Movie Mistakes

Saturday, February 27, 2016

Review: Munafik

Tahun Terbit | 2016
Pengarah | Syamsul Yusof
Pelakon | Syamsul Yusof, Nabila Huda, Fizz Fairuz

Setelah hilang buat beberapa lama dari industri setelah kejadian ngeri yang berlaku terhadap KL Gangster 2, Syamsul Yusof akhirnya menerpa semula dengan filem terbaru. Mengangkat tema seram sekali lagi, ini filem kedua yang bakal mengukur sejauh mana pengarah ini mampu menyeramkan penonton dengan gayanya. Khurafat yang ditayangkan 2011 aku puji. Gayanya terlalu bagus dan magisnya terserlah. Munafik pula bagaimana? 

Tidak aku nafikan yang Munafik sebenarnya kalah dengan Khurafat. Syamsul Yusof gagal untuk membawakan kesegaran baru dalam gaya penceritaannya walaupun percubaan nampaknya ada. Dialog skema dan juga lakonan kayu Syamsul Yusof sendiri nampaknya kecacatan ketara dalam filemnya. Bila dua benda ini masih ada di dalam filemnya, maka kesempurnaan itu masih tiada sampai bila bila. 

Munafik ada sisi baik dan sisi buruk. Satu sisi buruk filem ini ialah bagaimana ceritanya bercerita. Permulaan filem ni sangat-sangat hodoh dan tergesa-gesa. Tidak hairan sedikit pun dengan gaya penceritaan yang tergesa-gesa ini, aku dapat rasakan elemen ‘tergopoh gapah’ ini terhenti di pertengahan cerita saat seramnya bermula. 

Filem ni memang banyak Hindustani jugaklah. Watak Syamsul Yusof banyak menangis dan menginsafi. Juga nampak macam filem Indonesia, dek kerana penuh dengan ayat-ayat yang memotivasikan untuk kembali ke jalan yang benar (lebih banyak bercakap tentang kemaafan). Oh, macam biasa, elemen seram cedok dari Hollywood ada. Tapi bravo, cedok-cedok pun menjadi beb! 

Kelemahan paling ketara yang aku nampak ialah bagaimana Syamsul Yusof gagal memberikan ruang untuk setiap karakter berkembang dengan selesa. Setiap karakter memang macam eletrik. Keluar masuk dan kemudiannya tidak ada background story yang kukuh. Kita tahu dia ustaz, kita tahu dia ibu tiri, kita tahu dia imam, tetapi selebihnya, tidak ada penceritaan lanjut. 

Syamsul memilih untuk bermain dengan teka-teki dan belit-belit cerita untuk membuatkan penonton tertanya-tanya siapakah Munafik yang sebenar. Setiap karakter, walaupun background detailnya kurang, diuli-uli sehingga muncul syak wasangka dalam setiap karakter yang ada lantas membuatkan menonton meneka-neka siapakah si munafik yang menjadi fokus utama. Itu bagus. Oh, twist anak ustaz tu sebenarnya gagal di mata aku kerana aku berjaya menduga sejak dari mula. 

Selepas lama tidak menonton filem yang betul-betul seram buatan Malaysia, Munafik berjaya membawa aku melihat adegan seram tahap antarabangsa. Memang tak dinafikan lagi yang adegan seram filem ni antara yang terbaik sekali dalam filem-filem Malaysia. Adegan rasuk Nabila Huda dan permainan kamera yang sangat cantik menambahkan kekuatan adegan seram yang menjadi antara penutup aib filem ini. 

Penonton sebenarnya berjaya dikelirukan dengan watak ustaz yang tak mahu nak rukyahkan orang sebab kehilangan anak. Aku tak nafikan storyline filem ni memang membuli penonton untuk berfikir. Walaupun aku puas hati dengan plot twist dan juga keterujaan dalam mengikuti setiap babak, aku rasakan yang pengakhiran filem ini , selepas semuanya selesai, seperti sangat tergopoh gapah. Tidak ada waktu untuk penonton bertenang dan tetiba sahaja filem tamat. 

Kalau korang sukakan filem macam The Conjuring ataupun Emily Rose, memang korang patut tonton filem ni. Adegan rasuknya memang power beb! Memang buatkan korang teruja dan bagi penakut, boleh terjerit-jerit sampai cirit! Filem Munafik bukanlah sebuah filem seram kosong. Ianya juga sebuah filem yang mengisarkan ayat-ayat keinsafan yang ditambah dengan keseraman yang mampu membuatkan korang kecut perut. 

