Movie Mistakes

Friday, February 20, 2015

Review: Villa Nabila

Tahun Terbit | 2015
Pengarah | Syafiq Yusof
Pelakon | Pekin Ibrahim, Tasha Shamsir

Permulaan 2015 bermula dengan filem dokumentari seram yang memang pada aku adalah satu lagi kelainan yang dibawa oleh waris Yusof Haslam. Aku tak nafikan yang darah abangnya si Syamsul sebenarnya ada dalam filem ini. Syafiq tidak terikut dengan gaya filem Khurafat arahan abangnya tetapi sebaliknya cuba untuk mencipta sesuatu yang segar dalam arahannya. Maka, hadirlah Villa Nabila yang mengambil sebuah urban lejen yang popular. 

Sebenarnya, dalam saat pembikin dah banyak dan muak membikin seram gaya biasa, genre found footage ni mula banyak. Maklumlah, senang bikin dan senang buat duit. Namun, dengan lambakan itu, Syafiq nampak tidak mahu mengikut arus dengan memberikan gaya found footage biasa. Maka, dalam Villa Nabila, sedikit sentuhan ala ala dokumentari diselitkan. Dan jelas disini, ianya menambah realiti dan soalan besar dalam fikiran penonton. 

Melalui Villa Nabila, Syafiq bijak bermain dengan kenyataan sama ada benarkan villa ni haunted atau tak. Apa yang dipaparkan pada separuh masa pertama, mungkin hanya seperti yang korang biasa dengar sebelum ni. Sekadar kisah budak hilang di Villa Nabila dan kemudiannya rentetan yang berlaku seperti yang terpapar di akhbar. 

Itu baru sekadar panas enjin. Kisah kontraktor yang merobohkan Villa Nabila itu ialah atmosfera besar filem ni yang bergerak melalui ruang ruang seramnya. Di sinilah, dengan adunan rakaman video sebenar (yang disuntik untuk penonton lebih percaya pada insiden yang dipapar) dan juga rakaman lakonan semula yang dijayakan Pekin Ibrahim beserta temubual, seramnya muncul dengan gayanya tersendiri. 

Kita diarah untuk percaya pada apa yang berlaku dalam lakonan itu yang dilakonkan mirip seperti rakaman video sebenar yang berselang seli sepanjang filem. Di sinilah, kelainan ini membentuk satu perasaan (kalau korang terlalu percaya mistikal) untuk percaya yang Villa Nabila ada sesuatu yang tersembunyi. Lebih jelas, ianya memang benar benar berhantu. 

Namun, pada hujung cerita dan sepanjang cerita ini berjalan juga, filem ni tidak berada di satu pihak. Sepanjang memberikan perspektif rumah ini berpenghuni dan menyeramkan, filem ni juga menarik penonton untuk tidak percaya dengan apa yang berlaku. Maksudnya, semua insiden hantu tu just bullshit. 

Melalui dialog yang tidak directly sebut yang ini semua memang benar berlaku, Villa Nabila memberi ruang untuk kita bertanya satu soalan iaitu mungkinkah semua ni hanyalah ketakutan mereka terhadap diri mereka sendiri. Setiap insiden seram disertai dengan ‘mungkin aku…’ yang membuatkan insiden yang berlaku diragui sama ada benar benar terjadi atau tak. 

Cuma, secara peribadi, aku tidak rasakan yang En. Asyraf (bukan nama sebenar) menceritakan kebenaran. Ada keraguan pada plot kecil filem ni (mungkin juga salah skrip sendiri). Scene jiran yang cakap bini dia keluar cari sebab dua hari tak balik tu memang sangat meragukan. Bagaimana En. Asyraf tak balik dua hari sedangkan dia hanya bermalam semalaman. Jika dia tidak pulang dua hari, mengapa kamera masih boleh merakam? 

Great visual efek pada hantunya. Permainan visual dan juga bunyi bagus. Sebuah kerja yang memang menampakkan kesungguhan dalam menghasilkan karya yang besar. Syafiq memang kuat pada arahan visual dan juga bunyi. Memang terbaiklah! Pekin Ibrahim pula memang memuaskan. Sedikit kurang selesa dengan suara yang ditebalkan.

Kebijakan filem ni bermain dengan persoalan benar atau tak menjadikan Villa Nabila antara naskah seram yang bijak. Tidak hanya mengampu penonton untuk percaya, Villa Nabila sebenarnya membuka perbincangan besar tentang apa yang berlaku. Adakah En. Asyraf dan gengnya hanya melalui pengalaman yang benar berlaku, atau ianya hanyalah cerita yang direka? Persoalan itu ialah sesuatu yang mustahil untuk dijawab. Jika ditanya aku, aku tidak rasa ianya benar. 

4/5

No comments:

Post a Comment

halo2.. anda dipersilakan komen... tapi... jgn memandai letak ANONYMOUS