Akan Datang!

Wednesday, August 31, 2011

Video Pengisytiharan Kemerdekaan (Versi Warna)




Sebuah cebisan sejarah kita, untuk tatapan bersama dalam versi berwarna. SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE 54.

Saturday, August 20, 2011

Review: Cowboys & Aliens


Cowboys & Aliens ada satu taktik promosi yang begitu menyerlah. Apa lagi kalau dengan barisan krew krew produksi yang begitu mantap. Dengan barisan hadapannya diketuai Steven Spielberg sebagai producer (sudah pasti jika ada orang tua ini, genre science fiksyen sudah boleh diletakkan sebagai genre filem ini). Pengarahnya pula, adalah orang yang bertangungjawab membentuk Robert Downey Jr. menjadi si Iron Man, Jon Favreau. Dengan screenplaynya pula adalah garapan Alex Kurtzman dan Roberto Orci (yang mengembeleng tenaga untuk filem Transformers), filem ini aku sangkakan hebatnya seperti karangan arahan Michael Bay tersebut.

download soundtrack filem ini:

Kesempatan menonton Cowboys & Aliens bukanlah sesuatu yang begitu mendukacitakan. Tetapi, tidak dapat aku katakan bahawa proses selama hampir dua jam menonton tersebut memberikan satu kepuasan maksima terhadap filem ini. Aku menjangkakan sesuatu yang lebih hebat daripada apa yang disajikan, namun Cowboys & Aliens tidak sampai ke tahap itu. Dari sukatan kaki ke rambut, nak sampai pangkal lutut pun belum sampai lagik.

kesilapan dalam filem ini:

Beberapa perkara sebenarnya melemahkan penampilan cerita ini. Dari satu sudut, promosinya begitu hebat. Idea Platinum Studios ini yang mana menggabungkan dunia koboi dan alien memang satu perkara yang luar biasa. Mana mungkin alien pernah diceritakan wujud dalam zaman yang begitu gelap dengan senapang, pistol, outlawnye, sheriffnye. Sajian Steven Spielberg ini mungkin antara yang pertama memberikan gabungan itu, tetapi malangnya percubaan pertama ini tersepit antara idea yang begitu luas.


Gambaran filem ini nampaknya terlalu besar. Akibatnya, terlalu banyak yang masih belum diceritakan. Beberapa perkara nampak tergantung dan memberikan persoalan kepada penonton. Ada beberapa kemungkinan yang membuatkan karya ini tersepit. Tetapi sepanjang pemerhatian aku, pemfokusan kepada karakter Jake Lonergan itu yang terlalu banyak bermain di fasa pertama telah mengurangkan idea Alien itu sendiri. Pada aku, we want more alien attack, not Lonergan flashback! Penghidupan watak Lonergan (Daniel Craig) itu adalah brilliant. Malangnya, bagaimana Lonergan menghadapi konfliknya dalam cerita ini, itu yang kurang menyengat.

Idea Cowboys & Aliens boleh aku katakan berkecamuk. Penulis nampaknya cuba untuk memasukkan pelbagai perkara sehinggakan beberapa aspek logikal juga penghuraian karakter dan sebab musabab cerita tertinggal sebagai satu tanda tanya. Persoalan seperti apa sebenarnya spesis Ella, makhluk asing yang menyamar menggunakan badan manusia tidak dihuraikan dengan jelas. Cuma apa yang kita tahu, dia bukanlah manusia. Malah, sebab alien datang dan mengutip emas di bumi sendiri tidak dihurai dengan jelas. There must be a reason for anything. Satu lagi, melalui dialog beberapa karakter dalam filem ini, kita tahu bahawa alien ini lemah pada siang hari. So, jika begitulah, sudah pastinya alien ini berjaya ditumpaskan dalam final battle kerana ianya berlaku di siang hari. Malangnya, itu semua tidak berlaku.