4/5

Thursday, February 11, 2016

Review: Ola Bola

Tahun Terbit | 2016
Pengarah | Chiu
Pelakon | Bront Palarae, Luqman Hafidz, JC Chee 

Berkesempatan menonton di GSC Berjaya Megamall, Kuantan. Di depan mata aku, ketika itu menyaksikan tiga kaum majority Malaysia sedang beratur membeli tiket. Mereka semua sedang bersedia untuk menonton Ola Bola. Sebelum filem bermula, aku lihat para penonton dari tiga kaum ini masuk ke dewan dengan nisbah yang hampir sama banyak bagi setiap kaum. 

Di sini pun sudah nampak yang Ola Bola ialah ‘magnet’ yang berjaya membuatkan Chinese, Indian dan Melayu tidak mengakui bahawa Ola Bola ialah milik Melayu semata-mata. Ola Bola ialah milik kita bersama dan filem pun bermula. 

Pembukaan filem ini memang fantastic. Apa yang Chiu bagi memang sangat-sangat memukau. Dipersembahkan dalam visual yang meyakinkan dan cantik, Ola Bola membawakan permulaan filem yang sangat kurang meyakinkan (pada akulah). Sebabnya apa? Sebab aku masih kurang yakin dengan semangat yang cuba dipaparkan di permulaan filem. 

Melangkah ke tengah filem, aku nampak yang filem ni sudah membuat pusingan U turn yang sangat unik. Bayangkan dengan wajah-wajah pelakon baru yang aku sendiri tak pernah kenal, aku boleh merasakan satu semangat kesukanan dan juga penyatuan bangsa dan etnik di dalam setiap babak. Dan di sinilah Ola Bola meraih kehebatannya. 

Chiu tidak meletakkan Ola Bola sebagai filem buat duit. Tetapi, Ola Bola dipersembahkan sebagai satu cara untuk menghidupkan patriotism dalam setiap penontonnya. Tak kira apa bangsa, apa sahaja darjatnya, Ola Bola sebenarnya mengajak kita sebagai rakyat Malaysia untuk mengenang kembali sebuah kisah sejarah (yang diubah suai) yang pernah menjadi kebanggaan kita. 

Generasi sekarang kurang mengetahui atau tidak pernah tahu tentang Sukan Olimpik Moscow. Malah, kisah team kita sendiri itu yang pada masa itu sudah gah juga sudah tenggelam buat masa ini. Ola Bola membawa kisah itu kembali dan mengajak kita untuk menjadi lebih bersemangat kerana kita ada sejarah dimana kita pernah naik. Dan kejatuhan tidak bermakna kita tidak akan naik semula. 

Dari segi persembahan visual, memang tak dapat dinafikan yang filem ni sama tarafnya dengan The Journey. Paling memukau ialah adegan keretapi pada awal filem dan juga adegan-adegan bola sepak di padang. Chiu berjaya meniru visual permainan bola sepak seperti menonton LIVE perlawanan sebenar dan berjaya menghidupkan permainan yang dibina dengan emosi yang ada. 

Dari segi lakonan, aku tidak nafikan yang lakonan kesemua pelakon baru sangatlah meyakinkan. Walaupun ada di antaranya tidaklah mencapai tahap, lakonan setiap pelakon sentiasa diperkuatkan oleh pelakon lain sehinggakan emosi berjaya dilontarkan. Bront Palarae yang hadir sebagai pak lawak yang tidak penting mana berjaya mencuit hati. Ianya ialah comic relief yang sangat berjaya dan unik. Tabik spring kat Bront! 

Kalau korang bukan peminat bola sepak, tak perlu membuta tuli buang filem ni ke tepi. Filem ni bukan untuk peminat bola sepak sahaja. Filem ni ialah untuk semua. Sesiapa sahaja yang menonton file mini akan sedar yang filem ni bukanlah filem sport, tetapi filem yang lebih terarah untuk membentuk patriotisme dalam diri. 

“Kita kalah sama-sama, kita menang sama-sama” . Itulah antara ayat yang diingati dalam filem ni. Di sebalik Ola Bola adanya isi yang bukan bermatlamatkan duit semata-mata. Saksikanlah wahai pembikin filem semua, bahawa kejayaan akan datang apabila kita tidak memikirkan fulus semata-mata. The Journey, Polis Evo dan Ola Bola ada ramuan lengkap. Cerita yang bagus, emosi yang mencengkam dan juga kerja keras yang membawa kepada kejayaan. Sokong Ola Bola! 

4.5/5