayanya tenang. Misteri disimpan dengan bagus. Dan setiap insiden dibina dengan jiwa dan semangat yang serius dan ada gaya. Sekali sekala Afdlin suntik sindiran, dan apabila ianya kena pada tempatnya, gelak tawa aku besar. Dan bila aku berjaya ketawa dengan apa yang diberi, itu maknanya filem Afdlin seharusnya sebaik ini sahaja. 

Filem dalam filem mungkin satu perkara yang sangat best untuk ditonton. Paling best, mungkin ramai yang sedar permulaan filem ini sebenarnya diambil dari filem Armageddon arahan Michael Bay dengan campur aduk lagu Aerosmith, I Don’t Wanna Miss A Thing. Sindirannya bertambah buat industry filem tersendiri dan kadang kala mungkin ‘makan dalam’ juga buat pengarah lain. Aku sangat suka. Afdlin sedar tentang situasi di sekeliling. Dan situasi itu diguna untuk dijadikan hiburan. 

Tahniah untuk Afdlin juga kerana casting juga adalah satu aspek yang sangat thor-baik. Pelakon pelakon semuanya top class. Dari sekecil kecil watak sehinggalah sebesar besar planet, Afdlin masukkan pelakon yang memang sangat dikenali. Tak ada ruang untuk extra yang enah dari mana. 

Lakonan Afdlin aku rasakan antara terbaik. Naluri bapa, sifat kasih sayang dan juga perasaan ayah-anak antara benda yang sangat hidup dalam filem ni. Afdlin sampaikan dengan jiwa sehinggakan aku rasakan itulah Afdlin yang sebenar. Cuma, aku kurang suka watak mak andam solek lakonan Dira Abu Zahar yang mengelirukan karakternya. Taka pa, just benda kecil. 

Overall, Papadom akan jadi filem Afdlin yang terbaik selamanya. Aku berani cakap yang filem ni akan menjadi filem Afdlin Shauki yang paling diingati sampai bila bila. Jelas yang dia tidak perlu mengkelakarkan diri untuk jadi kelakar. Menjadi diri sendiri adalah kekuatannya dan melawak melebih hanyalah waste of time. Terbaik untuk Papadom 2. Tawa, sedih, suka.. perencah sempurna untuk sebuah filem. 

4.5/5

Review: Carrie

Tahun Terbit | 2013
Pengarah | Kimberly Pierce
Pelakon | Chloe Grace Moretz, Julianne Moore, Gabriella Wilde (klik untuk senarai penuh pelakon)

Memula, aku agak terkejut apabila aku dapati cerita penuh yang aku tonton tak sama dengan huraian plot kat dalam Wikipedia. Lalu aku selidiki, maka aku jumpa satu penemuan. Carrie tahun 2013 yang aku tonton ini rupanya versi alternate ending. Maka, bertambah teruja bila aku tahu yang di panggung, pengakhirannya berbeza. Selidiki dan selidiki, maka aku berpeluang menonton kedua dua ending. Dan bijaknya filem ni, dua pengakhiran tersebut memberi dua nafas berbeza kepada filem ini. 

Spoilernya aku nak beritahu, ending versi panggung yang mana dapat tonton tempoh hari nampak lebih lurus dan memberikan nafas lega buat penonton. Manakala ending versi Bluray dan DVD pula punya nafas yang lebih ngeri dan bakal memberikan aura berbeza kepada keseluruhan filem. 

Carrie membawa kisah buli, dan cerita remaja dan kisah mereka. Diadaptasikan sebanyak tiga kali termasuk kali ini sudah menunjukkan bagaimana plot Stephen King ini mampu membawakan keseraman dan juga kehebatannya tersendiri. Sedikit fakta, filem Carrie versi 2013 ini bukanlah adaptasi dari novelnya yang sebenar. Menurut sumber, filem ni adalah adaptasi babak ke babak filem 1976 arahan De Palma. Maknanya, tak ada improvement untuk sebuah remake. 

Tidak berkesempatan menonton versi 1976 oleh Brian De Palma, aku rasakan Carrie versi 2013 ini sememangnya jauh lebih hebat dari yang dulu dulu. Berdasarkan trailer di Youtube, aku dapat bandingkan yang Carrie 2013 dan 1976 punya scene yang sama tetapi diolah dalam cara yang sedikit berbeza. Dalam erti kata lain, Carrie arahan Kimberly Peirce ni adalah penceritaan semula Carrie versi Brian De Palma yang dibantu dengan CGI yang dulunya tiada. 

Melihat Chloe Crace Moretz sebagai Carrie memberikan aku sedikit perasaan terganggu. Bukan apa, sebabnya aku lebih dekat dengannya melalui watak dalam filem Kick-ass. Namun, sedikit demi sedikit, rohani Carrie mula meresap dan aku rasakan pelakon ini sudah mampu memberi aku keyakinan untuk sebuah filem horror sebegini. Walaupun begitu, aku masih rasakan ada pelakon yang lebih baik dari pelakon ini untuk membawa watak Carrie. 

Julianne Moore pada aku sedikit kurang menyengat. Mungkin aku lebih suka melihatnya dalam watak besar dan bukannya watak ibu yang macam orang gila ini. 

