Tahun Terbit | 2015
Pengarah | Robert Zemeckis
Pelakon | Joseph Gordon-Levitt, Charlotte Le Bon, Ben Kingsley
Pada mulanya aku agak ragu-ragu dengan kehebatan The Walk. Apalah ada sangat dengan filem pasal seorang lelaki yang nak cross between dua menara yang suatu ketika dulu gah, World Trade Centre. Tetapi semuanya itu berubah selepas aku menonton filem arahan Robert Zemeckis yang dilakonkan dengan jayanya oleh Joseph Gordeon-Levitt. Ada beberapa sebab kenapa aku rasakan The Walk ini terbaik dalam kisahnya.
Pertama, aku rasakan filem ni bukan sahaja bercerita tentang Phillippe Petit, yang pada masa kejadian ini aku tidak ada lagi kat dunia. Malah disebabkan filem nilah aku google dan baru tahu yang ada seorang manusia gila yang cuba nak buat persembahan menyeberang dua menara ini. Filem ni bergerak lebih besar, ianya lebih kepada mengenang Twin Towers dan Phillippe Petit!
Yup, sebagaimana yang kita tahu, Twin Towers sudah musnah dalam kejadian 11 September. Kejadian serangan pengganas itu menjadikan dua menara ini musnah sekaligus dan banyak nyawa yang melayang. Dan Robert Zemeckis membawa semula bangunan yang hilang sepertimana membawa Titanic kembali ke atas permukaan air dan bercerita tentang satu perkara yang gah yang berkaitan dengan Twin Towers.
Permulaan filem ni sangat-sangat unik. Malah, filem ni seperti sebuah kuliah dari Phillippe Petit yang bercerita tentang dirinya dari atas Statue of Liberty. Aku tidak nafikan penceritaan sebegini menjadikan kisah ini tidak bosan langsung. Keupayaan Joseph Gordon-Levitt dalam melakonkan watak sebenar ini tidak dapat dinafikan memberi penonton satu rasa keterujaan untuk menyaksikan satu adegan sejarah yang jarang disebut.
Dari segi rekaan semula Twin Tower, korang pasti akan rasa teruja menyaksikan bangunan itu dengan sudut yang berbeza. Walaupun keseluruhan bangunan itu hanyalah CGI semata-mata kecuali bumbung bangunan yang dibina di dalam studio, rasa puas itu sudah cukup dan sampai kepada penonton.
Lakonan Joseph Gordon-Levitt memang tak dinafikan sangat power. Aku paling suka tengok lakonan dia dalam filem ni yang sangat-sangat cukup segala-galanya. Sekali sekala kita akan tertawa dan kemudiannya membuatkan kita kagum dengan watak yang dibawa. Malah, penceritaannya yang diselang seli itu sangat-sangat best ok!
Pada aku, The Walk macam sebuah filem tribute yang sangat sempurna. Aku masih ingat beberapa filem yang mengenang World Trade Centre dulu yang diterbitkan, namun The Walk ialah antara filem yang tidak berkisar tentang Tragedi 9/11 tetapi mampu untuk membuat kita sedar tentang tragedi yang meragut ribuan nyawa itu.
Mengenang sebuah menara yang sudah tiada lagi, dan sebuah insiden gila yang telah berlaku ketika menara itu ada, The Walk menjanjikan sebuah perjalanan cerita yang tidak membosankan. Itu aku berani janji. Percayalah, korang akan kagum dengan perjalanan Phillppe Petit dan membuatkan korang mencari tentang sejarah yang jarang dijaja ini.
4.5/5
No comments:
Post a Comment
halo2.. anda dipersilakan komen... tapi... jgn memandai letak ANONYMOUS