Sunday, July 8, 2012

Review: The Amazing Spider-man

Memang filem ni jauh lebih gila persembahannya dari filem Sam Raimi. Keseluruhannya, filem ini meyakinkan pada visualnya. Lebih baik dari segala macam hal jika dibandingkan dengan trilogi nukilan Sam Raimi beberapa tahun lalu. Memanglah. Masa Sam Raimi buat Spiderman dengan Tobey Macguire bersama Kirsten Dunst, masih belum ada teknologi teknologi hebat terutama 3d. Lagipun pada masa tu tidak sangat ditekankan aspek visual sebab penonton lebih terarah untuk menonton cerita berbanding visual. Zaman 3D mengubah segala galanya.  


Versi baru kisah Spiderman ini ada kurangnya, ada keistimewaannya. Pendek kata, Sam Raimi punya version ada faktor x yang tersendiri dan versi Marc Webb ni pun ada keistimewaannya. Plotnya mirip, terutamanya pada kisah personal Peter Parker, cuma olahannya dikira agak lebih baik dan tidak tergesa gesa dalam membawakan peribadi Peter Parker. The Amazing Spiderman berbicara dengan lebih terperinci dunia Peter Parker berbanding versi Sam Raimi yang terus mensasarkan kisah Spiderman tanpa membina pasak kukuh untuk peribadi Spiderman. 

Bagaimana ilham untuk Spiderman mereka suit, rekaan alat untuk keluarkan jaring lelabah, dan urutan cinta Peter Parker dengan Gwen Stacy yang dibina perlahan lahan dan matang adalah kelebihan filem ini. Kesemua aspek aspek ini lebih membina logika diri Peter Parker. Malah, kesemua ini membina karakter Peter Parker yang lebih matang dan sesuai untuk dunia yang lebih modern. Andrew Garfield membawa sisi Spiderman yang lain dan lebih menarik. Aku rasakan wataknya tidaklah terlalu nerd seperti mana Tobey Macguire dalam filem bermula tahun 2002 itu. Andrew Garfield lebih berakal dan digambarkan bijak dan lurus. Dia juga digambarkan lebih genius. 

Malangnya, ada sesetengah babak masih mengingatkan aku kepada Spiderman versi 2002. Cara pembuatan sesetengah babak masih lagi lemah terutama sekali adalah babak Peter Parker memanjat dinding tanpa mengenakan kostum. Perhatikan dengan teliti, anda akan perasan yang babak Spiderman memanjat itu hanyalah ilusi kamera si Peter Parker yang merangkak di dinding yang diukir di lantai studio. Perhatikan graviti yang menarik jaket Peter Parker! Kantoi. Aku tidak mengharapkan ini terjadi dalam versi 2012, malangnya jadi juga. 


Malah versi ini nampaknya lebih dihadkan dalam menfokuskan diri Peter Parker. Adegan mesra Peter Parker dan Gwen Stacy yang terlalu banyak nampaknya memang nampak menfokuskan kepada cerita cinta Parker dan Stacy. Pada aku, plot ini nampak melambat lambatkan dan menyebabkan kisah utama, cerita The Lizard nampaknya lambat untuk menonjol. 

Menunggu selama 50 minit lebih untuk aksi Spiderman muncul juga satu perkara yang kurang aku gemari. Malah, watak The Lizard muncul selepas sejam filem berlalu. Ini nampaknya tidak berapa baik untuk tontonan aku sekaligus aku rasakan nukilan Sam Raimi lebih menetapi citarasa aku dalam membina watak jahatnya. Namun begitu, The Amazing Spiderman masih lagi ada keistimewaannya tersendiri. 

Malah, kemunculan The Lizard yang agak lewat nampaknya juga membosankan pada sesetengah bahagian. Memang Sam Raimi berjaya membina watak jahat dengan lagi cepat berbanding Marc Webb. Amat mengecewakan The Lizard muncul dengan tergesa gesa untuk mencari Peter Parker dan menamatkan filem. Walaupun begitu, finale cerita agak baik dengan membela diri The Lizard yang sebenarnya baik. 


The Lizard itu baik? Haha.. Itulah sebenarnya perkara yang anda semua tidak sedar. Perhatikan apa persamaan Goblin, Dr. Octo dan juga Sandman. Mereka semua menjadi jahat disebabkan kejahatan dalaman. Mereka semua jadi jahat disebabkan hasutan suara halus. Mereka semua bukannya mahu jadi jahat tetapi terpaksa hidup untuk menjadi si jahat sebab ketidaksengajaan yang terjadi atas diri mereka. Kesemuanya menggambarkan sisi manusia yang terarah mengikut nafsu dan ketamakan.

Perkara yang paling aku tak gemari dalam filem ini adalah bagaimana gambaran kekuatan Peter Parker yang melebih lebih. Come on, Peter Parker bukanlah The Hulk yang sampai nak pulas pintu pun boleh tercabut. Perkara ini adalah sesuatu yang ‘muntah darah’ untuk aku apabila paparan kuasa super Peter Parker terlalu melebih lebih dan ‘gedik’. Tetapi, adegan Peter Parker tarik Gwen masa dia nak beritahu Gwen yang dia adalah Spiderman amatlah ‘cute’. 

Komedi kemunculan Stan Lee, si kepala otak yang mereka superhero ini nampaknya begitu mencuit hati. Adegan Lizard lawan Spiderman di library sekolah Peter Parker yang serius terus jadi kelakar apabila muncul Stan Lee yang melakonkan watak si tua yang sedang mendengar lagu menerusi headphonenya. Si tua ni kalau korang perasan akan muncul dalam berbagai versi cameo dalam filem filem Marvel. Ini satu daripadanya.


Aku mengharapkan apa yang Hollywood buat terhadap Anil Kapoor dalam Mission Impossible: Ghost Protocol tidak terjadi dalam filem ini. Irfan Khan nampaknya dilayan agak baik dalam filem ini. Tetapi malangnya aduhai, wataknya terus hilang sedangkan The Lizard pada awal kemunculannya mencari si India ‘bijak’ ni. Selepas adegan di atas jambatan tu, watak Rajit Ratha terus hilang. Sesuatu yang tidak seimbang pada aku untuk plotnya. Jika anda amati still photo di internet, ada sebenarnya scene Rajit Ratha jumpa The Lizard di pembetung. Malangnya, scene itu dipotong! 

Keseluruhannya, The Amazing Spiderman boleh dikatakan setup yang baik untuk versi 2012. Aku dapati plot pembunuh Uncle Ben yang ditinggalkan hingga akhir filem memungkinkan wujudnya The Amazing Spiderman punya sekuel. Dengan penceritaan yang lebih tenang, dan juga visual yang lebih memukau, The Amazing Spiderman, walaupun dengan plotnya yang beberapa point yang kurang digemari, masih lagi menyebabkan aku rasakan filem ini masih baik. 

4/5

No comments: