Thursday, January 9, 2014

Review: Krrish 3

Tahun Terbit | 2013
Pengarah | Rakesh Roshan
Pelakon | Hrithik Roshan, Priyanka Chopra, Vivek Oberoi (klik untuk senarai penuh pelakon)

Apabila SRK muncul dengan Ra.One dengan betul betul mempromosikannya sebagai superhero India, penonton dilupakan dengan Rakesh Roshan yang memulakan segalanya. Masa itu, Ra.One berjaya potong Krrish yang dihasilkan pada 2006. Dari segi visual efek, semuanya SRK boleh bangga. Tapi tak lagi kini. Rakesh Roshan nampaknya berjaya buat lebih dari apa yang SRK laburkan.Itupun dengan pertolongan kompani visual efek SRK jugak! 

Dan Krrish 3, yang berada dalam superhero lakonan Hrithik ini, lebih berbeza. Erti kata lainnya, ini satu lagi tangga baru industry superhero Bollywood! Krrish 3 penuh dengan imaginasi Rakesh Roshan yang liar. Apa yang dia nampak di Hollywood, itu yang dia mahu wujudkan dalam filem Bollywood. Dengan cita cita itu, maka Krrish 3 penuh dengan penciplakan yang jelas dan nyata. Tapi, penonton harus tahu yang Bollywood memang pakar menciplak. Penciplakan bukan hal biasa sejak dari dulu lagi. 

Bagi yang menonton, pastinya korang akan perasan yang filem ni ada campuran idea mutan X Men (watak jahat kuncu Kaal), visual terbang menerbang Krissh yang mirip visual filem Spiderman. Malah, pertarungan akhir yang mirip Man of Steel arahan Zack Snyder juga ada. Oh ya, pastikan jangan lupa menonton bagaimana Bollywood menggunakan kepakaran CGI mereka untuk mewujudkan insiden yang mirip satu adegan dalam filem Dark of the Moon! 

Namun, Rakesh Roshan masih berjaya buat orang kata, ciplakan itu hanyalah satu benda yang tak harus difikirkan. Pengarah ini bijak mengadun drama dan juga cliché Bollywood sehinggakan aku merasakan ianya sebuah filem Bollywood yang hidup. Menerima sentuhan lagu lagu, ditambah moment dan dialog yang sangat biasa ditonjol dalam filem Bollywood, Krrish 3 hidup. 

Fasa pertamanya mungkin sedikit kurang kuat apabila aku rasakan bagaimana Kaal dan Krrish punya hidup nampak dilengahkan dengan percubaan Rakesh Roshan untuk sebolehnya membuatkan pertemuan Kaal dan Krrish bermula di fasa selepas Intermission. Walaupun begitu, dramanya, dan juga kemunculan Rohit Mehra yang juga dilakonkan Hrithik menjadi perhatian. 

Aksi maksi kabom boom boom yang sangat gila berlaku di fasa kedua. Fasa dimana kita melihat visual efek yang lebih banyak dilaburkan untuk tatapan mata. Dan disini jugaklah akan berlaku sebut menyebut filem filem Hollywood yang ditiru dari mulut penonton. ‘Ah, ini filem ni! Ah, ini filem tu!’. Jika korang kata macam itu sepanjang penontonan, maka keseronokannya mungkin akan hilang. Just ketepikan semua tu, dan have fun! 

Disebalik semua persembahan CGI yang mungkin aku kira paling hebat buat filem Bollywood setakat ini, Krrish 3 sebenarnya ada dua sebab sahaja kenapa ia muncul selepas 11 tahun! Satu, memenuhi tuntutan sekuel buat peminat Krrish. Dan keduanya, untuk memberikan apa yang Bollywood mampu saji dengan visual efek yang menjangkau limit mereka. 

Dengan plot yang penuh dengan ciplakan, Krrish 3 masih mampu memberikan perassn taching yang biasa diterima bagi penggemar tegar Bollywood. Mungkin yang tidak menyukai aktiviti ciplak menciplak, Krrish 3 mungkin sukar diterima. Namun, apa yang patut anda lihat bukanlah pada cerita, tetapi pada impian dan imaginasi orang filem Bollywood yang mampu usaha keras untuk tunjukkan yang mereka boleh. Bollywood boleh! Malaysia pun boleh! 

4/5