Pengarah | Andy Muschietti
Pelakon | Bill Skarsgard, Jeremy Ray Taylor, Sophia Lillis
Ketika menonton The Dark Tower sebelum ini, aku memang rasakan sedikit kekecewaan apabila adaptasi filem itu gagal memberikan ruang untuk dunia adaptasi Stephen King menjadi hebat dan luas. Ternyata, penterjemahan karya penulis tersohor ini bukan mudah. Ianya memerlukan cara dan gaya yang betul supaya ianya menjadi hebat di visual.
Tak lama selepas itu, muncul satu lagi filem adaptasi dari novel Stephen King. It! Semua orang tahu bahawa It pernah diadaptasi suatu ketika dulu dalam bentuk filem tv yang ada dua bahagian. Adaptasi itu menjadi klasik sehinggakan ramai kanak-kanak fobia dengan badut. Ketika aku menulis, aku masih lagi tidak menonton filem asal.
It versi 2017 dibikin dalam dua bahagian, sama seperti filem tv 1990. Sebelum ini, watak It dipegang oleh Tim Curry. Untuk versi 2017, pelakon hensem Bill Skarsgard memegang peranan itu.
Bagi aku, It ialah sebuah filem seram yang berada dalam kelasnya yang tersendiri. Jika nak dibandingkan dengan The Conjuring, dan juga beberapa filem seram lain, It tidak boleh diletakkan dalam mana-mana kelas. Ianya bukan cerita hantu, tapi tidak juga syaitan. Ianya bukanlah filem yang banyak elemen tanjat-tanjat, tapi boleh juga buat kau seram sejuk. Ianya sebuah filem yang menakutkan.
Pelik juga apabila kita melihat filem yang dilakonkan oleh budak-budak dipenuhi dengan perkataan lucah dan juga adegan yang agak-agak janggal untuk dilakonkan oleh pelakon bawah umur. Tapi, itulah hakikatnya yang bakal korang dapat dalam filem ini. It mengisahkan persahabatan geng Losers yang mana sentiasa dibuli. Dan gelagat mereka yang kadangkala poyo tu menjadikan kisah ini menarik.
It tidak dipenuhi dengan keseraman dari awal sampai habis. Dalam durasi masa dua jam lebih itu, penonton dibawa untuk melihat persahabatan geng Losers dan pada masa yang sama melihat mereka menjadi dewasa tatkala si badut Pennywise cuba untuk memakan ketakutan mereka. Ada unsur-unsur persahabatan dan juga kekuatan satu pasukan yang dipaparkan yang boleh dijadikan teladan.
Filem ini juga tidak dipenuhi dengan adegan seram yang panjang. Pennywise tidak muncul banyak kali pun dalam bahagian pertama filem ini. Tapi, penonton masih boleh dibawa menghayati kesemua cerita yang diberikan. Dan ianya masih entertaining walaupun Pennywise dipinggirkan dalam bahagian pertama filem ini.
Budak-budak dalam filem ni memang matang habis! Memang takkan perasan sikit pun yang mereka ini hanyalah budak-budak hingusan yang sedang berusaha untuk melawan ketakutan mereka. Ada sedikit elemen romantik yang dibawa untuk mengindahkan suasana, dan ada juga kelakar rama yang menyuntik bunga indah sebelum dimakan oleh seramnya Pennywise.
Plotnya mudah dan tidak berbelit. Penonton tak perlu nak rasa stress macam tonton The Dark Tower kerana filem ini dibawa dengan penceritaan yang mudah tetapi menarik.
Walaupun Pennywise dipinggirkan pada masa pertama, babak keseraman Pennywise memang antara yang boleh kau meremang bulu roma. Memang babak kemunculannya dibikin sehinggakan semua ketakutan manusia yang menonton dipecahkan untuk membina perasaan ngeri dalam diri. Aku masih teringat wajah senget dari lukisan yang menjelma tu, orang tua berulat yang mengerikan.
Ngeri!
Naskah ini ialah naskah wajib tonton kalau kau suka filem seram yang segar dan bagus. It bukan sahaja sebuah naskah seram, ianya sebuah naskah yang memaparkan persahabatan, kekeluargaan dan juga kasih sayang. Walaupun filem ini ialah filem tontonan dewasa, penonton masih boleh menghadam jiwa remaja yang ada dalam filem ini. Dan kengerian bila Pennywise menjelma, bersedia untuk ketakutan anda dipecahkan sehingga ke saraf!
4/5
Untuk maklumat lanjut berkenaan filem ini, terus ke klink di bawah:
Rujukan Imdb: http://www.imdb.com/title/tt1396484/
Rujukan Wikipedia: https://en.wikipedia.org/wiki/It_(2017_film)
Rujukan RottenTomatoes: https://www.rottentomatoes.com/m/it_2017/
No comments:
Post a Comment