Friday, September 28, 2012

Review: Salam Cinta

Walaupun aku masih rasakan Salam Cinta masih berada pada label filem biasa biasa, namun, kiasan kiasan dalam filem ini nampaknya satu tusukan yang tajam. Kritikannya nampak pedas terutama sekali pada minit minit awal filem. Walaupun begitu, sebagai sebuah filem yang menekankan agama dan moral untuk mendidik dan membelai penonton, aku rasakan wajarkah adegan separuh bogel di kolam mandi, segala pesta pesti kat club semua tu ditonjolkan? Bak kata Amirul sendiri, dia nak berubah dan tak mahu filem itu ada adegan macam tu. 


Apapun, aku lihat Salam Cinta ada manifestasi Diana Amir itu sendiri. Melambangkan perubahan dirinya, dan juga sikap dan perubahan yang dia lalui. Aku dapat lihat bagaimana dua dunia, Amirul di satu sudut jahat dan Laila di sudut yang baik cuba dicampurkan. Sekaligus, ianya menghasilkan kritikan antara satu sama lain dan di akhirnya melalui ucapan bapa Pak Man, dua dua dunia itu tidak ada salahnya. Yang salah adalah pada bagaimana kita melaluinya. 
Dari satu sudut lain, Salam Cinta terang terangan membentuk sindiran tajam terhadap golongan golongan artis dan juga siapa saja yang terasa. Nampaknya, dari barisan filem ‘agama’ terbitan MIG, aku rasakan Salam Cinta lebih padat dengan ilmiahnya. Tidak terlalu mementingkan romantic islami seperti mana 7 Petala Cinta mahupun Syurga Cinta, Salam Cinta seperti sebuah ceramah yang agak penuh dengan sindiran terhadap kehidupan social. 


Namun begitu, seperti mana yang aku beritahu tadi, aku kuranglah bersetuju dengan adegan adegan clubbing yang dibawakan dalam filem ini. Itu sebenarnya menyebabkan Salam Cinta masih tidak boleh diiktiraf sebagai filem yang sepenuhnya mendidik. Dengan adegan tak pakai baju di tepi kolam, adegan adegan yang agak tidak sesuai untuk sebuah filem islami, adakah wajar untuk tujuan mendidik? Rasanya, kalau nak didik penonton buat dosa boleh kot. 

Apapun, Salam Cinta isinya amat berlainan. Walaupun basicnya aku dapat kaitkan dengan Al-Hijab – seorang pelakon yang kononnya nak dalami watak then terperangkap dalam satu isu. Namun, disebabkan ini dalam genre yang berlainan, x payahlah aku nak sembang panjang pasal benda ini. 


Sudut negatifnya, aku masih rasakan Salam Cinta seperti sebuah telenovela. Dugaan cinta Amirul dan Laila nampak terlalu banyak untuk ditempuhi. Aku yakin itu terbaik untuk menjadikan Amirul dan Laila sebuah kisah epik cinta. Malangnya, dengan sebuah persembahan yang agak mendatar, walaupun Shuk Balas nampak menonjol dari segi komedinya, filem ini terasa amatlah lama untuk sampai ke penamatnya. 

Pada pandangan aku, sebuah filem islami sepatutnya dibikin dengan penuh ciri ciri keislaman. Itupun jika penerbit mahu melabelkan filem ini sebagai sebuah filem islami. Oleh itu, buangkanlah adegan sentuh, peluk peluk dan yang tak halal dalam islam dalam filem sebegini. Kalau nak peluk peluk, nak sentuh sentuh masukkanlah dalam filem horror ke, komedi ke, drama ke. Malulah aku nak cakap, pandang ke Indonesia dan lihat bagaimana filem islam dibikin di sana. 


Bukanlah aku nak menghina kualiti Salam Cinta. Cuma, penerbit rasanya, tak pun pengarah ataupun tukang tulis skrip lah gamaknya, kena sedarlah sensiviti sesebuah filem islam. Bukan mudah untuk bermain dengan agama sebab agama bukan hantu yang boleh direka reka. Apapun, di pihak positifnya, Salam Cinta tetap sebuah kiasan yang agak baik dan pedas, walaupun di sebalik kiasan itu, filem ni sendiri seperti ‘ludah ke langit, jatuh atas muka sendiri’.

4/5

No comments: