Wednesday, August 1, 2012

Renungan: Malapetaka 15 Ramadhan 1433, Benar Atau Palsu?

Kisah Olimpik London 2012 di bulan Ramadhan dan juga persembahan pembukaan yang dikatakan pemujaan dajjal yang tersembunyi (tengok sini) walaupun aku melihatnya hanya sebagai persembahan biasa yang gah dan menakjubkan membawa kepada penulisan penulisan baru. Paling menakutkan, ada yang menggunakan hadis yang mana menyatakan kiamat atau satu huru hara akan berlaku pada pertengahan Ramadhan 2012 yang mana jatuh pada hari jumaat. Persoalannya benarkah ia? 


Bagi yang pernah membaca Armagedon 2012, sebuah buku tulisan Muhammad Alexander, pastinya akan melihat hadis ini dihurai sehingga sebuku panjangnya. Dalam buku tersebut, hadis ini dihuraikan sepanjang panjangnya dengan detail. Namun, tidak pula dinyatakan tarikh kiamat dengan jelas. Hadis tersebut berbunyi...

“Dari Nu’aim bin Hammad meriwayatkan dengan sanadnya bahawa Rasulullah SAW bersabda: Bila telah muncul suara di bulan Ramadhan, maka akan terjadi huru-hara di bulan itu…”. Kami bertanya: “Suara apakah, ya Rasulullah? ” Beliau menjawab: “Suara keras di pertengahan bulan Ramadhan, pada malam Jumaat, akan muncul suara keras yang membangunkan orang tidur, menjadikan orang yang berdiri jatuh terduduk, para gadis keluar dari pingitannya, pada malam Jumaat di tahun terjadinya banyak gempa. Jika kalian telah melaksanakan solat Subuh pada hari Jumaat, masuklah kalian ke dalam rumah kalian, tutuplah pintu-pintunya, sumbatlah lubang-lubangnya, dan selimutilah diri kalian, sumbatlah telinga kalian. Jika kalian merasakan adanya suara menggelegar, maka bersujudlah kalian kepada Allah dan ucapkanlah: ” Mahasuci Al-Quddus, Mahasuci Al-Quddus, Rabb kami Al-Quddus “, kerana barangsiapa melakukan hal itu akan selamat, tetapi barangsiapa yang tidak melakukan hal itu akan binasa”. (Al Hadis) 

Dari hadis ini, maka berlegar legar dari email ke email, facebook ke facebook dan lagi lagi media masa meminta pembacanya melihat calendar 2012 yang mana 1 Ramadhan 2012 jatuh pada 20 Julai 2012 yang mana hari Jumaat. Malah 15 Ramadhan 1433 juga dikatakan jatuh pada hari Jumaat. Dan dari mesej berantai tersebut, dikatakan satu suara yang amat dahsyat akan didengar dari langit yang mana tidak dikatakan sebagai kiamat namun mampu menlenyapkan 2/3 dari umat bumi. Malah, disertakan juga sebuah kajian NASA yang mana tidak diketahui sumbernya tentang planet X yang mana akan melintasi bumi pada 21 Disember 2012 dan akan melenyapkan 1/3 baki manusia yang tertinggal di bumi.

Dalam fakta di atas, ternyata mesej berantai itu sendiri salah faktanya. Lihat saja kedudukan 15 Ramadhan 1433. Ianya bukanlah jatuh pada hari Jumaat tetapi sebaliknya hari Sabtu. Sepatutnya, aku sendiri, melihat kepada fakta yang jelas fake itu, tak perlulah berpanjangan bercerita, tetapi lebih baik kita kukuhkan pemikiran dengan semua yang ada di bawah ini.

Disebabkan ada yang meninggalkan komen di entry Illuminati Olimpik: Konspirasi Kita atau Mereka menggunakan hadis tersebut, lantas timbul minat untuk mencari sejauh mana penulisan tentang hadis tersebut sudah tersebar. Adakah kebenaran hadis ini benar benar tersokong? Atau adakah hadis ini dihukum sebagai palsu? Pencarian aku berakhir di sebuah laman milik Institut al-Qayyim (klik sini). 