Cowboys & Alien sebenarnya tidak berjaya memberikan impak yang cukup mendebarkan. Dengan fighting scene yang nampak biasa dan kurang kemas, Cowboys & Aliens sekadar hebat pada pandangan trailer sahaja. Harrison Ford lebih terarah kepada mewujudkan komedi. Emosi sesetengah babak tidak mampu dijana dengan baik. Adegan flashback Lonergan kadangkala menganggu fokus cerita.


Apa yang aku mampu katakan bahawa Cowboys & Aliens bukanlah filem yang hebat. Sekadar menyaksikan pertempuran dua dunia (juga digembar gemburkan sebagai filem yang menceritakan our first encounter kita dengan alien), filem ini tak mampu untuk menjanjikan apa apa yang boleh membuatkan aku terpukau. Gaya arahan John Favreau tidak sehebat Iron Man. Malah screenplay Alex Kurtzman dan Roberto Orci tidak sehebat Transformers. Spielberg pula, hanya membekalkan nama untuk menguatkan kehebatan filem ini. Tapi, sekadar nama, apalah sangat. Kualiti itu yang penting bukan?

Oh tidak, terlalu banyak mengutuk filem ini nampaknya. Hmm.. kejap kejap. Harry Gregson-William pun tak hebat mana. Alamak, kutuk lagik!

Dari sudut tersiratnya, Cowboys & Aliens bercakap tentang penyatuan. Tentang siapa kau siapa aku, dalam kacau bilau semua bersatu. Kisah bagaimana Lonergan juga penduduk pekan koboi yang bertelingkah dan punya masalah akhirnya bersatu untuk mendapatkan yang tersayang. Itu yang dapat aku baca. Mesej yang santai, untuk sebuah filem fiksyen sebegini.


Kesimpulannya, Cowboys & Aliens sebenarnya sebuah filem yang lahir dari idea yang cukup besar tetapi malangnya terkandas pada masa pembangunan plotnya. Lubang lubang yang tidak mampu ditampung menimbulkan persoalan yang cukup buat penonton pecah kepala. Mungkin yang menerima filem ini sebagai hiburan suka suka mengabaikan, namun sesetengahnya mungkin akan bertanya. Spielberg nampaknya silap pelaburan. John Favreau pula sudah menunjukkan kelemahan. Apapun, Cowboys & Aliens masih tetap menjadi filem hebat, itupun jika anda mengilai Daniel Craig si jantan Bond juga Harrison Ford si Indiana Jones... Pada aku, adaptasi novel grafik laris 2006 ini mengecewakan!

3/5

Sunday, August 14, 2011

Review: Rasuk

Ada satu aspek yang membuatkan aku rasa seram Rasuk ini berbisa. Akan aku ceritakan kemudian. Namun, secara kasarnya, penontonan Rasuk terlalu menimbulkan banyak persoalan. Skrip Ikhzal Azfarel Ideris nampak seperti terlalu amatur, sekaligus menumpaskan bisa bisa yang mampu dijana oleh filem ini, jikalau lakarannya menerima idea yang lebih professional. Rasuk yang diterajui Iqram Dinzly dengan Fouziah Ghous ini begitu amatur pada penulisan, tetapi masih boleh memberi kesan kesan seram pada sesetengah babak.


Apa yang aku lihat tentang filem ini, ianya adalah sebuah karya yang bukannya diarahkan oleh orang Melayu, tetapi India. Pengarahan S Baldev Singh sudah tentu ada impak Bollywood dengan permainan kamera yang lebih kepad close-up syot. Sudah dijangkakan aspek sebegini kerana permainan sebegini adalah normal bagi filem Bolly. Namun, itu bukanlah sesuatu yang kurang dan lemah. Aku menyukai permainan kamera yang menggunakan kren. Syot nampak ringan, bersahaja dan begitu terawang awang. Emosi yang rasanya berjaya dibina dengan pergerakan kamera sebegitu.

