Akan Datang!

Monday, February 27, 2012

Review: Azura 2012

Satu faktor yang menampakkan Azura 2012 sedikit hambar pada promosinya adalah posternya yang teramatlah simple. Aku sendiri tertanya tanya, biar betul posternya sampai simple sebegitu. Mampukah poster yang menggunakan latar biru itu mengaut duit peminat? Di hujung hujung perjalanan menontonnya, aku bersetuju, walaupun aku belum sempat menonton filem Azura asal, aku rasakan Azura 2012 tidak layak untuk digelar epic cinta. Ianya sebuah drama yang terlalu ringan. 

movie mistakes:
Azura 2012 nampak terlalu ringan pada penyampaian. Dari awal lagi, momentumnya hanya dipaparkan melalui percubaan untuk ‘cari gaduh’ antara Azura dan Zack yang kononnya bakal menimbulkan bibit cinta yang akan menjadi satu tembok halangan. Malangnya, gaduh gaduh manja Zack dan Azura nampak terlalu awal untuk membuatkan Zack rebah. Terlalu awal untuk cinta disulam dan terlalu tenang dalam persembahan. 

Kekuatan Azura yang terdahulu adalah bagaimana formatnya yang senang cakap ialah berunsurkan cinta yang terhalang. Format ini selalunya digunakan Bollywood dalam membikin kisah cinta box office mereka pada masa itu. Dan Azura mengambil jalan cerita hampir sama pada formatnya, letakkan di tempat yang betul, dan wallah ianya menjadi pada eranya. Dengan lakonan Fauziah Ahmad Daud dan juga Jamal Abdillah, ianya menjadi siulan sampai sekarang. 

In order untuk remake sebuah karya agung, akan ada dua keputusan yang dapat dijangkakan di akhir penayangan. Satunya, filem yang di remake akan lebih baik dari yang asal. Duanya, filem yang asal lebih baik dari yang remake. Dalam konteks Azura 2012, penceritaan Azura 2012 nampak terlalu simple dan halangan kehidupan yang ditempuhi amatlah tenang dan tidak epic langsung. 


Halangan membina adegan. Adegan yang dramatic yang mampu membuatkan cinta terhalang itu ditangisi penonton. Dan dalam Azura 2012, adegan sebegitu tidaklah kuat. Perhatikan saja bagaimana Tan Sri Putih berbual dengan Zack dengan tenang semasa dia cuba untuk haling Zack dari mengahwini Azura. Ianya terlalu simple. Cukup hanya untuk mengagumi Afdlin dalam mutu lakonan, tetapi tidak dalam penceritaan. 

Pemilihan Neelofa dan Shah Jaszle mungkin satu factor penghalang untuk Azura pergi jauh. Bukan apa, di zaman Azura yang asal, pemilihan Ogy itu sendiri adalah dikala namanya masih hit. Semua ofang kenal Ogy. Menjadikan Azura adalah a hit! Zaman itu juga orang kenali Jamal Abdillah! Peminatnya jutaan. Jika ditanya pak cik mak cik siapa itu Neelofa dan Shah Jaszle, mereka pun mesti tak kenal. Dahulunya, Ogy dan Jamal memang dikenali tua muda. Maka, segenap umurlah menyumbang box officenya Azura. 

Azura 2012 mengharapkan pelakon muda yang kurang menyerlah dalam filem. Ditambah dengan kontroversi Neelofa dan disiplin Shah Jaszle, gossip nampaknya tidak mampu menaikkan Azura. Ternyata remake bukan satu bahan yang untung buat penerbit Malaysia. Apapun, lakonan Neelofa dan Jaszle biasa biasa dan tidaklah romantic sampai tangis air mata. Apa yang menarik adalah keterampilan Afdlin Shauki yang cukup hebat untuk watak Tan Sri Putih. 

Dari apa yang aku katakan, aku rasa Azura 2012 hanya mampu untuk menggamit penonton muda. Dalam erti kata lainnya, peminat Neelofa dan Jaszle dan juga penonton yang ingin mencuba melihat layar baru Azura. Malangnya, dengan halangan cinta yang terlalu simple dan tidak membantu untuk karakter bersikap tabah terhadap apa yang terjadi, filem ini hanyalah seperti drama tv biasa walaupun lakonannya di luar negara. 

