Dengan Dua Kalimah, MIG telah meletakkan satu lagi anjakan pada genre filem filem agama terbitannya. Ternyata, filem ini menampilkan idea dan juga sisi sisi baru genre agama dari penerbit yang terkenal dengan filem filem simple kelakar dan horror ini. Dua Kalimah bukan lagi another Syurga Cinta, or tipikal 7 Petala Cinta, ianya sesuatu yang segar dan lebih berat daripada itu. Berharap untuk sebuah cinta dengan ayat ayat romantik, Dua Kalimah bukan filemnya.
Pertama, aku nak cakap kesan solekan mayat mayat tu gempak! Menjadi! Hasrat Eyra Rahman selaku pengarah nampaknya besar. Dalam Aku Terima Nikahnya, walaupun ianya nampak satu aura wanita dipersembahkan dalam sebuah filem romantik, kali ini, Dua Kalimah menunjukkan bahawa dia bukan seorang yang hanya tahu bermain dengan permainan cerita yang simple simple. Dua Kalimah sebuah cerita yang berat. Ada intipati yang besar mahu disampaikan di dalamnya.
Mungkin meminjam aura filem Bunohan, Dua Kalimah nampaknya berhati hati dalam setiap penataan visualnya. Visualnya agak tenang. Meyakinkan untuk sebuah filem agama yang padat mesejnya. Pada aku yang agak membenci ke’tipikal’an filem filem MIG yang apabila habis je logo Metrowealth muncul dengan bunyi yang agak membisingkan itu lepas tu muncul pulak skor muzik yang mula dan tak reti nak henti henti tu, Dua Kalimah buat aku kata, “yes, inilah yang aku mahu”.
Secara peribadinya, Dua Kalimah, pada pembukaan filemnya memberitahu kepada penonton yang filem ni bukan biasa. Dan bersedia untuk menakrif apa yang cuba disampaikan secara tersirat dan tersurat. Di awal mula yang mana memaparkan suara azan subuh dan pandangan watak Aiman lakonan Shaheizy Sam yang memandang cermin sambil lap songkok itu menimbulkan tanda tanya apa sebenarnya yang akan diberikan dalam filem ini.
Dan ya, seterusnya, filem ni memang menampilkan babak babak yang ya, memang menepati elemen sebuah filem agama. Remember yang filem ini adalah filem agama. Jadi, bersedia untuk kena tempias jika korang adalah antara yang di kalangan yang telah melakukan sesuatu seperti apa yang watak Aiman lakukan. Walaupun iyalah, jujurnya filem Dua Kalimah tidaklah menepati 100% karya islami sebab masih ada babak sensual yang rasanya tidak sesuai dimasukkan, ianya bolehlah dimaafkan.
Honestly, apa yang Eyra Rahman sampaikan adalah sesuatu yang sama macam filem 2 Alam yang korang tonton (tu pun kalau korang tonton..) dan juga Tanah Kubur. Cuma, bagaimana pengarah wanita ini membawakan kisah tentang kematian yang menggerikan disebabkan dosa dosa watak tersebut dijalinkan dalam cara yang agak berbeza yang mana sekaligus menjauhi perbandingan dua filem tadi.
Eyra membawakan Aiman, lakonan Shaheizy Sam dan watak lakonan Nora Danish itu sebagai satu tali yang merantai subplot subplot lain yang digarap secara flashback. Tiga flashback seperti kisah pengamal ilmu hitam, kebiadapan anak dan kisah pelacur dipaparkan sebagai satu sindiran terhadap watak utama yang sedang dalam perjalanan menuju ke kampungnya.
Dalam perjalanan dari flashback ke flashback, watak Aiman dicuit dengan takdir 'hoi, sedar sedarlah dan bertaubatlah sebelum kau jadi macam mayat mayat tu!' yang pada aku boleh dikatakan menyindir hidup Aiman yang menyembunyikan dosa dosa besarnya secara sedar. Ya, digambarkan Aiman sedar tentang takdir yang mencuitnya untuk mengubah dan berubah, namun dia tidak mahu peduli. Tiga watak utama lakonan Yana Shamsuddin, Nora Danish dan Shaheizy Sam punya pertalian storyline yang bagus! Sukakannya!
Cuma negatifnya, mungkin aku rasakan yang beberapa adegan dalam filem ini tidak digarap dengan kemas dan memenuhi kelogikan yang dimahukan. Contohnya babak rumah Azlan Komeng terbakar yang agak unrealistic sebab penduduk boleh tetiba saja lepaskan si bomoh tu pergi dan masuk dalam rumah. Lagi, hujan turun tiba tiba dalam panas yang tidak realistik dan sesuai dalam flashback Mikael Andre. Namun, semuanya letak tepilah. Fokus ceritanya.
Lagi satu, mungkin lakonan veteran veteran dalam filem ini agak kurang impaknya. Malah, jujurnya, Shaheizy Sam, Nora Danish dan Yana Samsudin nampak teruji dengan watak watak ini namun ditangani dengan sekadar biasa biasa saja. Kurang impak tapi menyerlah.
Pada pendapat aku, aku lebih menyukai ending dimana watak Aiman mendapat pembalasannya dan tidak sampai kepada satu keinsafan. Ianya lebih layak sebab dosanya agak besar dan boleh tinggalkan impak. Namun, Eyra nampaknya kembali menggunakan happy ending yang meminjam formula Aku Terima Nikahnya. Sekaligus, setelah dua filem, pengarah ini mewujudkan satu trademark dimana di ending filemnya, pasti ada monolog dan dua watak memandang ke satu arah membelakangi kamera.
Mungkin bagi yang nak filem cinta komedi, Dua Kalimah bukan untuk korang. Filem ni agak berat. Dan don’t expect korang akan dapat lihat love triangle Yana Samsuddin, Shaheizy Sam dan Nora Danish dalam filem ni. Eyra tidak memfokus kepada itu. Sebaliknya, mesej yang berat dan juga pengajaran tentang takdir yang sudah tertulis untuk setiap manusia menjadi paparan Dua Kalimah. Setelah menonton, korang akan perasan yang Dua Kalimah bercakap tentang balasan tuhan itu ada bagi yang tidak mengendahkan pengajaran dari insan terdahulu.
Terima kasih kepadapihak Metrowealth atas jemputan atas tiket blogger menonton filem ini di Sunway Carnival Penang pada 31 Mac 2013 jam 2.30 ptg! Filem ini berada di pawagam 4.4.13 ini!.
4/5