Malangnya, kelemahan filem ini terletak pada penulisan skripnya. Entah kenapa aku rasakan skrip Ikhzal Azfarel Ideris (pengarah Kecoh Betul) yang mana dikreditkan untuk dialog dialog filem ini begitu amatur dan tidak berjaya memberikan emosi kepada penonton. Serius, separuh masa awal Rasuk lebih disulami ayat ayat yang pendek, dialog yang bertingkah, juga uh ah serta permainan komedi yang kadangkala memualkan.


Perhatikan saja pada awal filem, bagaimana watak utama kita Arman dan Melati diwujudkan tanpa satu identity yang jelas. Tup tup kat tengah baru diketahui yang Melati itu penulis skrip yang sedang menulis skrip. Penjelasan tentang dunia kerjaya Arman terlalu sempit. Huraian nampaknya tidak mampu dilakar sebaik mungkin menjadikan filem ini terlalu sempit pada olahan dan cambahan karakteristik setiap karakter.

Tidak menidakkan kebolehan orang filem tetapi sebagai seorang pengkritik, aku merasakan Rasuk hebat pada separuh masa kedua. Namun, untuk menjadi sebuah filem yang boleh dinikmati seperti The Exorcist, biarlah kesemua elemen penting dalam filem ini, semestinya skrip adalah satu daripadanya dilakar dengan baik dan penuh teliti. Walaupun penulis skrip ini sudah hampir 12 tahun berkecimpung dalam penulisan filem (berdasarkan pembacaan di blognya), aku rasakan filem ini antara his worst skrip ever (Kecoh Betul masih ok ma…). Maaf kalau terkasar, ini pandangan saja.


Kematian ibu Melati pada aku sesuatu yang tidak relevan. Sia sia kau buka satu karakter untuk Arman dan Melati, kemudian kau bunuh kononnya mahu membina emosi sedih di tengah tengah cerita. Malangnya, objektif itu tidak kesampaian. Entah kenapa kematian ibu Melati dan Arman nampak seperti satu perkara yang sia sia (teringat babak pengenalan ibu Melati yang nampak entah ape ape). Mati katak je ibu Melati tu.

Pak Mail tidak berjaya menimbulkan misteri. Iqram Dinzly tidak mampu untuk memberikan persembahan yang baik. Dirinya sebagai Arman nampak terlalu jambu dan tolonglah, kejambuan mu tidak mampu untuk mewujudkan chemistry dengan Fouziah Ghous.

Fouziah Ghous? Persembahannya pada awal filem nampak lemah. Bukan salah pelakon tetapi sebab skripnya. Sekali lagi, wahai Ikhzal Azfarel Ideris, u need to improve on your imagination in creating dialogue. Dialog setiap karakter terutamanya si Arman nampak terlalu amatur dan tidak berjaya. Penonton terkial kial dengan dunia mereka. Realiti filem ini tidak wujud. Namun, apa yang aku banggakan adalah satu perkara… keseramannya.

Dalam temanya, aku percaya Rasuk logik pada cantuman ceritanya. Walaupun hantu Jepun itu sebenarnya tidak ada kaitan dengan dunia Arman dan Melati, ianya masih boleh diterima. Logiknya, filem ini cuba untuk berkata bahawa rasukan boleh terjadi di mana mana, dan tidak mengenal mangsa.


Penggunaan CGI pada skala sederhana berjaya untuk meningkatkan impak seram filem ini. Serius babak Melati dirogol hantu jepun itu antara yang begitu berjaya menimbulkan perasaan ‘wow’ semasa menonton. Babak akhir, walaupun ustaznya (penulis skrip yang buat ‘cameo’) nampak kosong dan tidak ada jiwa, efek Fouziah Ghous telah berjaya mewujudkan suasana seram yang cukup hebat sepanjang separuh masa kedua sebelum filem ini berakhir.

