Bila kita buat perbandingan antara dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia dari sudut perfileman, aku sebagai penonton melihat bahawa dua negara ini punya idea idea yang berbeza. Jujurnya dalam keseluruhan idea, jika genrenya romantik, mahupun komedi, aku lebih menyukai idea filem Malaysia. Malah, genre seram dan drama juga aku turut support filem tempatan. Namun, satu idea yang pada aku terlalu menarik untuk menjadi faktor untuk meminati filem Indonesia adalah genre filem agamanya. Filem agama Indonesia ada ciri ciri tersendiri yang membuatkannya spesel dan tidak terlibat dalam kancah politik perfileman.
Aku lihat bahawa filem agama seperti Ketika Cinta Bertasbih, juga perintisnya Ayat ayat Cinta berada dalam satu skop romantik yang masih samar samar untuk dibaca sebagai dakwah. Namun kehadiran lambakan filem agama Indonesia selepas itu nampaknya sudah berani masuk ke dalam akar umbi agama untuk membawakan dakwah secara tidak terselindung lagi. Kisah kisah agamanya lebih kuat, malah telus dalam mengujarkan isi isi. Itu antara faktor aku menyukai filem Indonesia bergenre agama.
Disebabkan filem Indonesia sukar untuk dicari di pasaran Malaysia, makanya peminat peminat hanya mampu menunggu di tv, atau mungkin saja mendownload bahkan mencari DVD. Tetapi, kualiti filem Indonesia tidak semuanya menarik. Promosi yang kurang juga faktor filem mereka tidak sampai ke bibir rakyat Malaysia. Politik kita mungkin.
Aku sempat menonton satu lagi filem keagamaan yang begitu semangat sekali memperjuangkan isinya, juga kisah Belanda mereka, patriotisme dan semangat agama mereka yang bertajuk Sang Pencerah. Sudah lama filem ini ditayangkan di Indo, syawal tahun 2010 agaknya (merujuk kepada poster filem). Aku rasakan ini antara filem biografi yang begitu bersemangat menentang pahaman menurut perintah membuta tuli. Tak mampu aku bercakap panjang kerana ilmunya sedikit.
Sang Pencerah bagi yang berlum mengetahui, adalah sebuah filem yang dinobatkan anugerah filem terbaik di Festival Filem Indonesia 2010. Menurut sumber sumber yang aku baca, kontroversi melanda gara gara pemilihan filem ini untuk takhta tersebut. Abaikan saja.
Keseluruhannya, filem ini nampaknya mengkritik hebat amalan amalan bertentangan agama. Itu yang aku jelas dapat lihat. Dialognya telus, dan terang terangan membidas pemikiran sempit penganut agama. Apa yang paling menarik dalam filem ini adalah bagaimana karakter utama filem ini, Kiyai Dahlan membetulkan semua pegangan agama di Yogjakarta pada zamannya. Zaman tersebut (menurut filem), orang Islam di situ (Jogja) tidak pernah sedar dan tahu sepanjang berzaman mereka beribadah bahawa masjid mereka sebenarnya bukan menghadap ke Makah, tetapi sebenarnya mengadap ke Afrika.
Sudah semestinya kiyai kiyai agama mula tidak menerima perubahan ini. Katanya islam itu ada di mana mana, di hati kita dan jiwa kita. Arah kiblatnya tidak menjadi masalah. Jadi, penyelesaiannya bagaimana? Saksikanlah. Tersenyum aku mendengar dialog dialog yang bijak. Dasarnya, babak isu kiblat ini sebenarnya menunjukkan kebongkakan orang agama yang menyangka diri mereka penuh dengan ilmu.
Filem ini juga menunjukkan bagaimana pergerakan Muhammadiah, yang diasaskan Kiyai Dahlan mula mengubah sejarah Islam di Indonesia. Dipaparkan bagaimana pengajaran Islam itu tidak perlu untuk melibatkan orang Islam saja malah Islam juga boleh dipelajari orang bukan Islam. Juga ditonjolkan bagaimana Kiyai Dahlan menggunakan pendekatan pendidikan 'penjajah' untuk mengajar Islam. Kiyai Dahlan dikatakan kafir kerana mengajar Islam menggunakan meja dan kerusi (dahulunya orang belajar Islam di mesjid hanya bersila saja), juga menggunakan alat mengajar seperti buku dan papan hitam. Isu yang berat tetapi itulah realiti zaman 1912 dan kebelakangnya.
Ini adalah sejarah. Sang Pencerah adalah kisah biografi pemimpin pertamanya, Kiyai Haji Ahmad Dahlan yang menjadi pemimpin Gerakan Muhammadiah dari 1912 sehingga 1922. Bagi yang tidak mengetahui tentang pergerakan ini, ianya adalah pergerakan Islam yang terbesar di Indonesia yang menggunakan pendekatan mengikut cara nabi. Baca lebih lanjut di http://en.wikipedia.org/wiki/Muhammadiyah.
Karya Hanung Bramantoyo ini lembut dalam alunan babak babaknya. Dialognya begitu mendalam dan cukup meyakinkan. Dibintangi Lukman Sardi sebagai Ahmad Dahlan, filem ini memang sebuah filem yang patut menang anugerah. Dengan kos yang nampaknya begitu mahal jika dilihat daripada kostum, set dan lokasi, memang ianya berbaloi untuk ditonton. Tetapi serius, peminat filem yang fast pace mungkin akan bosan kerana filem ini lebih terarah kepada diskusi tanpa sedar semasa kita menonton.
Keseluruhannya, Sang Pencerah memang satu pengajaran dan ilmu pengetahuan. Sebuah lagi hadiah Indonesia buat agamanya. Malaysia bila lagik?
PF ada tonton filem ni tapi tak reti nak ulas.. haha.
ReplyDelete