Movie Mistakes

Friday, September 28, 2012

Review: Salam Cinta

Walaupun aku masih rasakan Salam Cinta masih berada pada label filem biasa biasa, namun, kiasan kiasan dalam filem ini nampaknya satu tusukan yang tajam. Kritikannya nampak pedas terutama sekali pada minit minit awal filem. Walaupun begitu, sebagai sebuah filem yang menekankan agama dan moral untuk mendidik dan membelai penonton, aku rasakan wajarkah adegan separuh bogel di kolam mandi, segala pesta pesti kat club semua tu ditonjolkan? Bak kata Amirul sendiri, dia nak berubah dan tak mahu filem itu ada adegan macam tu. 


Apapun, aku lihat Salam Cinta ada manifestasi Diana Amir itu sendiri. Melambangkan perubahan dirinya, dan juga sikap dan perubahan yang dia lalui. Aku dapat lihat bagaimana dua dunia, Amirul di satu sudut jahat dan Laila di sudut yang baik cuba dicampurkan. Sekaligus, ianya menghasilkan kritikan antara satu sama lain dan di akhirnya melalui ucapan bapa Pak Man, dua dua dunia itu tidak ada salahnya. Yang salah adalah pada bagaimana kita melaluinya. 
Dari satu sudut lain, Salam Cinta terang terangan membentuk sindiran tajam terhadap golongan golongan artis dan juga siapa saja yang terasa. Nampaknya, dari barisan filem ‘agama’ terbitan MIG, aku rasakan Salam Cinta lebih padat dengan ilmiahnya. Tidak terlalu mementingkan romantic islami seperti mana 7 Petala Cinta mahupun Syurga Cinta, Salam Cinta seperti sebuah ceramah yang agak penuh dengan sindiran terhadap kehidupan social. 


Namun begitu, seperti mana yang aku beritahu tadi, aku kuranglah bersetuju dengan adegan adegan clubbing yang dibawakan dalam filem ini. Itu sebenarnya menyebabkan Salam Cinta masih tidak boleh diiktiraf sebagai filem yang sepenuhnya mendidik. Dengan adegan tak pakai baju di tepi kolam, adegan adegan yang agak tidak sesuai untuk sebuah filem islami, adakah wajar untuk tujuan mendidik? Rasanya, kalau nak didik penonton buat dosa boleh kot. 

Apapun, Salam Cinta isinya amat berlainan. Walaupun basicnya aku dapat kaitkan dengan Al-Hijab – seorang pelakon yang kononnya nak dalami watak then terperangkap dalam satu isu. Namun, disebabkan ini dalam genre yang berlainan, x payahlah aku nak sembang panjang pasal benda ini. 


Sudut negatifnya, aku masih rasakan Salam Cinta seperti sebuah telenovela. Dugaan cinta Amirul dan Laila nampak terlalu banyak untuk ditempuhi. Aku yakin itu terbaik untuk menjadikan Amirul dan Laila sebuah kisah epik cinta. Malangnya, dengan sebuah persembahan yang agak mendatar, walaupun Shuk Balas nampak menonjol dari segi komedinya, filem ini terasa amatlah lama untuk sampai ke penamatnya. 

Pada pandangan aku, sebuah filem islami sepatutnya dibikin dengan penuh ciri ciri keislaman. Itupun jika penerbit mahu melabelkan filem ini sebagai sebuah filem islami. Oleh itu, buangkanlah adegan sentuh, peluk peluk dan yang tak halal dalam islam dalam filem sebegini. Kalau nak peluk peluk, nak sentuh sentuh masukkanlah dalam filem horror ke, komedi ke, drama ke. Malulah aku nak cakap, pandang ke Indonesia dan lihat bagaimana filem islam dibikin di sana. 


Bukanlah aku nak menghina kualiti Salam Cinta. Cuma, penerbit rasanya, tak pun pengarah ataupun tukang tulis skrip lah gamaknya, kena sedarlah sensiviti sesebuah filem islam. Bukan mudah untuk bermain dengan agama sebab agama bukan hantu yang boleh direka reka. Apapun, di pihak positifnya, Salam Cinta tetap sebuah kiasan yang agak baik dan pedas, walaupun di sebalik kiasan itu, filem ni sendiri seperti ‘ludah ke langit, jatuh atas muka sendiri’.