Menurut penulis website tersebut, hadis ini dikatakan tidak sahih dan tidak boleh dijadikan hujah. Blog tersebut memasukkan beberapa potong screen capture dari laman web islamweb.net yang mana berbunyi…  

"Hadith ini dikeluarkan oleh Nu’aim bin Hammad (نعيم بن حماد) di dalam kitab al-Fitan (الفتن) daripada Ibn Mas’ud R.A. Di dalam sanadnya ada Ibn Lahi’ah (ابن لهيعة), dan ia adalah seorang yang lemah/dhaif, di dalam sanadnya juga ada ‘Abd al-Wahhab bin Husain (عبد الواب بن حسين), dan ia seorang majhul seperti yang dinyatakan oleh al-Hakim dan Ibn Hajar. Ada juga di dalam sanadnya rawi bernama Muhammad bin Thabit al-Banani (محمد بن ثابت البناني), beliau tergolong dalam individu yang ditajrihkan dan dianggap lemah oleh Ibn Hibban dan Ibn Ibn ‘Adiy (ابن عدي), di dalamnya juga ada al-Harith al-A’war al-Hamdaniy (الحارث الأعور الهمداني ) dia termasuk pendusta hadith seperti yang dijelaskan oleh al-Sya’biy, Abu Hatim dan Ibn al-Madiniy. Abu Zur’ah pula berkata: “Tidak dijadikan hujjah dengan hadithnya.” 

Berdasarkan website tersebut juga, Al Hakim mengatakan hadith ini ganjil. Al Zahabi dan Ibn Al-Jauzi pula menghukum hadis ini sebagai palsu. Dari sebuah blog lagi (klik sini untuk sumber) satu sumber yang dinyatakan berasal dari Bahagian Penyelidikan JAKIM menyebut… 

“Hadith ini mengikut Dr Fahd Salman Audah adalah Do’if Jiddan (SANGAT LEMAH) atau Maudu’ (PALSU) . Tidak boleh langsung berhujjah dengannya. Hadith ini memang sudah banyak tersebar secara meluas. Salah seorang perawi hadith ini ialah Nuaim bin Hammad. Ramai ahli ilmu yang menyatakan hadith yang diriwayatkan oleh Nuaim bin Hammad dalam Musonnifnya berkaitan cerita-cerita berkenaan kisah akhir zaman adalah adalah Munkar. Berkata Imam Az-Zahabi dalam kitab Siar A’lam Nubala’ ; “Tidak boleh seseorangpn berhujjah dgn hadith Nuaim bin Hammad kerana dia telah mengarang kitab tentang fitnah akhir zaman dengan mendatangkan keajaiban2 dan banyak yang dibawanya adalah Munkar. 

Dia banyak mengambil hadith dari Kaab bin al-Ahbar yang dikenali kerana berpegang dengan kitab-kitab Israiliyyat.Dia juga banyak mengambil hadith dari org2 yang tidak dikenali dan diragui. Begitu juga dgn Abdul Wahhab salah seorang perawi hadith ini mengikut Al-Hakim dalam Lisanul Mizan adalah orang yang tidak diketahui (majhul). Wallahu ‘alam. Semoga kita berhati2 dgn hadith2 seumpama ini dan menjaga nas syariah seperti yang sebenarnya. 

Bahagian Penyelidikan JAKIM 
Cawangan Akidah

Malah, dalam entry yang sudah banyak dipost sana sini dalam blog blog untuk menentang kebenaran hadis palsu ini, disertakan juga beberapa pandangan dari Imam Abdul-Aziz bin Abdullah bin Baz, Bekas Mufti Arab Saudi, Prof. Dr. Shaikh Husam ‘Affanah, Prof. Fiqh dan Usul, Universiti al-Quds, Palestin dan Dr. Ash-Sharif Hatim bin ‘Arif al-’Awni, pensyarah Universiti Umm ul-Qura, Mekah. Ketiga-tiga ulama ini menjawab hadith-hadith seperti ini adalah sangat lemah, malah palsu. 

Apabila ditanya tentang hadith di atas, jawapan Imam Abdul-Aziz bin Abdullah bin Baz ialah.. 

“Hadith ini kesahihannya tidak berasas, malah ianya batil dan dusta! Telah berlalu banyak tahun di mana malam Jumaat jatuh pada pertengahan bulan Ramadan tetapi tiada apa pun yang telah berlaku, Alhamdulillah. Tiada hadith sahih yang menyebutkan kedustaan ini mahupun perkara-perkara lain yang disebutkan di dalam hadith ini. Dengan ini, setiap pembaca kata-kata ini tahu bahawa tidak boleh disebarkan hadith batil ini, malah ianya wajib dikoyak dan dihapuskan serta memberikan kesedaran tentang kebatilannya.” 

Shaikh Husam ‘Affanah pula… 

“Hadith ini diriwayatkan oleh Nu’aim bin Hammad dalam kitab al-Fitan dengan sanad yang lemah, kerana di dalam sanadnya ada Muhammad bin Thabit al-Banani, yang dikatakan oleh al-Hafiz ibn Hajr: “Lemah”, dan di dalam sanad itu ada al-Harith bin Abdullah al-A’war al-Hamdani, yang dikatakan oleh al-Hafiz (Ibn Hajr): “Asy-Sya’bi berpendapat dia pendusta, dan dituduh sebagai Syiah dan hadithnya lemah.” 

Hadith ini disebutkan oleh penulis kitab Kanz ul-’Ummal dan telah mengisyaratkan bahawa hadith yang diriwayatkan oleh Nu’aim ini adalah hadith lemah dan tidak boleh dijadikan hujah. 

Wujud riwayat-riwayat lain yang lemah-lemah belaka, seperti riwayat Abi Umamah tentang suara di pertengahan bulan Ramadan. Ibn al-Jawzi menyebutkan hadith ini di dalam kitabnya al-Mawdu’at (Hadith-hadith palsu), dan berkata selepas menyebut sanadnya: ‘Hadith ini tidak sahih.’ Berkata pula al-’Uqaili: ‘Dia ini ditinggalkan hadithnya, iaitu tentang salah seorang perawinya.’ Berkata pula Ibn Hibban: ‘Dia biasa mencuri hadith, dan tidak boleh berhujjah dengannya.’ Berkata pula ad-Daraqutni: ‘Hadithnya Mungkar.’… [dan seterusnya]” 

Akhir jawapannya, Shaikh Husam berkata: “Dengan ini, zahir kepada kita bahawa hadith-hadith ini tidak sabit daripada Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) dan orangramai mesti berjaga-jaga daripada menyebarkan hadith-hadith yang lemah ini, dan hanya merujuk kepadda hadith yang sahih daripada Rasulullah S.A.W” 

Dr. Hatim al-’Awni pula menyatakan… 

“Hadith ini mempunyai lafaz-lafaz yang banyak, dan riwayat yang berbeza-beza, dan semuanya tidak sahih belaka.” 

Berkenaan kewujudan Planet X, Nasa sudah menjelaskan yang tidak ada planet sebegitu buat masa terdekat, penjelasan lebih lanjut boleh dilihat dan ditonton di bawah: 


Jadi, semoga kita berhati hati dalam menyampaikan kebenaran yang tidak kita ketahui sejauh mana kebenarannya. Ini kerana nabi sudah bersabda, “Sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka dia telah menempah tempatnya di Neraka” Adapun tentang 2012 yang banyak diperkatakan, ini adalah soal lain, dan perlu dikaji lebih mendalam, berdasarkan kepada hadith-hadith yang sahih, dan peristiwa-peristiwa dunia yang sudah, sedang dan akan berlaku. Apa yang penting bagi kita sebagai seorang Muslim yang takutkan tuhan, hanya bersedia pada bila bila masa dan ketahuilah kiamat itu pasti dan bila masanya itu bukan kuasa kita.

p/s: maklumat dan segala data dipetik dari pelbagai sumber dan bukan menggunakan pendapat admin sendiri.

1 comment:

Adam Haiqal said...

kita sebagai umat islam ada kepercayaan kepada rukun iman. Tidak terdapat pula kepercayaan kepada hadith..kan? So,berhati-hati lah dgn sebarang hadith yg kita sendiri tidak pasti akan kesahihannya. terimakasih atas sharing nya tu :)