Thursday, December 29, 2011

10 Filem Paling Diingati Tahun 2011

2011 bakal berakhir. OPM dari tulisan asal Wahiduzzaman di MstarOnline bertarikh 29 Disember 2011 memberikan 10 filem paling diingati pada tahun ini kala kontroversinya, kutipannya juga kisahnya. 

Arahan: Osman Ali 
Tayangan: 1 Disember 2011 
Kutipan: RM11.05 juta dan masih ditayangkan ...

Filem cinta dan air mata ini mencipta fenomena tersendiri apabila berjaya mencatat jumlah kutipan luar biasa dan sekaligus mengungguli carta kutipan tertinggi filem Melayu setakat ini. Menariknya, filem yang diadaptasi daripada novel dengan judul yang sama karya Fauziah Ashari ini turut mengundang kontroversi apabila penulis tersebut mendakwa tidak mendapat royalti yang setimpal. Kejayaan filem ini di pawagam membuktikan bahawa selera penonton kita tidak hanya terbatas pada filem seram seperti yang sering didakwa oleh segelintir penerbit sebelum ini. 

Arahan: Khir Rahman 
Tayangan: 24 Mac 2011 
Kutipan: RM570,000 

Asal namanya Raja Azmi, memang tidak sah jika tiada kontroversi dikaitkan dengan penerbit dan penulis popular ini. Walaupun ... Dalam Botol tidak menyerlah di pawagam, setidak-tidaknya filem ini berjaya memberikan impak ketika ia ditayangkan pada Mac lalu. Filem ini dilihat membuka dimensi baru pada penghasilan filem tempatan apabila Raja Azmi dengan beraninya mengetengahkan tema lelaki transeksual yang julung kali buat filem Melayu sehingga mengundang pelbagai reaksi. Antara isu panas yang timbul termasuklah jumlah kutipan sebenar filem ini yang ditimbulkan oleh Raja Azmi apabila pelakon utamanya Arja Lee yang berbogel berdepan tindakan tatatertib kerana masih menuntut di Universiti Sains Malaysia. Filem itu turut mendapat respons meluas daripada media di seluruh dunia termasuk New York Times Online, penyertaan di pelbagai anugerah termasuk festival filem gay iaitu Festival Filem Q di Jakarta, Indonesia dan peminggiran filem itu di FFM24 kerana temanya walaupun ia memaparkan lakonan dan mesej yang baik. 

Arahan: Yusry Abdul Halim 
Tayangan: 10 Mac 2011 
Kutipan: RM6.5 juta 

Filem ini meninggalkan impak tersendiri pada kalendar perfileman 2011. Ia boleh dianggap sebagai karya epik yang membanggakan kerana bukan sahaja pembikinannya digarap seakan sebuah filem epik antarabangsa, malah turut dinobatkan sebagai filem terbaik di FFM24. Dengan terhasilnya HMM, penerbitnya KRU Studios telah membuktikan bahawa dengan kesungguhan dan kreativiti yang tinggi, keterbatasan modal dan teknologi mampu diatasi untuk menghasilkan sebuah filem yang berkualiti. Ia juga membawa anjakan pada perfileman Melayu apabila mendapat pengedaran terbanyak di luar negara dan beberapa festival penting. Walaupun kutipannya mencecah RM6.5 juta tetapi ia masih tidak cukup untuk mengatasi kos penerbitan yang mencecah RM8 juta itu. 

Arahan: Farid Kamil 
Tayangan: 12 Mei 2011 
Kutipan: RM8.09 juta 

Filem terbitan Metrowealth (MIG) ini memberikan kesan tersendiri pada dunia filem kita. Pertama,sebelum tayangan umumnya, ia sudah dicanang-canang sebagai sebuah filem aksi komedi yang luar biasa namun ramai yang kecewa selepas menonton kerana ia disifatkan tidak segah mana. Bahkan, penerbitnya David Teo juga meletakkan sasaran kutipan yang tinggi iaitu RM12 juta tetapi ia gagal dicapai ekoran persaingan sengit filem-filem tempatan dan antarabangsa yang silih berganti. Malah, filem ini juga dikecam oleh Pekida kerana seakan mempersendakan perkara sulit berkenaan pertubuhan berkenaan. Pun begitu, Kongsi boleh berbangga kerana aktor utamanya Shaheizy Sam diangkat sebagai pelakon lelaki terbaik di FFM24 menerusi watak Tumulak itu. 

