Thursday, January 23, 2014

Review: Tokan

Tahun Terbit | 2013
Pengarah | Ghaz Abu Bakar
Pelakon | Pekin Ibrahim, Johan Ashaari, Zizan Razak (klik untuk senarai penuh pelakon)

Aku pandang rendah filem ni. Ya, tidak harap apa apa. Mungkin sekadar filem biasa. Namun, semuanya berubah bila aku tonton filem ni yang menjerat aku untuk tanya apa kenapa dan siapa sebenarnya mereka mereka yang ada dalam filem ni. Dari Ghaz Abu Bakar yang mengkapcaikan hantu dalam Hantu Kapchai, Tokan ialah sebuah karya cliché yang punya cara tersendiri untuk terserlah dalam dunia filem Malaysia. 

Memula, bila aku tahun ini terbitan Pencil Pictures, maka aku tak mahu tak mahu fikir apa apa. Maklumlah, karya Aku Ada, Kau Ada tu pun taklah sehebat mana. Tapi, perancangan Tokan sempurna. Tidak seperti terbitan mereka yang dahulu, Tokan ada sesuatu yang agak baru, sedikit elemen Hollywood yang sangat sangat aku suka. Nampak kemenjadiannya walaupun sekali sekala ada juga lemah sana sini. 

Sebelum cerita bab plot, aku nak cakap yang kerja kameranya mungkin terbaik. Namun, aku mula rasakan kehilangan dalam roh visual yang diberikan apabila filem semakin menghampiri penamat. Gerak kerja visual nampak tidak lagi dititikberatkan seperti fasa awal filem. Begitu juga dengan editing yang jelas nampak bezanya dari separuh masa pertama filem dan juga separuh masa kedua filem. 

Namun begitu, Tokan masih ada istimewanya yang tersendiri. Buat idea asal yang diperah, aku rasakan apa yang diberikan berjaya mewujudkan misterinya tersendiri. Assassin lakonan Johan Ashaari itu berjaya timbul misteri walaupun aku tahu dia bakal membunuh satu persatu watak. Dari A sampai Z tidak dapat sedikitpun aku jangka apa yang bakal berlaku dari satu ke satu. 

Tokan bijak dalam menyusun babak, menyimpan misteri dan elemen kekeluargaan yang diberikan. Plotnya satu satu berpisah antara satu sama lain, diceritakan dengan tenang dalam setiap jiwa karakternya, lalu diberikan satu titik penyesalan yang sangat di luar jangkaan. Jelas, ideanya nampak segar dalam pembikinannya serta hasilnya. 

Aku mungkin menyukai Soffi Jikan dan Pekin yang membawa lakonan ikonik mereka. Soffi Jikan dengan caranya. Pekin mungkin agak pelik untuk sebuah karakter bodyguard. Namun, persembahannya boleh tahan. Zizan Razak mungkin sukar untuk menjadi karakter yang perlukan dia kawal kelebihan melawaknya. Dan dalam hasil lakonannya, aku cuma rasakan dia hanya memberi persembahan yang agak sederhana. 

Malah, aku rasakan agak janggal apabila setting Brazil pada awal filem yang tidak meyakinkan. Nampak macam kat Malaysia sangat! Adegan intro pembunuh upahan membunuh seorang lelaki yang keluar dari lif itu juga mungkin terjejas dengan lakonan Ajai yang agak kurang menjadi. Nasib baik dia hanyalah penampilan istimewa! 

Idea Fadzil Zahari yang diterajui Ghaz Abu Bakar ini memang sangat misteri, energetik dan ada gaya yang tersendiri. Tambah pulak dengan visual yang agak benar benar memberi perasaan menonton sebuah filem, Tokan memang sebuah filem yang stylish pada plot, penceritaan dan segalanya. Dari kuasa Hantu Kapchai, Ghaz Abu Bakar berjaya buka sebuah cerita 'keldai dadah' dalam satu tradisi yang belum pernah dialami! 

4.5/5

1 comment:

Haziqah Radzi said...

Best gila Tokan! Tapi tulah, filem ni tak dapat publisiti meluas. Sayang betul.