2.5/5

Saturday, February 25, 2012

Review: Suatu Malam Kubur Berasap

Apa yang dikatakan oleh Atan di akhir filem ini mengambarkan konon kononnya filem ini memanglah terhebat dan cukup mengagumkan. Atan, kau sudah dianiaya. Maaf, filem ini memang tak masuk akal lagilah mentahyulkan. Walaupun tahyul itu adalah satu perkara yang diterima, pemecahan cerita ini nampaknya sungguh tidak bijak dan juga tidak menarik. Malang sungguh mengenang nasib cerita ini yang nampaknya cuba untuk membuatkan penonton gelak sampai terburai perut tetapi malangnya hanya mampu untuk membuatkan penonton menitiskan air mata mengenangkan duit tiket yang sudah terbakar hangus dalam cerita ini. 
Jujurnya aku katakan Suatu Malam Kubur Berasap tidak mencapai tahap yang cukup membanggakan walaupun pengarahnya adalah seorang Chinese. Bukan apa, selalunya pada minda aku, jika pengarahnya adalah bukan Melayu, memang filemnya akan luar biasa walaupun filem ini adalah filem Melayu. Aku dapat lihat gaya pengarahan bukan Melayu dan Melayu memang berbeza. Harapan itu aku simpan semasa aku menonton filem ini. Dan, simpan sajalah, aku tak jumpa pun kehebatan Ernie Chen. 


Dari mana rosaknya Suatu Malam Kubur Berasap? Dari kebodohan babaknya kah? Ernie Chen kah? Atau penulisannya? Pelbagai faktor nampaknya menyumbangkan kepada rebahnya filem ini di mata aku. Ah, pedulikan 4 juta kutipannya. 4 juta itu hanya pada nombor, apa ada pada kepuasan, hanya diri yang tahu. 

Pertamanya, kita lihat karakter Siti itu sendiri. Persoalannya di sini, hantu Siti itu nampaknya seperti baru muncul di tengah cerita. Ibaratnya penulis skrip sedang terbaring idea tersekat dan tetiba terfikir nak masukkan idea Siti di tengah dan nak akhirkan filem ini. Nampak sangat susunan watak Siti yang dilistkan sebagai pelakon utama itu teruk binaannya. Siapa Siti? Kenapa Siti minta pertolongan Atan? Ah, tak perlu harapkan penjelasan. Memang takkan ada. 

Keduanya, mari kita lihat watak Zack Diamond sebagai Mie yang datang dari KL? Watak Mie ni apa peranannya? Apa yang membuatkan dia tetiba saja rapat dengan geng Atan ni? Mana jawapannya? Oh tidak adoooi. 

Ketiganya, aku lihat karakter Atan, Bun dan Pet ini sendiri tidak teguh dan kuat. Dalam sinopsis kononnya mereka digambarkan sahabat rapat. Tetapi mana penjelasan itu dalam filem? Mengapa Pet kerap sangat menggoda gadis? Mana unsur persahabatan diorang? Benar benar ke mereka ini sahabat? Aku tengok macam masing masing buat hal masing masing jer. 


Keempatnya, aku rasakan kebodohan itu sendiri telah diletakkan pada tajuknya yang memang tak masuk dek akal dengan ceritanya. Suatu Malam Kubur Berasap sepatutnya menceritakan sekurang kurangnya kenapa kubur Siti berasap? Or at least lah, apa saja lah yang berkaitan dengan kubur yang berasap. Tetapi, yang taiknya di sini ialah, apa yang berasap tak pulak ditonjolkan. Sebaliknya, kisah Atan yang dok mengorek kubur tak henti henti macamlah tiap tiap hari ada orang mati tu je yang ditonjolkan. Kubur ditunjukkan berasap hanya pada akhir cerita, selepas bermalam malam cerita berlalu. 

Malah, kekalutan dan kecelaruan tahap gaban filem ini ditambah lagi dengan kehadiran kre filem paranormal yang tetiba datang membuat filem seram. Aku tertanya tanya, mana isi filem ini? Mana point filem ini? Apa yang sebenarnya cuba untuk disampaikan? Adakah ianya filem bodoh yang tidak ada plot yang menjadi tulang belakang? Adakah filem ini filem kosong tanpa plot? Mengarut! Sebuah filem pastinya perlu ada penceritaan! 

Lebih teruk lagi, filem ini kononnya menampilkan Pak Akob yang entah muncul tetiba menyelamatkan roh Siti. Nampak sangat Pak Akob memberikan dialog ciptaan yang tidak layak diciptakan untuk dirinya. Pak Akob bercakap tentang menyelamatkan roh Siti? Come onlah, aku geli dengan dialog itu. Penjelasan ini nampak sangat mengarut dan tidak diatur dengan betul. Malah, bagaimana tetiba 4 sekawan tiba tiba boleh datang ke kubur dan tahu pulak hantu Siti nak menganggu di situ. 

Teruk dan menerukkan, satu babak filem ini menampilkan mayat siapa entah yang kononnya dipinta oleh sedaranya untuk ditumpangkan di rumah Atan. Akhirnya, apa pula kisah di sebalik mayat ini, tiada siapa yang tahu. Macam ada yang tak kena. 