4/5

Wednesday, September 26, 2012

Review: Leftwings

 Soul filem ini tidak dapat dirasai dari posternya lagi. Apa Leftwings mahu sajikan pun rasanya tak mampu untuk menarik aku untuk menonton. Leftwings nampak hambar dari promosi, lantas sekaligus menjatuhkan filem ini dalam filem yang agak gagal. Namun, Leftwings aku nampak ada benda yang ingin disampaikan. Aku nampak apa yang cerita ini mahu bercerita. Tetapi, disebabkan kehambaran pada skala yang agak serius, Leftwings tidak mampu menyerlah. 


Dengan barisan pelakon yang agak kurang terkenal, Leftwings sudah kecundang. Tetapi, bila aku fikirkan balik, plotnya yang menceritakan kebangkitan sebuah kumpulan baru, amat wajarlah wajah baru yang menghiasi. Oleh itu, bersedia untuk tidak mengharapkan satu persembahan lakonan yang agak baik semasa korang menonton filem ini. Mungkin bagi yang meminati lagu Wings, anda mungkin dapat melepas rindu mendengar lagu lagunya dimainkan dalam beberapa adegan filem ini. 

Aku sebenarnya cuba mencari kisah yang ingin disampaikan. Memulanya, aku rasakan ianya hanya terhenti selepas Leftwings membuat persembahan di pesta konvo saja. Lama kelamaan, aku sedar ianya adalah bibliografi jatuh bangun kumpulan ini. Jadi, kat situ aku rasa kepelikan sebab Leftwings ni bukanlah sebuah kumpulan yang wujud. Selalunya, untuk berbiblio sebegini, kalau menceritakan kisah hidup Wings sendiri rasanya lebih best dari kisah kumpulan baru sebegini. 
Beberapa adegan agak hambar. Memang aku rasakan filem ini dihiasi dengan dialog Dino yang asyik marah marah sebab Ray datang lewat sebab bercinta dengan Yana. Kurangnya hiasan untuk konflik Dino dan Ray, dan juga Dino dan Yana (yang mana bertentangan mata atas apa alasan yang aku sendiri blur) memang menghambarkan kisah ini. Namun, jalan ceritanya masih bisa dihayati. 

Plot adik Shah yang larikan diri pun nampak tidak berapa jelas. Tak menonjol langsung. Sekadar bergaduh sana sini, pastu akhirnya last last, ending subplotnya ditulis kat pre-credit je? Wah, habis tu tak ada gunalah nak gaduh gaduh kalau tak mahu wujudkan satu adegan untuk selesaikan konflik adik beradik ni. Pada pandangan aku, kisah adik Shah ni nampak macam tangkap muat je. 

Tetapi, pada first half cerita ini, walaupun 10 minit awal agak agak membosankan sebab penjelasan dari Dino yang agaklah tidak dapat diresap ke dalam jiwa, filem ini makin lama makin stabil (walaupun ada jugak goyah pada beberapa babak). Yang menariknya, aku tertarik dengan editing 2 babak yang diselang seli dalam satu tempoh masa. Agak unik! 

Tak banyak yang mampu dikomen tentang lakonan. Tak ada apa apa yang bagus pun sebenarnya pada lakonan setiap pelakon. Cuma, apa yang aku rasakan mampu memberi kepuasan adalah persembahan Leftwings dan juga Wings. Ceritanya biasa. Sekadar satu perjalanan kisah ahli kumpulan Leftwings yang taklah berkonflik sangat. Kalaulah konfliknya lebih kuat, emosi lebih dalam, pastinya Leftwings terbaik. Malangnya, itu semua hanya impian. 

2/5

Saturday, September 22, 2012

Review: Untuk Tiga Hari

Memang fikir fikir balik, bermain dengan jodoh bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan. Itu yang dapat aku simpulkan selepas menonton Untuk Tiga Hari nukilan asal Ahadiat Akashah yang diterjemahkan dalam versi filem oleh Afdlin Shauki. Pengarah ini sekali lagi membuktikan dirinya boleh mengarah pelbagai genre dan filem ini tidaklah menghampakan. Untuk Tiga Hari bercakap tentang pilihan, takdir dan jalan hidup. Sebuah pemikiran sebenarnya. 
Melalui pemerhatian, aku lihat Afdlin cuba meletakkan cop mohornya dalam karya Ahadiat Akashah ini. Sekaligus, Untuk Tiga Hari tidak menjadi terlalu tragikal seperti Ombak Rindu, dan tidak juga menjadi terlalu kelakar. Drama, komedi dan juga romantic digabung jalin dengan cukup sifat mewujudkan sifat ketenangan dalam setiap babak. Penonton mampu untuk tersenyum dengan lawak lawak dewasa, dan juga mendapat sedikit pemikiran tentang apa yang ingin disampaikan. 


Afdlin nampaknya memang punya pemikiran yang agak pelik dalam menjengahkan komedinya. Aku sendiri agak terkejut dengan mamat mata zombie yang pakai ala ala nurse yang buat muka kat belakang. Memang komedi yang tak pernah orang buat. Kelakar dan unik. 

Dalam filem ini, Afdlin nampaknya men’cerai’kan pasangan Vanida dan Rashidi Ishak dalam filem ini sekaligus Adflin, si pengarah ‘merampas’ Vanida untuk dijadikan isterinya. Memang susunannya bukan saja unik, tetapi itulah factor x filem ini. Persoalan yang ditunggu tunggu untuk dijawab dalam filem ini, bagi yang tidak membaca novelnya, pastinya adakah dua insan ini, Zafrin dan Uji akan bersatu pada penghujung filem?  


Dari awal filem, sudah dapat diagak bagaimana permulaan filem ini, yang mana bermula dengan hari pertama perkahwinan Zafrin dan Uji dengan pasangan masing masing. Dari situ, dua insan ini dipaparkan menghadapi dua kehidupan berbeza dan cuba untuk melawan ketentuan kerana janji yang telah mereka janjikan. Permulaan yang agak menarik dan tenang, jujurnya. Memang menarik. 

Namun, lama kelamaan, aku rasakan cerita makin lama makin mendatar dan tidak dapat naik dan terus naik. Apa yang dapat aku perhatikan, adalah ceraian babak babak bagaimana Uji dan Zahidi ini cuba untuk bertahan untuk hari ketiga, yang mana masing masing akan bercerai dengan pasangan masing masing. Namun, walaupun adegan sudah mula mendatar, aku rasa, dengan dialog yang agak umph, filem ini berjaya diselamatkan. 

Lakonan Vanida dan Rashidi memang macam tu jelah. What I mean is, mereka adalah diri mereka. Jadinya, ianya satu luahan yang mungkin meng’asli’kan lagi kisah ini. Apapun, tabik spring kepada Afdlin kerana membentuk setiap karakter dengan pelbagai masalah kekeluargaan. Jiwa Zafrin yang menurut kata ibu, Uji yang penat bercinta, Army yang menyayangi sepenuh hati, dan Juwita yang taat memang kombinasi kisah suami isteri yang cukup rasa. 


Ah, hampir terlupa. Tahniah juga untuk Afdlin kerana membentuk Zizan Razak menjadi begitu serius dan hilang lawaknya. Memang adegan flashback Uji buat aku terkejut sebab I didn’t expect Zizan mampu untuk berlakon serius sebegitu jauh. Memang hebat! 

Keseluruhannya, hadirlah ke pawagam untuk ‘kursus perkahwinan’ selama 2 jam ini. Untuk Tiga Hari memang dekat di hati yang dah berkahwin, mahupun merancang untuk berkahwin, ataupun tak berkahwin lagi. Tak rugi untuk bawa diri ke panggung sebab anda akan bawa balik pemikiran untuk difikir fikirkan. Untuk TIga Hari bukanlah sebuah tragedy seperti Ombak Rindu, jadi jangan harap mahu menangis sambil menonton filem ini. Sebuah adaptasi yang menjadi. Sebuah persembahan yang memang menegaskan tentang jangan main main dengan jodoh.

3/5

Monday, September 17, 2012

Panas: Blogger Hina Perlis Dihina Rakyat Perlis!


Kata caci maki, hina menghina sudah mula dilemparkan terhadap blogger bernama Larravenna dek kerana tulisannya yang bertajuk Perlis PERGHLIS , I HATE YOU ! I REALLY MEANT IT dikatakan menghina Perlis . Dalam post tersebut, yang mana sudah dipadamkan dek kerana telah membuatkan orang perlis jadi marah, Larravenna menulis tentang bagaimana dia menggambarakan perlis ini terlalu panas bagi dirinya. Berdasarkan pemerhatian admin, blogpostnya sudah ditulis pada Mei 2012 yang lalu dan hanya selepas 5 bulan berlalu, ianya menjadi isu.


Pastinya pada Larravenna, admin pasti tiada ada niat untuk menghina. Jika, iya pun, hanya dirinya yang tahu.Mungkin ianya lebih kepada pandangan peribadi. Lagipun, benda ini sudah lama, dan mungkin ada sebiji zarah yang mula merebakkan benda ini untuk menimbulkan kemarahan. Namun begitu, Larravenna bukanlah isu yang admin mahu bawakan. Tetapi, beberapa komen orang perlis yang tidak menggambarkan kemesraan dan hemoinya rakyat Perlis di fanpage Anak Perlis dan juga Perlis Permai Lagi Mempersona, itu yang buat admin geleng kepala.