Jujurnya, aku rasakan menunggu lebih 1 jam untuk sebuah malam prom yang menjadi insiden besar yang patut dilihat kadangkala menjadikan ianya sekadar filem yang hanya memenuhi tuntutan sebuah adaptasi. Tetapi, apa yang menarik dalam versi kali ni ialah CGi yang bakal menambah perisa seram, ngeri dan kejam babak babaknya. Pada aku, aku berharap lebih, namun ini pun dah cukup. 

Carrie boleh tahan. Adaptasi ini mungkin pada aku lebih berani dan menerima sentuhan baru yang lebih baik dari yang dulu. Namun, disebaliknya, Carrie tak ubah seperti sebuah filem copycat yang meniru untuk mencari jalan mudah. Tidak menghampakan pada aku. Mungkin ramai yang akan menyatakan yang klasik itu mungkin terbaik. Namun, bagi yang berada pada generasi ini, Carrie sudah memenuhi tuntutan penontonnya. 

4/5

klik sini - untuk tonton ending asal Carrie (2013)
klik sini - untuk tonton ending alternatif Carrie (2013)

Friday, January 3, 2014

Review: Malam Penuh Bermisteri

Tahun Terbit | 2013
Pengarah | Shasha Omar
Pelakon | Shasha Omar, Dato Rahim Razali, Azri Iskandar (klik untuk senarai penuh pelakon)

Nama filem Malam Penuh Bermisteri. Tapi, ceritanya tak cerita pasa malam dan misteri misteri yang menyelubunginya pun. Aku fikir fikir dan tercari cari, mana misteri yang nak diutarakan. Apakah ceritanya sangat bermisteri hinggakan tajuknya sebegitu? Di akhir penontonan, aku tepuk dahi juga tonton filem Shasha Haji Omar ini. Bukan kerana ianya tidak bagus sepenuhnya atau apa. Cuma, aku mencari apa kaitan tajuk dengan cerita. 

Namun, dalam melihat kepada keseluruhan cerita, Malam Penuh Bermisteri ini masih lagi mencuba untuk jadi yang terbaik, tapi gagal. Kita sebenarnya tidak disajikan dengan misteri satu malam, ataupun malam malam yang muncul dalam filem ni, tapi hanyalah misteri biasa. Menonton filem ni mengingatkan aku kepada The Sixth Sense dan juga kejutan dalam Odd Thomas. Tak perlu aku spoilkan rahsianya kerana itu benda besar filem ni. 

Sebagai penonton yang dah selalu menonton, rahsia Lisa itu sudah aku duga semejak mak bapak dia bertelagah masa di meja makan lagi. Walaupun penulisannya menegaskan watak Lisa itu tersisih sebab konflik keluarga, aku sudah rasakan sebaliknya. Dan dugaan aku benar. Dan disebabkan itu jugaklah, feeling menonton untuk merasakan misteri itu sudah hilang sejak mula. Walaupun aku rasakan aku gagal merasai misteri itu sebab sudah menduga sejak dari awal, aku rasakan kejutan itu masih mampu terjadi buat segelintir manusia yang tak pernah tonton filem. 

Plotnya juga makin lama makin tidak bercambah dan sekaligus menambahkan kebosanan kepada filem. Tak ada konflik yang menjadi untuk menjadi side dish yang berjaya. Aku rasa plotnya makin cuba memberikan misteri sehinggakan misteri itu sendiri dah jadi seperti satu paket kebosanan yang sangat berjela. Buat apa nak ternanti nanti sesuatu yang misterinya seperti sedang lesu dan hanya didedahkan macam sambil lewa? 

Filem ni bertambah teruk apabila menonton filem ni sangat tak ubah seperti menonton Maharaja Lawak. Aku tak patut rasa kelakar bila tonton filem seram. Bila itu jadi, maka ianya satu kegagalan tahap ultima. Dubbing filem ni sangat teruk. Seolah olah korang menonton filem Tamil yang dibarisi pelakon pelakon Malaysia. Paling kelakar ialah dubbing watak ayah Lisa lakonan Rahim Razali. Siapalah yang dub suara tu. Habis kacau! 

Aku sendiri tidak faham motif hantu air yang diwujudkan. Efeknya boleh dikatakan boleh tahan. Cuma plotnya nampak sangat macam saja saja nak isi supaya ceritanya panjang. Padahal, lebih banyak konflik relevan boleh diisi untuk misterikan lagi filem ni. 

Dengan perkataan Bermisteri yang sangat nampak janggal, filem ni macam tu jugaklah. Ada percubaan yang baik dari segi visual, namun kekemasan cerita masih di tahap lama. Nampak terlalu sambil lewa untuk sembunyikan misteri Lisa sehinggakan misteri itu jelas dan dapat diduga. Pada aku, filem ni gagal sebagai filem seram. Malah, kejutan yang sudah hilang saat beberapa babak gagal menyembunyikan misteri yang mahu disajikan menjadikan filem ni hanyalah drama biasa yang taklah seram mana pun! 

2/5

Review: Kingsman 2 - The Golden Circle (2017)

Tahun Terbit | 2017 Pengarah | Matthew Vaughn Pelakon | Colin Firth, Taron Egerton, Julianne Moore, Halle Berry Tak banyak filem ...