Malah, Siapa Siti itu sendiri tiada siapa tahu. Kalau aku tanya penonton lain pun, diorang sendiri tidak jelas. Dia ini ada rumah di kampung itu. Tetapi, bagaimana pula Atan and the geng boleh tak kenal Siti semasa Siti datang ajak mereka makan kenduri? Siti kata dia orang baru di kampung, tetapi kenapa Pak Akob boleh kenal dengan Siti dan minta dia kembali ke dunia ‘roh’ nya? 

Aduhai. Filem ini terbelit. Aku boleh mampus kalau aku menonton filem ini beberapa kali lagi. Cuba untuk mencari penjelasan di sebalik persoalan soalan di atas. Namun, aku gerenti sampai bila aku takkan jumpa. 

Di sudut positifnya, aku rasakan filem ini punya visual yang ok. Walaupun skor dan bunyi nampak sangat cliche seperti Momok M Jamil, boleh la dibanggakan dengan visualnya. Namun, apa guna visual kalau ceritanya hampeh! Tul tak?? 


Apapun, aku suka lakonan Along Raja Lawak yang cukup sempurna. Rasanya jika karakternya dimasukkan dalam sebuah filem sedih, penonton mampu untuk menangis dengan kelurusan dan kebendulannya. Malang sungguh kepada Zack Diamond kerana lakonannya cukup tak umph untuk genre komedi. Watak Pak Akob sia sia. Apapun, masih banyak lagi perkara perlu diimprove masa akan datang. 

Apa yang perlu diimprovekan on next Suatu Malam Kubur Berasap 2 (kononnya akan datang, tetapi nasihat aku, hentikanlah) ialah mencari penyelesaian untuk lompang lompang plot yang telah tertinggal itu. Banyak soal perlu dijawab. Keseluruhannya, aku memberikan kesimpulan yang filem ini adalah filem seram yang cukup teruk dari segi ceritanya. Sebuah filem yang telah menampilkan banyak hantu sebagai cameo, tetapi hantu utama hanyalah di akhir filem. 

Oh ya, sebelum akhiri review ini, aku ingin bertanya apa kejadahnya Cempaka dalam poster promosi yang tak ada pun kepentingan dalam filem ini. Mana Cempaka dalam filem ini? Yang ada cuma Siti. Siti itulah watak lakonan Nurul Ain yang kontroversi dedah belakang tu. Pada pandangan aku, dedah belakang tu memang tak berbaloilah dengan apa yang dilakukan terhadap karakternya dalam filem ini. Nampak sangat pihak penerbit kononnya mahu mengumpan penonton dengan adegan seksi padahal dalam filem ini, hanya adegan berkemban dalam air yang taklah seksi sangat tu saja yang ada. Selebihnya, Siti (yang dalam posternya menggunakan nama Cempaka entah kenapa pun tak tahu sebabnya) memakai baju kurung / kebaya dan berselendang. 

Aku berteka teki, filem ini adalah sebuah exibition hantu dalam panggung atau sebuah filem cereka? Nah, mungkin ini adalah pameran hantu kot. Sebab apa, hantu Cina pun ada tanpa apa apa sebab. Ketakutan tak dibina, malah komedi itu sendiri tidak mampu dibina dengan baik. Semuanya gara gara plot yang tunggang langgang. Malang sungguh filem ini tidak berjaya mencuit hati aku. Berteka teki bagaimana filem ini mampu untuk mendapat jutaan. Senang saja. Promosi yang bijak. Sekian. 

1/5

Monday, February 20, 2012

Review: Sumpahan Kum Kum

Sumpahan Kum Kum punya idea yang cukup sempurna. Ideanya tak biasa dan berjaya lari dari idea ucap ucap jampi serapah yang banyak menghiasi filem filem Teo sebelum ini. Memang aku pun dah naik muak dengan jampi serapah yang apa apa entah atau mungkin rekaan yang tak logika dan tak mampu lagi ditelan untuk keseraman berganda. Jampi serapah Teo nampaknya sudah menjadi komedi yang menenggelamkan seramnya filem Metrowealth. Rujuk Keramat dan juga beberapa filem kebelakang terbitan Teo. 

Bertitik tolak dari penghuni alam ghaib yang fiksyen atau dekatnya disebut lagenda, Sumpahan Kum Kum memberikan keseraman yang meyakinkan sekaligus membuatkan idea seramnya patut dipuji. Walaupun kutipan di panggung nampaknya gagal mencapai tahap maksima, file mini ada factor x nya yang tersendiri. Garapan Ismail Bob Hashim ini nampaknya berjaya lari dari cliché Zain dan juga Idham yang sebelum ini penuh dengan angkat mengangkat hantu popular Malaya. 