Sebahagian saja komen dari tindakan Larravenna admin paparkan. Geleng kepala jugak admin bila ada dengar perkataan kurang ajar yang memalukan sebagai rakyat Perlis. Namun, di kalangan komen yang agak panas, ada juga yang bertindak menenangkan keadaan. Seharusnya, admin rasa, dalam menegur kena ada adab dan sopan. Lagipun, rasanya perkara ini amatlah kecil dan tidaklah perlu untuk disertakan cari maki dan kata kata kesat.


Akhir sekali, admin nak tekankan menegur tu biarlah beradap, baru orang lain mampu berubah. Apapun, pengajaran buat semua blogger juga, berhati hati dalam berkata. Kalau dia dah hina, janganlah hina balik.  Mungkin menegur dengan lemah lembut adalah lebih baik daripada memaki hamun. Bukan apa, kalau kita hina balik, maka orang Perlis ni sama je tarafnya dengan Larravenna. Sekian.

Sunday, September 16, 2012

Review: Seram Sejuk

Pertama sekalilah, apabila bercakap tentang sesuatu filem, yang terlintas pertamanya, apa sebenarnya Seram Sejuk ni nak tonjolkan? Adakah ianya sebuah filem biasa yang memang tak layak dimodalkan untuk dibayar? Perkara penting, dari dua perkataan Seram Sejuk itu, apakah bisa ditangkap sinopsisnya. Pada aku, ah, semua amatlah tidak mampu untuk dijawab dengan jelas. Seram Sejuk itu apa motifnya? Dan kenapa ianya dinamakan Seram Sejuk, sedangkan kisahnya tidak bermotifkan kepada frasa ‘seram sejuk’ yang disebut Angah Raja Lawak beberapa kali dalam filem ini. 


Dari baris baris di atas, jelas, aku ingin sampaikan Seram Sejuk adalah sebuah filem yang ditulis oleh anonymous yang dikenali sebagai PANEL MIG yang meminjam beberapa sifat filem MIG terdahulu. Tak ada apa pun yang spesel. Mungkin pada binaan komedinya, memang boleh mengundang tawa, tetapi keseluruhannya, tak ada apa apa pun yang menarik. Jelas dilihat adanya pengaruh Ngangkung ataupun Nongkrong dalam gaya komedi, walaupun aku pasti, penerbit akan menafikannya.

kesilapan dalam filem ini:

Menjadi filem ketiga (rasanya) dimana hantu hantu diberi sifat kemanusiaan dengan disumbat dialog dan juga tingkahlaku, Seram Sejuk memang kisah hantu yang memang tak seram mana pun. Plot yang mendatar dan juga tidak diketahui kepentingannya dan layanan samarata terhadap plot nampaknya menghilangkan motif sebenar cerita ini. Justeru, persoalan yang aku ingin utarakan, disebabkan filem ini berakhir dengan adegan bomoh gila masukkan hantu dalam cd, justeru apa kaitan babak zaman purba di awal filem? 


Berakhir dengan sebuah pengakhiran cliché, dan juga of course ada ayat ayat jampi yang meloyakan anak tekak, memang ini sebuah filem biasa MIG. Abaikan saja tetapi apa yang aku ingin katakan, jika dimulakan dengan pembaharuan (babak zaman purba tu rasanya memang luar biasa), tetapi tidak digabungjalinkan dengan sempurna, makanya filem ini sudah cacat walaupun komedinya masih dinikmati. 

Bagaimana penulisan filem ini tiba tiba mempersembahkan kata kata si hantu yang berbunyi ‘100 tahun hamba menanti kalung itu, kamu yang dapat pulak’ memang memaut pelbagai persoalan. Apa sebenarnya kuasa kalung itu sehinggakan adanya sumpahan? Dan kenapa tiba tiba saja si hantu berkata Angah itu adalah jelmaan kekasihnya dalam satu adegan? Dan kenapa hantu tu menghantui manusia manusia jika motifnya hanya nak jaga kalung? 


Apapun begitu, sesuatu yang jelas digambarkan di sini hanyalah kisah bagaimana tiga orang lelaki dalam produksi tersebut cuba untuk memikat seorang pekerja wanita. Apapun, salutasi untuk Angah walaupun persembahannya biasa biasa. Malah, Sabri Yunus walaupun sedikit tenggelam cuba untuk berkomedi walaupun kadangkala masih kurang dinikmati. Tetapi, aku rasakan komedi Eddy Afro memang benda yang seronok untuk dinikmati. Lagaknya bersahaja. Bagus. 

