Movie Mistakes

Monday, August 12, 2013

Review: R.I.P.D

Dari trailer lagi aku sudah menduga filem ini hilang sifat aslinya. Tiada sesuatu yang menarik sebenarnya untuk dibicarakan soal idea kerana filem arahan Robert Schwentke yang sebelum ini pernah mengarahkan filem seperti Red, Flightplan dan The Time Traveler’s Wife hanyalah sebuah filem ‘Wayans’ yang tidak mengaku sedang membikin sebuah spoof movie dengan terselindung. Menonton filem ni tidak lari dari membandingkannya dengan filem lain. 

Melihat saja dari keseluruhan trailer dan isi idea dari sinopsis dari Wiki, filem ni telah melekatkan ceritanya untuk dilabel tidak original. Jelas, menonton filem ni sepanjang satu jam tiga puluh minit durasinya seolah olah menonton campuran filem Men In Black lakonan Will Smith. Malah, idea dari Shallow Hal pun diterapkan sama. Walaupun idea R.I.P.D itu berbeza, tetapi bagaimana perjalanan ceritanya hampir sama. Bayangkan lokasinya R.I.P.D, komedinya, persembahan karakternya, semuanya sama! 

Tambah teruk lagi, lukisan skripnya nampak tegang. Penulis lakonlayar, Phil Hay yang sebelum ini terlibat dalam tulisan Clash of the Titans tidak memberikan masa yang betul betul baik untuk penonton merasa jurnal diri Nick sebelum dia menyertai Roy di R.I.P.D Justeru, perkembangan karakternya tergesa gesa sehinggakan aku bertanya sendiri, ‘eh, filem ni dah start ke?’. Dari awal gabungan Nick dan Roy bersama, aku gagal masuk ke dalam dua karakter ini. 

Malah, R.I.P.D tidak mampu untuk menterjemahkan komik asalnya dengan cara yang agak memuaskan. Bagaimana ceritanya yang tidak disusun kemas nampak mengkucarkacirkan keadaan. Namun begitu, aku terima R.I.P.D sebagai sebuah hiburan ringan. Dah namanya Hollywood, CGInya mungkin bagus untuk dilihat walaupun binaan karakter makhluk tu macam mirip sangat Men In Black. Oh man, orang putih sudah tak ada idea kah? 

R.I.P.D adalah contoh filem Hollywood yang dibikin tergesa gesa. Dari permulaan filemnya yang memperkenalkan karakter Nick dengan menunjukkan babak babak di tengah filem, aku sudah jangkakan kemalasan editingnya. Ditambah pulak dengan narration Nick yang menjengkelkan. Permulaannya sudah membentuk amaran besar ‘jangan bazirkan masa tonton filem ni!’. 

Dari aspek positif, aku rasakan gandingan Ryan Reynolds dan Jeff Bridges adalah pasangan yang mungkin serasi. Namun, Nick nampaknya kurang menampakkan diri. Mungkin aku telah tenggelam dalam lakonan Jeff Bridges yang nampak lebih menyerlah. Aku suka komedinya yang boleh tahanlah untuk menghalang keterukan plotnya. 

Malah, idea mempersembahkan avatar Nick dan Roy menerusi pelakon James Hong dan Marisa Miller juga memberikan situasi yang kelakar. Kelakar yang agak menjadi walaupun aku tidak dapat lari dari mengingati konsep yang sama yang dipersembahkan Shallow Hal. Walaupun kadangkala kelakar yang cuba dibuat tu nampak macam menjengkelkan (macam tengok komedi melayu jer), aku rasakan itulah kesempurnaan yang ada untuk aku puji. 

R.I.P.D terlalu pantas, macam aku cakap tadi. Itu menjadikan filem ni hilang binaan setting penting untuk ikat penonton mengikut. Dengan lakonlayar yang nampak meminjam idea Men In Black dan Shallow Hal (dan oh ya, mungkin sedikit elemen Ghostbusters), R.I.P.D hilang originality. Mungkin kalau lakonlayarnya bagus, penciplakan itu dapat diselindung. Tonton filem ni untuk suka suka. Mungkin ada yang menyukainya. Setiap manusia kan berbeza. 

2/5

1 comment:

  1. cerita paling bangang pernah tengok .. nasib bukan tengok dekat pawagam kalau tak mesti rasa kecewa dan membazir je ...... memang jalan cerita nya kucar kacir dan sikit tak berapa nak faham apa cerita tu sebenar nya ..... :(

    ReplyDelete

halo2.. anda dipersilakan komen... tapi... jgn memandai letak ANONYMOUS