Tak ada hantu raya, tak ada hantu peleset, ini adalah hantu Kum Kum. Hantu kum kum jarang didengar kerana ianya lagenda setempat yang tidak menghuni Malaya keseluruhannya. Ianya sebuah kisah setempat dan jarang didengar. Semejak ada siri tv dengan tajuk hampir sama, di situlah hantu kum kum mula dikenali. Dan Metroweath membawakan idea ini ke layar besar kononnya mampu membuktikan salam hantu itu yang punya Kum sebanyak 3 kali mampu menakutkan penonton. 

 Ya, ketakutan itu wujud di saat akhir. Di saat bagaimana hantu itu muncul di cermin untuk satu ilusi kejutan yang realistik. Bravo! Namun, dari awal sehingga tengah filem ini, kelibat gaya cerita format Metroweath tak mampu di bawa lari jauh. Seramnya yang cuba bermain main dengan penonton kadangkala nampak membosankan walaupun ideanya menarik dan cukup luar biasa. 


 Kisah Mila yang mana hodoh dan menggunakan susuk untuk mencantikkan wajahnya nampak cukup untuk memberikan kesedaran tentang manusia dan kesanggupan mereka untuk melakukan apa saja dalam hidup. Sebuah kisah kehidupan yang pada aku berjaya dipaparkan dengan menarik kerana setiap manusia ada kehidupan yang sukar diduga. 

Belitan yang dibina, dimana Mila akhirnya melanggar pantang dan Mak Tam memaksanya membunuh 9 nyawa dara itu nampaknya menarik. Tambahan lagi, nyawa pertama itu sendiri nampaknya adalah anak Mak Tam sendiri adik kepada Adi menjadi mangsa, itu memang belitan twist yang memang cukup sifat untuk membina sumpahan kum kum. 


Seram Ismail Bob Hashim nampaknya bukan diletakkan pada kejutan kejutan yang selalu hadir setiap kali babak demi babak. Seram pengarah ini dalam arahan Sumpahan Kum Kum aku nampak pada bagaimana kejutan plot itu sendiri yang dibina dengan suspens dan seramnya. 

Secara keseluruhannya, lakonan Fezrul boleh dibanggakan kerana adegan rasukan Mila dalam bilik terkunci itu memang terbaik dan hebat. Putri Mardiana kurang menyerlah namun banyak membantu. Dengan watak pembantu yang begitu ramai, aku rasa hanya Fezrul saja yang nampaknya timbul dalam filem ini. 


Dengan ending filem ini yang nampaknya sudah mampu diduga saat pak imam membaca yasin di kuburan Mila, Sumpahan Kum Kum secara keseluruhannya punya kehebatan pada penceritaan. Bagaimana ukiran karakter Mila dan juga kisah ibunya si Adi nampaknya ukiran yang menarik. Tidak berkecamuk dan tenang. Mungkin Sumpahan Kum Kum tak mampu untuk menandingi apa yang terjadi dengan filem seram 3 4 tahun dulu yang box office kerana peletakan elemen seram filem Teo sudah nampak clichenya sekali sekala. 3/5

Saturday, February 18, 2012

Review: Ghost Rider - Spirit of Vengeance

Pengarah duo Mark Neveldine dan Brian Taylor, yang sebelum ini pernah menggarap Gamer dan Crank nampaknya cuba untuk meyakinkan bahawa dia mampu untuk membawakan apa yang Mark Steven Johnson bawa pada tahun 2007. Dengan Eva Mendes yang sudah dilucutkan watak dan juga kehidupan Blaze yang sudah direka dengan pembahaaruan, kononnya duo ini mampu untuk membina apa yang baru untuk penonton; pemandu syaitan dengan sedikit suntikan komedi dan keganasan. 

Aku rasakan yang Mark Steven Johnson buat dulu adalah ok ok sajalah untuk membina tapak pertama Ghost Rider dalam industry filem. Bukan apa, kisah ghost rider sebenarnya bukanlah kisah superhero yang mudah untuk difahami golongan muda. Dengan suntikan religi dalam pembentukan karakter ghost rider itu sendiri, ianya bukan superhero untuk golongan yang otak bersih dan closed minded. 

Apapun, pengalaman menonton Ghost Rider: Spirit of Vengeance di Hall 3, Jitra Mall jam 3.40 petang 18 Februari 2012 sebenarnya menghampakan. Rasanya, first filem tahun 2007 nampak lebih hebat berbanding kisah ini. Dengan plot yang lebih kepada keagamaan, ianya tak mampu menyuntik keseronokan. Mengecewakan apabila pengarahannya nampak seperti satu pembaharuan yang tidak menjadi. Ianya satu idea yang menarik apabila filem ini mahu menonjolkan 3D. Namun, nampaknya semakin teknologi diutamakan, semakin cerita diabaikan. Itulah apa yang terjadi dengan filem kedua Ghost Rider ini. 

