Saturday, February 9, 2013

Review: A Good Day to Die Hard

John McClane kembali dengan aksi terbarunya. Dan dalam siri kelima filem Die Hard ini, ceritanya masih membawakan format yang sama seperti dulu. Aksi tanpa henti dan juga letupan sana sini yang meriah. Memang arahan John Moore ini nampaknya dibantu dengan CGI yang mantap dan juga kehebatan watak John McClane itu sendiri. Malangnya, dengan tulisan Skip Woods yang agak sederhana garapannya, Die Hard kali ini nampaknya tidak sehebat Die Hard terdahulu. 

Aku sebenarnya pada dasarnya, sebagai seorang peminat filem aksi, amat menyukai filem ini. Dengan garapan aksi dengan durasi yang agak panjang, dan juga aksi yang memang jarang disaksikan dalam filem filem selain filem Michael Bay, sifat ke’Bay’an yang dibawa John Moore ini memang gempak. Jujurnya, aksi kejar mengejar pada awal sekuen dengan kereta yang begitu banyak, memang tidak mengecewakan. 

Namun, di sebalik aksi yang agak baik walaupun beberapa aksinya sudah punya pattern Die Hard punya aksi yang sudah boleh dijangka, ianya tidak disulam dengan penulisan plot yang baik. Die Hard kali ini aku rasa lebih twist dari dulu.Itu ok. Tapi, penceritaannya agak hambar dan tidak mampu memberikan peluang kepada penonton untuk merasa nikmat dengan pengalaman bersama ceritanya. Apa yang puas hanyalah aksinya saja. 

Jai Courtney yang membawakan watak Jack McClane, anak yang mungkin pada sekuel ke hadapan akan menjadi penyambung kepada watak ayahnya yang dibawa Bruce Willis nampaknya boleh tahanlah walaupun wajahnya nampak tidaklah sepopular Bruce Willis. Sebagai pengganti kepada watak yang dipegang Bruce Willis, aku rasa pertalian antara dua wajah karakter ni ada. 

Bruce Willis nampak macam tak larat je dalam filem ni. Nampak sangat yang dia sebenarnya tidak lagi sehebat dulu. Dengan sebab itulah aku rasakan watak John McClane itu dalam filem ini hanyalah menjadi sidekick sebuah legasi Die Hard. Dan aku rasa pertukaran akan mula terjadi dalam beberapa filem Die Hard akan datang. 

Apa yang kurangnya filem ni secara keseluruhannya ialah kekurangan dari segi penulisannya (seperti yang aku tulis awal tadi) yang mana telah mengganggu semua perkara yang menjadikan Die Hard kali ini terbaik. Pembinaan karakter anak John McClane itu sendiri tidak dibina dengan baik. Namun, aksi padat menutup semua kelemahan ini. 

Namun, di sebalik kurang dan lebih filem ni, sebenarnya cerita ini terbaik dalam menonjolkan hubungan bapa dan anak. Part ni aku suka walaupun aku rasa macam bodoh sikit bila hubungan sebegini dimasukkan dalam sebuah filem aksi. Ada rasa kejanggalan bila kadangkala John McClane berbicara tentang hubungan anak dan bapak. Erk! 

Bagi peminat Die Hard, rasanya ini mungkin filem yang tidak berapa nak hebat. Mungkin pada aku, aksinya telah berjaya tarik perhatian walaupun plotnya agak kurang menyengat. A Good Day To Die Hard mungkin ada aksi besar yang memang gempak! Itu conform! Bagi peminat aksi, memang kena tonton. Alah, pejam sebelah mata jelah plotnya tu. 

3.5/5

1 comment:

hpmurah2u.com said...

terbaik review anda...nk tgk la cite ni