Movie Mistakes

Sunday, August 14, 2011

Review: Rasuk

Ada satu aspek yang membuatkan aku rasa seram Rasuk ini berbisa. Akan aku ceritakan kemudian. Namun, secara kasarnya, penontonan Rasuk terlalu menimbulkan banyak persoalan. Skrip Ikhzal Azfarel Ideris nampak seperti terlalu amatur, sekaligus menumpaskan bisa bisa yang mampu dijana oleh filem ini, jikalau lakarannya menerima idea yang lebih professional. Rasuk yang diterajui Iqram Dinzly dengan Fouziah Ghous ini begitu amatur pada penulisan, tetapi masih boleh memberi kesan kesan seram pada sesetengah babak.


Apa yang aku lihat tentang filem ini, ianya adalah sebuah karya yang bukannya diarahkan oleh orang Melayu, tetapi India. Pengarahan S Baldev Singh sudah tentu ada impak Bollywood dengan permainan kamera yang lebih kepad close-up syot. Sudah dijangkakan aspek sebegini kerana permainan sebegini adalah normal bagi filem Bolly. Namun, itu bukanlah sesuatu yang kurang dan lemah. Aku menyukai permainan kamera yang menggunakan kren. Syot nampak ringan, bersahaja dan begitu terawang awang. Emosi yang rasanya berjaya dibina dengan pergerakan kamera sebegitu.

Malangnya, kelemahan filem ini terletak pada penulisan skripnya. Entah kenapa aku rasakan skrip Ikhzal Azfarel Ideris (pengarah Kecoh Betul) yang mana dikreditkan untuk dialog dialog filem ini begitu amatur dan tidak berjaya memberikan emosi kepada penonton. Serius, separuh masa awal Rasuk lebih disulami ayat ayat yang pendek, dialog yang bertingkah, juga uh ah serta permainan komedi yang kadangkala memualkan.


Perhatikan saja pada awal filem, bagaimana watak utama kita Arman dan Melati diwujudkan tanpa satu identity yang jelas. Tup tup kat tengah baru diketahui yang Melati itu penulis skrip yang sedang menulis skrip. Penjelasan tentang dunia kerjaya Arman terlalu sempit. Huraian nampaknya tidak mampu dilakar sebaik mungkin menjadikan filem ini terlalu sempit pada olahan dan cambahan karakteristik setiap karakter.

Tidak menidakkan kebolehan orang filem tetapi sebagai seorang pengkritik, aku merasakan Rasuk hebat pada separuh masa kedua. Namun, untuk menjadi sebuah filem yang boleh dinikmati seperti The Exorcist, biarlah kesemua elemen penting dalam filem ini, semestinya skrip adalah satu daripadanya dilakar dengan baik dan penuh teliti. Walaupun penulis skrip ini sudah hampir 12 tahun berkecimpung dalam penulisan filem (berdasarkan pembacaan di blognya), aku rasakan filem ini antara his worst skrip ever (Kecoh Betul masih ok ma…). Maaf kalau terkasar, ini pandangan saja.


Kematian ibu Melati pada aku sesuatu yang tidak relevan. Sia sia kau buka satu karakter untuk Arman dan Melati, kemudian kau bunuh kononnya mahu membina emosi sedih di tengah tengah cerita. Malangnya, objektif itu tidak kesampaian. Entah kenapa kematian ibu Melati dan Arman nampak seperti satu perkara yang sia sia (teringat babak pengenalan ibu Melati yang nampak entah ape ape). Mati katak je ibu Melati tu.

Pak Mail tidak berjaya menimbulkan misteri. Iqram Dinzly tidak mampu untuk memberikan persembahan yang baik. Dirinya sebagai Arman nampak terlalu jambu dan tolonglah, kejambuan mu tidak mampu untuk mewujudkan chemistry dengan Fouziah Ghous.

Fouziah Ghous? Persembahannya pada awal filem nampak lemah. Bukan salah pelakon tetapi sebab skripnya. Sekali lagi, wahai Ikhzal Azfarel Ideris, u need to improve on your imagination in creating dialogue. Dialog setiap karakter terutamanya si Arman nampak terlalu amatur dan tidak berjaya. Penonton terkial kial dengan dunia mereka. Realiti filem ini tidak wujud. Namun, apa yang aku banggakan adalah satu perkara… keseramannya.

Dalam temanya, aku percaya Rasuk logik pada cantuman ceritanya. Walaupun hantu Jepun itu sebenarnya tidak ada kaitan dengan dunia Arman dan Melati, ianya masih boleh diterima. Logiknya, filem ini cuba untuk berkata bahawa rasukan boleh terjadi di mana mana, dan tidak mengenal mangsa.


Penggunaan CGI pada skala sederhana berjaya untuk meningkatkan impak seram filem ini. Serius babak Melati dirogol hantu jepun itu antara yang begitu berjaya menimbulkan perasaan ‘wow’ semasa menonton. Babak akhir, walaupun ustaznya (penulis skrip yang buat ‘cameo’) nampak kosong dan tidak ada jiwa, efek Fouziah Ghous telah berjaya mewujudkan suasana seram yang cukup hebat sepanjang separuh masa kedua sebelum filem ini berakhir.

Di akhirnya, aku ingin katakan bahawa Rasuk bukanlah sesuatu filem yang ada jiwa. Ianya kosong. Korang tontonlah macam korang tengok ikan dalam air. Nak pegang tak dapat, nak jiwai sifat ikan itu lagilah jauh. Rasuk ada seram yang high-level. Aku yakin ini adalah satu daripada aspek yang begitu memberikan kekuatan kepada filem ini. Malangnya, sekali lagi nama kau aku sebut Ikhzal Azfarel Ideris, skrip kau terlalu lemah. Dengan dialog skema dan biasa, filem ini tak mampu menjana emosi tetapi permainan seramnya, jangan dipandang rendah. Oh ya, penamat yang tergantung tu entah ape ape. Nak wujudkan sekuel? Tak payahla kot.

1 comment:

halo2.. anda dipersilakan komen... tapi... jgn memandai letak ANONYMOUS