Masih mengekalkan Nicholas Cage sebagai Johnny Blaze, stuntman yang membuat perjanjian dengan syaitan dan akan bertukar menjadi ‘superhero’ dendam kesumat dengan kepala berapi, sequel kedua ini meletakkan Blaze yang hidup dalam pelarian. Moreau (Idris Elba) menawarkan pemulihan kepada Blaze namun dia mesti melaksanakan satu tugas; mencari anak Nadya (Violante Placido) yang punya kuasa syaitan untuk dibunuh. 

Apapun kisahnya, aku tetap rasakan Ghost Rider: Spirit of Vengeance gagal untuk menangkap perhatian aku. Aku gagal terhibur untuk aksi kepala tengkorak ini kerana aksi pergaduhannya nampak tidak berapa bagus pada susunannya. Berterabur kadangkala. Lihat saja pada pergaduhan apabila Ghost Rider menggunakan kren besar untuk melawan si jahat. It seems to be haywire everywhere there and there. Tunggang langgang. 


Mission Impossible berevolusi menjadi aksi komedi pada siri keempatnya. Kononnya, at certain point, lakonlayar dan skrip filem ini cuba untuk menyuntik komedi dalam jiwa Ghost Rider dan bukannya Johnny Blaze. Aku sedar jenaka cuba diselitkan, namun ianya tak berjaya dalam filem ini. Justeru, aku rasakan jiwanya sudah jadi kacau bilau bila komedi itu tak menjadi dan akhirnya membunuh gaya gaya hebat Ghost Rider. Tetapi, syot Ghost Rider kencing berapi tu memang kelakar. Ha3. 

Malang sungguh, dengan publisiti yang nampak hebat, Ghost Rider: Spirit of Vengeance hanya menyajikan aksi yang kurang dan tidak mampat. Dengan elemen 3D yang disajikan, Ghost Rider: Spirit of Vengeance tidak mampu untuk memberikan derap nafas yang hebat pada setiap aksinya. Apa yang mampu disampaikan adalah kekaguman bagaimana kehebatan api api Ghost Rider ini membakar mangsa dan adegan terakhir filem ini yang cukup power (walaupun suam suam je, tapi bolehlah). 

Apapun, secara keseluruhannya, gagal.. memang filem ini tidak punya aksi yang berjaya membuatkan penonton terpikat. Ghost Rider 2: Spirit of Vengeance memang sebuah filem yang memalukan karpet merah filem awalnya. Dengan karakter Eva Mendes yang entah hilang kemana dan persembahan dokumentari yang sekali sekala wujud untuk menerangkan kehidupan Blaze, ianya gagal untuk memikat penonton. Dengan lakonan Nicholas Cage yang sederhan, Ghost Rider: Spirit of Vengeance nampaknya satu petanda rebahnya Ghost Rider di neraka!. 

 1/5

Tuesday, February 14, 2012

Review: Sesuatu Yang Tertinggal

Black nampaknya cuba lari dari cliché seram Azahari Zain, Razak Mohaideen dan juga Ahmad Idham dengan Sesuatu Yang Tertinggal. Gayanya jelas muda dan cukup segar pada penampilan. Ditambah dengan nam Ron yang cukup bersahaja juga penampilan Sara Ali dan juga Zahiril Adzim, filem ini memang nampak muda dan menyasarkan golongan penonton yang cuba mencari cerita baru luar kotak dari sinema Malaysia. 

movie mistakes SESUATU YANG TERTINGGAL:

Malangnya, Sesuatu Yang Tertinggal memang ada tertinggal sesuatu. Entah kenapa permainannya kadangkala nampak seperti filem 80an dengan lakonan beberapa pelakon yang sedikit kaku. Perhatikan saja watak orang perak yang menjaga rumah apabila Pak Amin keluar dari rumah anak yatim. Lakonannya nampaknya seperti sambil lewa dan tidak mampu untuk memberikan keseraman. Cukup saja untuk memberikan twist, tetapi keterjuaan, ianya tidak terjadi. 


Ceritanya cukup Hollywood-style. Dengan idea yang luar dari pemikiran biasa, Sesuatu Yang Tertinggal cuba untuk mirip kisah Mirror lakonan Donald Sutherland yang mana diterjemah dari karya korea bertajuk Into the Mirror. Walaupun kisahnya nampak jauh beza, bagi yang cuba untuk membandingkan memang akan nampak inspirasi tersebut di akhir filem. 

