Tahun Terbit | 2014
Pengarah | David Ayer
Pelakon | Arnold Schwarzenneger, Sam Worthington, Olivia Williams, Terence Howard
Inilah wajah Arnold Schwarzennegger yang betul padan dengan usianya. Sudah sampai masa untuk penonton melihat dia berlakon dalam filem filem yang lebih pada dramanya, emosinya dan juga jiwa. Pada usianya yang sudah tua itu, menjadi pelakon aksi tidak lagi mampu memberi apa apa. Dan Sabotage ibarat soket dan plug, memberikan lakonan hebat pelakon lagenda ini sebagai satu santapan yang memuaskan.
Sabotage memberikan Arnie satu sisi untuk dia bermain dengan apa yang kita jarang nampak pelakon ini bawa, emosi. Sabotage tidak menjanjikan pelakon ini satu filem aksi yang besar dan gah. Ianya sebuah filem yang sangat tenang dan memberi peluang untuk pelakon ni masuk ke dalam lakonan yang betul betul sangat sesuai dengan usianya walaupun peminat mahukan dia segah lakonan dalam Predator ataupun apa sajalah filem lakonannya dulu.
Maka, aku boleh katakan yang Sabotage menampilkan lakonan Arnold Schwarzennegger yang paling sempurna selepas dia mengakhiri kerjayanya sebagai ahli politik!
Namun, disebalik lakonan Arnie yang terserlah, filem arahan David Ayer yang sebelum ni terkenal dengan End of Watch dan Street Kings mungkin agak kurang menggembirakan hati bila bercakap pada keseluruhan ceritanya. Filem ni kelihatan seperti ingin menjadi filem slasher, namun pada masa yang sama mahu jadi filem polis jahat dan pada masa yang sama juga mahu jadi filem misteri. Dan dalam campur tolak darab bahagi, filem ni gagal menjadi superhebat!
Ketika cerita mula bergerak, ceritanya jadi macam siput sedut. Agak lambat dalam memberikan keterujaan, dan kadangkala meninggalkan sebuah kesempurnaan filem misteri tanpa apa apa hiasan, iaitu misteri itu sendiri. Sabotage tidak mampu memberikan suasana misteri yang sempurna walaupun misteri itulah yang sebenarnya harus menjadi keutamaan.
Walaupun plotnya agak lambat, aku tidak nafikan kengerian filem ni adalah pada tahap tertinggi. Filem ni mengandungi violence yang mencukupi, darah yang berkati kati yang memerahkan filem ni. Dan melihat Arnie dalam filem sebegini memang sesuatu yang baru. Segala kengerian filem ni memberikan ruang untuk Sabotage kelihatan seperti sebuah filem dark yang cantik namun gagal melengkapkan kecantikannya dalam treatment cerita.
Aku tak nafikan yang lakonan Arnold Schwarzennegger yang sangat kena pada tempatnya amat membantu filem ni untuk jadi lebih baik dari teruk. Sekurang kurangnya, kengerian yang maha dasyat, dan Arnie yang sangat baik lakonannya menaikkan Sabotage kepada tahap filem yang biasa biasa. Misterinya mungkin sesuatu yang ditunggu tunggu. Namun, dalam garapan yang agak lemah, Sabotage hanya menjadi tidak lebih dari sekadar filem misteri yang terlalu biasa.
3/5
No comments:
Post a Comment
halo2.. anda dipersilakan komen... tapi... jgn memandai letak ANONYMOUS