Keseluruhannya, Seram Sejuk sebuah lagi filem tangkap muat. Jujurnya, cerita ini layak untuk ditonton percuma daripada dibayar. Cerita mampu diagak dan tidak ada spesel pun dalam kisah ini. Cedok sana cedok sini maka jadilah Seram Sejuk. Apapun, filem ini memang sebuah pelayaran yang menyeronokkan dengan komedinya. Cuma kisahnya, terlalu biasa dan bukan bertaraf filem.

Monday, September 10, 2012

Preview 12 Minit Filem 'Salam Cinta'


MIG kembali membawakan sebuah kisah romantika agama selepas 7 Petala Cinta. Dengan barisan pelakon seperti Kamal Adli, Diana Amir dan dibantu oleh Syuk Balas, Mon Ryanti, Razak Ahmad dan ramai lagi, Salam Cinta mengisahkan kehidupan Amirul yang berubah selepas memegang watak sebagai seorang ustaz. Sebagai sebahagian dari promosi, MIG dengan bangganya memberikan anda, pra tonton 12 minit pertama filem ini secara percuma. Jadi, selamat layan 12 minit pertama filem ini di bawah.

Wednesday, September 5, 2012

Parody Gangnam Style Oleh Orang Malaysia!

Oppa Gangnam Style membuka mata penduduk dunia mengenali siapa PSY. Penyanyi Korea yang sudah menerbitkan 6 album ini bukan penyanyi baru, malah dunia baru mengenalinya, apabila Oppa Gangnam Style mendominasi dunia dengan tarian pelik tetapi unik. Dengan nafas dan aura Gangnam Style yang digilai muda mudi, tidak hairanlah PSY menerbitkan dua versi MTV Gangnam Style. Versi asal, yang diterbitkan sehingga menjadi fenomena menampilkan PSY sahaja dengan cameo beberapa artis popular k-pop. 


Tidak lama selepas itu, Hyuna akhirnya diundang sekali lagi kali ini bergandingan dengan PSY menyanyikan Oppa Gangnam Style dalam beat k-pop yang lebih seksi dan juga berbeza. Walaupun tarian hampir sama ditonjolkan, MTV kedua ini lebih seksi dan menampilkan ciri ciri MTV muzik k-pop yang lebih rancak, hangat dan mengujakan.


Sejak penghujung Julai 2012 yang lalu, demam PSY sudah mula melanda seluruh dunia. Malah, orang yang tak kenal siapa PSY pun dah buka mata memandang ke arah industri musik K-pop. Di Malaysia, macam macam versi parody untuk gaya tarian tunggang kuda ini dah dibuat. Stesen radio seperti Fly.fm dan juga Hitz.fm juga tidak ketinggalan membuat parodi. Malah, beberapa orang fanatik gangnam style di setiap negeri di Malaysia juga sudah muncul dengan Gangnam Style versi setiap negeri. Setakat ini, Negeri Sembilan dan Sabah sudah ada Gangnam Style parody mereka tersendiri.

Jom, admin dah kumpulkan beberapa Gangnam Style Parody yang menarik untuk ditonton. Disebabkan nak tampal semua video di sini mungkin akan menyemakkan paparan, jadi klik je link di bawah dan korang akan dibawa ke link Youtube parody tersebut.




Monday, September 3, 2012

Sneak Peek: Hanyut

U-Wei Haji Saari kini kembali dengan sebuah filem berdasarkan novel klasik Joseph Conrad, Almayer's Folly. Dipena dan diarahkan oleh U-Wei Haji Saari sendiri, filem ini mengisahkan bagaimana pedagang berbangsa Belanda, Almayer yang cuba untuk hidup di Malaysia pada era penjajahan. Impian Almayer adalah untuk mencari gunug emas nampaknya terganggu dengan pelbagai masalah yang menghimpit pada zaman tersebut.


Filem ini, yang mana siap sepenuhnya pada Ogos 2012. Namun, buat masa ini tarikh tayangan masih belum diketahui. Filem terbitan Tanah Licin Sdn. Bhd. ini dibintangi Peter O'brien, Sofia Jane, Khalid Salleh, Adiputra dan Diana Daniel disamping dibantu oleh Sabri Yunus, Bront Palarae, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat dan ramai lagi.