Di akhirnya, aku ingin katakan bahawa Rasuk bukanlah sesuatu filem yang ada jiwa. Ianya kosong. Korang tontonlah macam korang tengok ikan dalam air. Nak pegang tak dapat, nak jiwai sifat ikan itu lagilah jauh. Rasuk ada seram yang high-level. Aku yakin ini adalah satu daripada aspek yang begitu memberikan kekuatan kepada filem ini. Malangnya, sekali lagi nama kau aku sebut Ikhzal Azfarel Ideris, skrip kau terlalu lemah. Dengan dialog skema dan biasa, filem ini tak mampu menjana emosi tetapi permainan seramnya, jangan dipandang rendah. Oh ya, penamat yang tergantung tu entah ape ape. Nak wujudkan sekuel? Tak payahla kot.

Saturday, August 13, 2011

Review: Senario Ops Pocot


Aku masih hairan juga pada masa yang sama mencari cari apa sebenarnya resipi SENARIO yang sentiasa membuatkan diri mereka masih berjaya dalam filem. Kehebatan siri SENARIO yang bermula di tv dan diketengahkan ke dalam filem pada mulanya oleh Aziz M. Osman ada sasarannya; memperbesarkan francais SENARIO sekaligus memberikan filem berkualiti lakonan mereka yang dahulunya berlima. Perpecahan berlaku sana sini, kini SENARIO tinggal tiga. Dilepaskan ke tangan Ahmad Idham dengan siri Episodenya, kemudian beralih ke Hatta Azad Khan dengan Asam Garamnya, kini di tangan Ismail Bob Hashim pula… dengan Ops Pocotnya.

Jujurnya aku katakan, ini adalah salah satu filem tangkap muat yang masih tak penat penat dibikin David Teo. Bukan aku tidak menyokong filem Metrowealth, namun di satu sudut lain, kompani ini nampaknya lebih mementingkan keuntungan berbanding kualiti. David Teo hanya tahu main lepas saja idea idea tanpa menapis kualiti yang layak digelar filem.


Ops Pocot, layak digelar filem kah? Pada aku, tahap drama tv pun x lepas. Dengan idea yang menjauh pada awalnya, cerita yang akhirnya bergerak dengan kisah perjuangan 3 orang yang tidak dikenali berada di pusat latihan RELA. Tujuannya, untuk mengubah diri masing masing. Dari sini, temanya simple, filem ini bercakap tentang perubahan diri untuk menghadapi pelbagai situasi.

Daripada apa yang aku perhatikan, gaya Ismail Bob Hashim nampaknya lebih terarah kepada gaya Ahmad Idham yang memegang filem ini suatu ketika dahulu. Amin dan syukur filem ini tidak ada adegan yang terlalu exaggerate dari aspek penghidupan babak untuk membentuk jenaka. Masih teringat babak motor Fimie Don dalam Sekali Lagi yang terbelah dua dalam Senario Asam Garam. Babak tersebut bukan menggelikan hati, tetapi memang memualkan dan meloyakan.

Gandingan Lan Pet Pet, Azlee dan Wahid masih menjadi tunjang kepada filem ini. Dengan usaha keras mereka mengekalkan jenama ini, apa yang aku boleh puji adalah bagaimana ketabahan kumpulan ini untuk terus dikenali di Malaysia, walaupun filemnya sudah tidak mampu mencapai tahap yang pernah diberikan Aziz M. Osman suatu ketika dahulu.

Ops Pocot secara ringkasnya berkisar tentang 3 orang lelaki yang sering ditimba bala juga musibah dalam hidup mereka. Mereka ditemukan di pusat latihan RELA yang akhirnya mengubah mereka untuk menghadapi dunia yang sebenar.

adegan yang pada aku kelakar lah jugak..

Filem ini bukanlah teruk. Cuma ianya masih mengekalkan lawak yang biasa dan masih tidak mampu untuk mengeletek ketiak aku. Tolonglah! Make me laugh, please… Cuma apa yang aku suka adalah satu babak ni, babak Lan, Wahid dan Azlee nyanyi lagu Mr. Os, itu memang kelakar.. tetapi aku hanya mampu tersenyum. Belum ke tahap ketawa. Tetapi masih mantap dan aku suka babak itu.