Apapun, sudut lakonan nampaknya diabaikan. Nampak benar Zahiril Adzim gagal untuk memberikan persembahan yang baik. Tidak tertonjol sifatnya sebagai seorang yang dewasa dan juga penting dalam kisah ini. Malah, Sara Ali nampaknya tidak juga untuk tampil dengan keseraman berganda walaupun dia agak baik dalam lakonan selebihnya. Hantu di jamban semasa dia menakut-nakutkan Bella nampak terlalulah comel walaupun darah dan luka di badan sana sini. Ngerinya kurang. 


Idea kematian karakter karakter yang berputar di sekitar dunia Mona nampaknya memang gempak dan mengerikan. Itu salah satu kelebihan Sesuatu Yang Tertinggal. Memberikan sajian ngerinya yang cukup sempurna fiksyennya, walaupun kita tahu orang renjatan eletrik takkan pecah sampai apa satu pun x nampak. Apapun, bagaimana rangka filem ini cuba membina seramnya dengan pembunuhan dua karakter itu nampak menakjubkan. Itu faktor x filem ini. 


Aku juga menyukai bagaimana cerita ini cuba untuk bermain dengan beberapa titik titik putar belit yang dibina untuk mengelirukan penonton. Walaupun putar belitnya nampak seperti terbelit sampai tak boleh nak dibuka, belitan belitan ini nampaknya permulaan yang baik untuk kisah ini. Malang sungguh, belitan ini nampak seperti tak dapat dibuka dengan baik di akhir filem. Ayam sabung, papan ouija, almari lama, dan cermin itu sendiri nampaknya tidak menjelaskan dengan baik apa yang sebenarnya berlaku di akhir filem. 

Soalan soalan seperti dunia apa yang anak yatim tu masuk ke dalam cermin? Kenapa dunia itu nampak lain dan mereka kesunyian? Siapa yang memerangkap mereka ke dalam cermin? Siapa sebenarnya roh dalam cermin itu? Ianya nampak tak jelas. 


Di akhirnya, Sesuatu Yang Tertinggal nampaknya bukanlah sebuah filem biasa biasa. Ini bukan persembahan Azahari Zain, juga Idham dan Mohaideen yang biasa. Tidak ada cerita kultur melayu disajikan sebaliknya cerita fiksyen dalam adaptasi budaya kita. Persembahan Black yang nampaknya tidaklah mengecewakan walaupun penekanan kurang diberi pada aspek lakonan. Dengan hantu muka bulat Sara Ali yang comel dan efek mata terbeliak yang gagal, Sesuatu Yang Tertinggal nampaknya masih ada sisa untuk kewajaran menonton; kengeriannya. 

3.5/5

Sunday, February 12, 2012

Review: Chronicle

Pembikinan filem ala ala ‘lost tape’ sudah banyak disongok dengan genre seram. Pernah J J Abrams tampil dengan gaya barunya, Cloverfield, mencuba menggunakan gaya bikin ini untuk filem monster. Menjadi dan boleh tahan. Sekarang 2012, pembikin filem sebegini tampil lagi dengan gaya yang berbeza. Kali ini, filem ‘lost tape’ membawa kita menyusuri kehidupan reality fiksyen sekali lagi tetapi dengan tema superpower. Ini kisah Andrew, Matt dan Steve dan bagaimana satu insiden mengubah hidup mereka selamanya. 

Secara kasarnya, Chronicle mengisahkan bagaimana kehidupan Andrew yang tertekan kerana ibunya yang sakit dan bapanya yang panas baran. Dia beli sebuah kamera dan nak dijadikan cerita, Matt, cousinnya membawakannya ke satu party. Dek kerana merakam adegan tarian seorang perempuan, dia ditumbuk. Maka, muncul Steve yang membawa mereka ke sebuah lubang misteri dalam hutan. Dan, misteri lubang tersebut membuatkan mereka mendapat kebolehan superpower. Namun, anugerah itu nampaknya makin lama makin menjauhkan mereka dan kehidupan mereka berubah. 

Jujurnya, idea filem ini memang ada sedikit masalah pada permulaannya. Filem ini nampaknya gagal untuk memancing diri aku untuk melihat asal usul superpower mereka bertiga secara kuat. Bagaimana paparan kristal dalam tanah itu tidak dijelaskan dengan sempurna dan sebab polis menghalau mereka dari kawasan itu nampaknya tidak kukuh. Dari aspek penceritaan bagaimana Andrew, Matt dan Steve berjumpa kristal ajaib itu, gagal. Totally fail untuk satu permulaan superpower. 

Namun, abaikan saja permulaan itu kerana makin ke hadapan, filem ini nampaknya memaparkan realiti tekanan Andrew dan juga kebolehannya yang makin berkembang. Andrew yang makin tinggi kuasanya dari rakan rakannya mula membuat keputusan sendiri dan cerita mula menjadi satu tragedi. 

Aku suka penghujung cerita ini yang mana menunjukkan kuasa Andrew yang tidak terkawal. Emosi dan juga CGI yang membantu adegan akhir filem ini nampaknya berjaya membawakan adegan adegan luar biasa. Adegan terbang ke atas awan, bas melayang ke udara dan semua kebolehan yang luar biasa. Awesome.

Malangnya, bila menyentuh tentang konsep yang diterapkan oleh pengarh Josh Trank dan lakonlayarnya oleh Max Landis, sekali lagi total failure. Walaupun pada aku boleh la kalau filem ini nak nampak seperti sebuah kisah biasa. Namun starting point yang bermula dengan idea ‘lost tape’ ni seolah olah sesat dalam perjalanan menuju ke penghabisan. Aku tidak menidakkan yang filem ini memanglah punya idea, mesej dann cerita yang menarik. Cuma, bagaimana konsep ‘lost tape’ itu diterapkan nampaknya menggagalkan persembahan. 

Cerita ini bermula dengan view point dari kamera Andrew dan sekali sekala di kamera Casey. It’s ok. Pada half way filem ini, konsep ini masih lagi tak tunggang langgang. Namun, di akhir filem ini, dek kerana tuan punya kamera sudah menjadi gila, view point dari kamera Andrew sudah tidak boleh digunakan lagi. Justeru, nah, kamera CCTV, kamera kereta polis dan juga kamera kamera yang entah macam mana boleh on dengan sendiri digunakan. Dan, ianya menjejaskan konsep ‘lost tape’ itu. Perhatikan saat Andrew terbang di udara dan berpuluh puluh kamera mengelilinginya. Logiknya pixel kamera handphone dll mengelilinginya. Bagaimana tu?? Kamera ni makhluk hidup ke? Gagal. 

Kegagalan konsep ini makin menjadi jadi apabila kamera Andrew itu sendiri seolah olah diberi roh. Dan, towards the end of the film, kamera itu melayang seolah olah tahu apa yang hendak dirakamkan. Entah bagaimana pula untuk dijelaskan. Konsep ‘lost tape’ ini anda akan perhatikan makin lama makin gagal dan filem ini nampaknya cuba bertukar sedikit demi sedikit ke format filem biasa. Maka, gagal lah konsepnya! 

Yang best, filem ini juga menunjukkan bagaimana Andrew itu terlalu obses dengan idea apex predator; konsep bahawa manusia ini berada di rantaian makanan teratas yang tidak diburu dan hanya memburu. Search kat googlelah untuk tahu apex predator tu menatang apa ya. 





"I am an Apex Predator. Does the lion feel bad killing the gazelle? Do people feel remorse when they kill a fly?” itu dialog Andrew dalam satu adegan filem ini yang menjelaskan bagaimana manusia sepatutnya menjadi arrogant dan tidak bertimbang rasa kerana manusia adalah apex predator yang tidak kisah untuk membunuh kerana tidak ada pemangsa lain yang akan membunuh manusia. In other word, kita berada di kasta tertinggi rantaian makanan. 

Apapun, filem ini memang sedap dilayan bagi yang suka filem ‘lost tape’. Korang semua pasti akan terkejut dan juga tidak menyangkakan kejutan filem ini. Sebuah kisah yang bercakap tentang kehidupan dan tekanan perasaan. Sebuah filem ‘lost tape’ yang gagal dalam konsepnya tetapi menarik dalam persembahan realiti fiksyennya. Oh ya, CGI filem ini juga nampaknya sederhana. Tidak setanding CGI filem lost tape lain. Malah, anda sendiri mampu untuk membezakan CGI dan realitinya. 

4/5

Saturday, February 11, 2012

Sneak Peek: Chow Kit


Chow Kit mengisahkan sekumpulan budak jalanan yang cuba untuk hidup di jalan Chow Kit. Namun, apabila Tika dirogol, mereka harus mencari keberanian untuk kebenaran atau sebaliknya, ada lagi nyawa akan melayang. Sementara itu, seorang ahi geng kongsi gelap Chow Kit pula baru dibebaskan dan akan mulakan hidup baru. Malangnya, dia ada tugasan terakhir yang terpaksa dijalankannya. Namun, semuanya akan tunggang langgang, dan dia harus betulkannya sebelum hidupnya hilang buat sekali lagi.

Itu adalah sedikit sinopsis yang boleh didapati di fanpage filem Chow Kit. Dibintangi Beto Khushairy dan ramai lagi, filem ini bakal menemui penonton 3 Mei 2012.

