Tahun Terbit | 2014
Pengarah | Darren Aronofsky
Pelakon | Russell Crowe, Jennifer Connelly, Anthony Hopkins, Emma Watson
Ah, aku tak dapat nafikan keberanian Hollywood sebenarnya memberi ruang untuk kita melihat sebuah cerita agama dipindahkan menjadi sebuah cerita yang diberatkan dengan tokok tambah yang menjadikannya unik dan spesel. Aku rasakan apa yang aku tonton tidak seperti melihat sebuah filem Biblical, tetapi aku menonton sebuah cerita yang hanya karakternya sahaja berada di situ, sedikit suntikan cerita asas, lalu fiksi ditambah menjadi penyedap.
Noah pada aku sangat mengagumkan. Aku tidak mahu bercakap tentang filem Biblical ni yang jauh terpesong dari ajaran agama aku. Aku hanya mahu bercakap tentang Noah yang hanya ditonton pada ceritanya dan garapannya. Aku rasakan filem ni seperti memberi nafas semula kepada kisah popular dalam agama ini untuk hidup dalam dunia baru. Noah seolah dibangunkan untuk bergerak dalam sebuah filem yang utuh, menjadikannya wira yang disanjung.
Pada awal filem, aku tidak dapat nafikan yang aku sebenarnya tidak rasa apa apa kekuatan filem ni. Russell Crow yang kelihatan biasa dan masih kurang berjaya menarik aku ke dalam dunia kisahnya. Namun, filem ni mula menunjukkan kuasa visualnya yang mengagumkan. Editingnya, visualnya sangat artistik dan berjaya menghias filem ni dengan sempurna.
Filem ni juga tidak menekankan cerita asasnya, sepertimana yang diketahui umum. Noah kali ni, lebih berat kepada mengfilemkan cerita klasik ini dengan tokok tambah. Tak tahulah tokok tambah apa yang ada, sebab cerita mereka berbeza dengan kepercayaan aku. Tapi, apa yang aku nampak, Darren Aronofsky membawa Noah menjadi tidak nabi dan mengujinya ke tahap lebih berat. Simplenya, Noah sebenarnya sebuah filem yang provokatif.
Noah bergerak dalam logikalnya yang tersendiri. Kita disajikan dengan kisah kapal Noah yang dikenali, namun diciptakan sebuah konflik yang pada aku menguji Noah ke tahap lebih dari sebuah cerita kenabian. Logikalnya ditambah untuk memberikan Noah sebuah filem yang lebih realiti dari sekadar filem ketuhanan. Dan akhirnya, apa yang anda lihat adalah sebuah karakter nabi yang kelihatan seperti manusia biasa.
Aku suka Russell Crowe. Lakonannya mantap! Dan menjadi. Tanpanya, Noah hanya filem biasa yang tanpa roh. Namun begitu, aku kurang selesa dengan Emma Watson yang kelihatan agak kurang. Secara peribadi, dia nampak tak sesuai untuk sebuah karakter yang teruji begitu hebat.
Oh, bagi yang nak menonton, aku sarankan menonton atas bimbingan, jika anda kurang kuat pada kepercayaan dalam hati anda. Noah memang provokatif, cuba membina logikal dalam kisah kenabian, dan kalau tiada kekuatan, bakal membawa kepada sesuatu yang lebih buruk. Penceritaannya cantik dan sangat kuat jika anda lihat filem ini sebagai hanya filem. Namun, jika sebaliknya, ianya bakal memberikan banyak persoalan yang tak mungkin terjawab, jika anda terlalu membandingkan.
Noah memang membawa kisah Biblical ke tahap baru. Merealitikan Noah menjadikan filem ni kelihatan seperti sebuah filem lelaki hero biasa dan bukannya kisah kenabian yang kita fikirkan. Kisah tentang konflik keluarga, kekeluargaan, konflik diri, dan perintah Tuhan menjadi buah yang diadun sebakul, membentuk rojak yang sangat sedap. Namun, jika anda tidak suka kemasamannya, anda disarankan tidak makan.
4/5
No comments:
Post a Comment