Keseluruhannya, filem ini normal saja. Taklah terlalu gedik, masih boleh membawakan mesej dengan baik. Sesuai untuk tayangan kanak kanak, juga dewasa yang mahu bersantai santai. Bagi aku, SENARIO masih ada bisa, cuma lakarannya perlu ditangan yang mampu menularkan bisa tersebut ke serata Malaysia.

2/5

Friday, August 12, 2011

Review: Flat 3A

Flat 3A menarik pada tajuknya. Kisah yang cuba membina satu konflik daripada objek, yang mana kali ini sepertimana yang tertera, berkisar tentang sebuah flat. Jujurnya, Flat 3 A tidak menjanjikan sesuatu yang diluar kemungkinan. Karya Azahari Zain kali ini terlalu lurus, gedik dan entah apa apa. Maaf kerana ayat aku yang terlalu melampau, tetapi sedang aku menulis review ini yang agak terlambat, itulah 3 perkataan yang mampu untuk mengambarkan suasana penontonan filem ini.

Kisah silam atau sesuatu...

Namun, dalam tenggelamnya filem ini dalam gaya penulisan yang terlalu bersimpang siul, filem ini masih ada juga beberapa perkara yang boleh dibanggakan. Antaranya:

Satu, Kangsuman antara karakter yang begitu baik lakonannya (walaupun ada kala gaya bahasanya entah lain macam, impaknya masih ada)

Kedua… entahlah!

Flat 3A mengisahkan Fiqah yang berpindah ke Flat 3A kerana ingin lari daripada kisah lampau. Malangnya, kedatangannya ke rumah barunya mengundang pelbagai misteri. Mungkinkah Fiqah dihantui kisah lampaunya?

Dengan visual yang terlalu melampau, Flat 3A tidak mampu memberikan suasana kengerian reality. Mana mungkin sebuah rumah yang dihuni seseorang begitu gelap lakarannya. Iya mungkin ianya untuk menghasilkan mud seram. Tetapi, seram harus terhasil dari binaan yang real dan boleh ditangkap oleh penonton. Malangnya, Flat 3A tidak sebegitu. Suasana rumah Fiqah terlalu overdose dan mematikan suasana real yang ingin diwujudkan. Mana mungkin seseorang mahu menyewa rumah yang kotor sebegitu, sedangkan Fiqah punya akal untuk keluar dan membantah pemilihan rumah tersebut walaupun rakannya punya agenda tersembunyi.

Abaikan satu dua perkara yang berselirat. Dalam serabut serabut filem ini, mesejnya pada aku berjaya disampaikan. Supernaturalnya antara yang cliché namun mampu membina satu tema yang baru. Selari dengan isu isu terkini, Flat 3A ditangani dengan isu buang anak, juga dengan tambahan dendam hasat dengki serta reality hubungan luar nikah.

Zaidi Omar sebagai Kangsuman, yang tidak mengecewakan...

Apa yang dapat aku perhatikan, lakonan lelaki lelaki dalam filem ini semuanya kayu. Zaidi Omar terkecuali. No komen. Entah ape ape. Ery Zukhairi sebagai Wahyu nampak belum cukup isi, gaya dan penampilan. Adey Syafrien pula lagilah teruk. Entah kenapa aku tak dapat mencubit sedikit pun emosi watak Anas yang jahat itu.

movie mistakes dalam filem ini:

Kesimpulannya, Flat 3A flat. Emosi seramnya kelaut. Mampu meruntun emosi pada skala skala tertentu jikalau dihayati dengan jiwa yang kuat dan sabar. Flat 3A ada isu, malangnya lakonan lelaki lelaki kayu juga dengan suntingan audio yang memang low class membuatkan Flat 3A hanyalah filem yang menunggu masa untuk duduk di barisan filem filem yang sederhana pada kutipannya.

2/5

p/s: agak lambat… entah ada ke tidak orang membaca ni.. ehe

Monday, August 8, 2011

Sneak Peak: Al-Hijab


Lepas Seru, Pierre Andre akan hadir dengan filem baru Oktober 2011 ini. Masih mengekalkan genre seram, pengarah muda ini bakal membawakan satu lagi filem seram gaya 'Jangan Tegur', kali ini mengisahkan tentang Hijab. Apa itu hijab, tonton trailer di bawah..

Sinopsis:

Rafael merupakan seorang pelakon yang tidak mempercayai kewujudan hantu. Suatu hari dia ditawarkan watak utama untuk membintangi sebuah filem seram. Dia yang terkejut dengan tawaran tersebut sangat teruja dan berusaha untuk menjiwai peranannya sebaik mungkin. Malangnya Rafael tidak berjaya memperolehi perasaan takut yang dapat memuaskan hatinya. Puas dia berkunjung ke tempat-tempat yang dikatakan berhantu tetapi tidak pernah melihat kelibat makhluk itu. Teman wanita Rafael, Qiss yang pelik dengan Rafael itu mengadu perkara tersebut kepada ibunya. Ibu Qiss kemudiannya memberitahu Rafael mengenai apa itu hijab. Rafael berpeluang untuk melihat makhlus halus jika hijabnya dibuka.

Namun, hanya orang tertentu saja mampu membuka hijab tersebut. Rafael yang semakin buntu mencari seseorang yang boleh membuka hijabnya akhirnya menerima mesej aneh yang mengarahkan dia untuk pergi ke suatu tempat. Hanya di tempat tersebut hijabnya akan dapat dibuka. Sejurus sampai di tempat yang dikatakan, Rafael disambut oleh seorang makcik tua bersama anak perempuannya. Rafael hairan bagaimana makcik tua itu mengetahui hajatnya untuk membuka hijabnya. Rafael dibawa ke suatu tempat di ceruk hutan. Di situ makcik tua tersebut mula membuka hijab Rafael. Dari pandangan yang kabur, perlahan demi perlahan akhirnya Rafael dapat melihat sesuatu yang menggerunkan.


Dia berasa cukup gembira berbaur takut. Rafael meminta masa sehari untuk dia menggunakan ‘kelebihan’ yang ada pada dirinya itu untuk tujuan menjiwai watak lakonannya. Pulang kembali ke rumahnya, Rafael tidak menyedari ada ‘sesuatu’ turut menumpangnya pulang. Mula berasa tidak selesa, Rafael cuba untuk tidur namun gagal. Ada saja benda yang seperti mengganggunya. Setelah hampir 24 jam hijabnya dibuka, Rafael kembali ke rumah makcik tua tersebut untuk menutup kembali hijabnya. Berjayakah hijab Rafael ditutup semula atau dia terpaksa meneruskan hidupnya dengan ‘anugerah’ itu?

Dilakonkan oleh Pierre Andre sendiri sebagai Rafael, filem ini juga dibantu Fathia (Qiss), Maimon Mutalib (Mak Itam) dengan pelakon undangan khas Aziz M. Osman serta ramai lagi. Sejauh mana Al-Hijab mampu memberikan seram kepada penontonnya, nantikan 6 Oktober 2011.

Wednesday, August 3, 2011

Review: Tolong! Awek Aku Pontianak

Sini Ada Hantu sudah mula menunjukkan bahawa pengarah muda ini sudah mahu beralih angin kepada genre komedi horror. Tolong! Awek Aku Pontianak adalah yang ketiga daripadanya, genre komedi masih lagi dikekalkan, tetapi dengan horror cara baru yang temanya luar biasa, cinta manusia dan pontianak. Mampukah tembok dua dunia ini dicantum dalam sebuah filem bergenre komedi romantik sebegini, pandangan aku ideanya menjadi dan walaupun tidaklah terlalu hebat, ianya masih menjadi sebagai sebuah filem cinta sebegini.

cinta Bob dan Maya, ianya tidak mungkin satu realiti.. ianya metafora..