Wednesday, February 8, 2012

Review: Hafalan Shalat Delisa

Tere Liye pernah aku sentuh bukunya yang bertajuk Rembulan Tenggelam Di Wajahmu. Karya ini satu satunya nukilannya yang aku pernah baca (baru baru ini baru saja membeli karyanya, Bidadari Bidadari Syurga). Karyanya hebat dan unik. Jauh dari simpang penulisan agama Habiburrahman El-Shirazy. Gaya bahasanya mendayu dayu dan sedikit puitis menjadikan aku terbuai kadangkala dalam ayat ayat tulisannya. Kadangkala sesetengah bahagian menjadi bosan sebab puitisnya adalah pada satu novel itu sendiri dan bukannya sebahagian. 

Hafalan Shalat Delisa adalah karya Tere Liye yang aku terlepas pandang. Selepas diselidiki, aku baru tahu buku ini diterbitkan dalam tahun 2008. Sudah hampir berapa tahun ya sudah. Patutlah aku tidak tahu tentang buku ini. Masa itu baru aku berjinak jinak dalam dunia penulisan novel. Sudah bicaranya tentang novel, berkesempatan pula menonton filem Hafalan Shalat Delisa, terjemahan karya best seller itu oleh pengarah Sony Gaokasak ini. 


Ramai orang Malaysia memuji karya ini sehebat agungnya kisah agama dari Indonesia. Namun, disebalik paparan kisah wanita bertudung, Hafalan Shalat Delisa bukan berkisar tentang agama semata mata. Ianya tentang penyatuan dan kesepaduan antara satu sama lain. Aku rasakan Tere Liye sendiri menekankan kisah kerjasama antara apa saja agama dan hanya menjadikan kisah hafalan shalat itu sebagai hanya satu kisah subplot. Pujian atas kisah tsunami itu rasanya tak wajar. Tetapi, pujian atas isinya, itu wajar.

Tidak membaca karya ini dalam versi novel, tetapi aku rasakan filem ini tak mampu untuk memberikan kekuatan yang aku dapat rasakan. Aku rasakan penterjemahan itu sendiri nampaknya kurang bagus dari segi lakonan dan persembahan. Aku faham apa yang cuba disampaikan. Tetapi, aku rasakan karya tulisan asalnya rasanya lebih mantap persembahan puitisnya berbanding filemnya. 
Serius, aku menyukai adegan adegan jiwa kanak kanak yang masih baru mengenal dunia solat dan agama. Juga dunia keibu bapaan dan juga resah masalahnya. Titipan konsep keikhlasan dalam solat dan juga beramal juga amat menarik. Ideanya cukup cukup menyentuh hati dan pemikiran. Itu satu perkara yang baik bagi filem ini.


Secara keselururhanya, aku rasakan lakonan sederhana. Ditambah dengan visual effect yang hanya cukup cukup saja untuk member gambaran. Tidak berupaya untuk membawa grafik yang lembut. Boleh lah dimaafkan kerana CGI itu hanyalah untuk penyampaian tsunami itu saja. 

Ada satu perkara yang aku rasakan kurang enak dengan filem ini. Adegan bagaimana Delisa itu tidak diselamatkan oleh ustaznya sendiri nampaknya kurang memberikan penjelasan yang baik. Bagaimana tidak terdetik seorang pun untuk merangkul Delisa keluar dari bilik itu? Bagaimana pula orang lain sempat sampai ke tebing tinggi sedangkan tsunaminya laju benar sampai ke tingkap? Inilah babak yang nampaknya gagal untuk diterjemahkan. Tetapi tak mengapalah. Mesejnya sampai, itu sudah satu perkara yang baik.

Ringkasnya, aku rasakan filem ini ditanamkan satu keazaman tentang pentingnya solat. Tunjang idea yang nampaknya tak komersil tetapi dibina atas dasar untuk menasihati. Tere Liye sendiri rasanya menulis idea ini bukan saja untuk membina tragisnya tragedi tsunami, tetapi dalam masa yang sama penekanan kepentingan solat di usia muda itu diutamakan. Kisah yang simple dan ringkas tanpa plot yang benar benar kuat, tetapi mampu untuk membina satu diari Khalisa dan kisah hidupnya yang derita. 

Sebuah filem yang bagus dengan mesej tentang pentingnya kerjasama walaupun berbeza agama. Pentingnya solat, itu yang utama. Dan juga tentang pentingnya bersabar atas segala dugaan yang dialami.  Terus, selepas menonton filem ini, aku order bukunya versi Malaysia terbitan PTS Publication Sdn. Bhd. untuk tatap lebih jelas kisah kanak kanak bernama Delisa ini.

3/5

Review: Kingsman 2 - The Golden Circle (2017)

Tahun Terbit | 2017 Pengarah | Matthew Vaughn Pelakon | Colin Firth, Taron Egerton, Julianne Moore, Halle Berry Tak banyak filem ...