Garapan James Lee dalam membina komedi nampaknya masih terlalu berhati hati. Resultnya, omedinya tidaklah terlalu melebih lebih. Itu yang aku suka. Tidak seperti filem Rasak dan Hatta juga Idham yang lebih kepad pengucapan dialog yang lantang, dan menjadikan karakternya bodoh untuk membentuk jenaka. Aku lebih menganggap Tolong! Awek Aku Pontianak adalah sebuah filem yang berdiri dengan nafas komedi yang lebih mengunakan reality dan ala ala filem spoof. Dengan beberapa filem Mamat Khalid menjadi latar belakang filem ini (Kala Malam Bulan Mengambang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah), filem ini bijak mencantum gaya komedinya walaupun dua filem tersebut bukan dari James Lee.

Dukun ponti jambu.... ? haha

Tolong! Awek Aku Pontianak mengisahkan Bob lelaki yang lurus bendul ditinggalkan Ana. Bob akhirnya berpindah rumah bersama BFFnya, Pian ke sebuah pangsapuri ‘puaka’ (merujuk kepada dialog Don lakonan Afdlin Shauki) dan bertemu dengan jirannya, dua orang gadis yang jelita. Cinta mula berputik tanpa menyedari bahawa gadis2 tersebut adalah pontianak.

movie mistakes filem ini:
http://goofspotonfilm.blogspot.com/

Pada pandangan aku, filem ini adalah persembahan yang cukup mantap dengan jalan ceritanya yang cukup menarik. Tidak hanya memfokuskan kepada penceritaan dunia Bob dan Maya, filem ini juga mengadunkan imaginasi konflik dunia pontianak sendiri dengan kewujudan watak Nadia lakonan Nurul. Keseluruhannya, binaan plot filem ini tidak terlalu laju dan masih dapat ditonton dengan tenang. Aku suka filem sebegini.

Sekadar di pinggiran...

Apa yang aku suka pasal filem ini adalah imaginasi James Lee itu sendiri. Bagaimana sebuah filem Melayu yang mampu memecah tembok realiti apabila percintaan pelik sebegini dilakar dalam filem Melayu Malaysia. Adunan elemen barat yang mengingatkan aku kepada Twilight ini nampak masuk dengan setting ke’Malaysia’an.

Dalam temanya, Tolong! Awek Aku Pontianak cuba membawa penonton untuk berfikir tentang sesuatu yang mungkin berlaku di luar kemungkinan/jangkaan. Malah, Tolong! Awek Aku Pontianak sebenarnya adalah satu metafora kepada reality. Seperti kata Pian pada awal filem,’mimpi tu metafora je’. Metafora itu, terserah pada penonton untuk mentafsirkannya.

kostum Navi ini antara yang menarik mata aku untuk tumpang ketawa..

Namun, aku kurang menyukai permainan kostum terutamanya make-up apabila Maya dan adiknya menjadi pontianak. Nampak terlalu simple dan tidak kemas. Memfokus pada make-up Maya, the only syot yang menunjukkan kejelitaan Maya sebagai pontianak hanyalah pada babak last (sebelum Bob cium dahi dan hapuskan sumpahan). Kostum Nadia terlalu teruk. Serius nampak ngeri tetapi pada masa yang sama cukup menggelikan hati. Ohhh jap jap, menyukai kostum puak Navi yang dipakai semasa kostum party. Kelakar dowh!

Apapun, Tolong! Awek Aku Pontianak adalah sebuah kisah yang memang luar biasa. Antara filem Malaysia yang berani melakukan sentuhan luar yang diadun dengan skema filem Malaysia. Bukanlah sebuah filem wajib tonton bagi yang mencari keseraman. Bagi yang mahu bergelak ketawa, juga mahu tersenyum kerana keromantikan filem ini, Tolong! Awek Aku Pontianak direkomen kepada korang. Sebuah spirit cinta yang dalam siratannya menyatakan bahawa cinta itu sebenarnya adalah bagaimana penerimaan kita terhadap baik buruk sesuatu/seseorang yang kita cintai.