Arahan: Ahmad Idham 
Tayangan: 31 Ogos 2011 
Kutipan: RM8.53 juta 

Filem yang ditayangkan pada musim perayaan Aidilfitri lalu ini turut tidak terkecuali daripada tempias kontroversi. Ia menjadi semakin panas apabila dialog dalam salah sebuah babak yang melibatkan pelakon utamanya Zizan Razak telah dikecam oleh banyak pihak kerana dilihat seakan mempersendakan Nabi Muhammad. Kronologi kes tersebut bermula apabila dialog yang dilontarkan oleh Zizan seolah-olah menyamakan Rasulullah dengan syaitan sehingga mengundang campur tangan pihak berkuasa, jabatan agama dan paling panas apabila ia melibatkan parti politik PAS. Kontroversi filem itu bagaimanapun berjaya diselesaikan dengan cara yang baik akhirnya. 

Arahan: Syamsul Yusof 
Tayangan: 9 Jun 2011 
Kutipan: RM11.74 juta 

Filem kelima arahan pengarah muda Syamsul Yusof ini mencipta dua impak pada industri. Pertama, apabila rekod kutipannya sebanyak RM11.74 juta telah melonjakkan KL Gangstermenjadi filem Melayu yang mendapat kutipan tertinggi setakat ini. Pencapaian itu bukan sahaja mencipta fenomena dan penanda aras baru pada kutipan filem Melayu, malah kejayaan filem Syamsul itu turut mengatasi fenomena sama yang pernah dilakukan oleh bapanya juga penerbit filem Datuk Yusof Haslam menerusi Sembilu 2 dengan kutipan RM6.1j (1995). Kejayaan membanggakan itu bukan sahaja baik untuk pemangkin kerancakan filem termpatan, malah ia membuktikan keutuhan legasi anak beranak ini dalam menghasilkan filem-filem yang digemari oleh masyarakat. Namun, filem yang dibintangi oleh Syamsul, Aaron Aziz dan Adi Putra ini turut terkena tempias ‘panas’ apabila berdepan kecaman daripada Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) yang mendakwa filem itu mempersenda dan mendedahkan beberapa perkara sulit berkenaan pertubuhan berkenaan. Kontroversi itu akhirnya memaksa Yusof Haslam mengadakan pertemuan dengan pertubuhan itu bagi menyelesaikan perselisihan faham yang timbul. 

Arahan: Kabir Bhatia 
Tayangan: 19 Mei 2011 
Kutipan: RM4.93 juta 

Kemunculan NKTM sememangnya memberikan impak kepada para peminat filem Melayu. Selepas kejayaan rating luar biasa yang dicatatkan oleh drama bersirinya di TV3 sebelum ini, tayangan filem yang dibintangi Remy Ishak, Fizz Fairuz dan Tiz Zaqyah ini cukup dinantikan oleh peminat siri itu. Sayangnya, penantian itu tidak diterjemahkan dengan jayanya seperti ramalan banyak pihak apabila NKTM sekadar mengutip RM4.93 juta walaupun ia hangat diperkatakan sebelum itu. Mungkin kerana plot filemnya yang terhad dan rumit atau persaingan dengan filem-filem tempatan lain ketika ia ditayangkan telah membantutkan peluang filem ini meraih kutipan yang lebih besar. 

Arahan: Prof Madya A Razak Mohaideen 
Tayangan: 17 Mac 2011 
Kutipan: RM200,000 

Sambutan dingin daripada penonton terhadap filem yang berkisar tentang misteri pertandingan ratu cantik ini seakan membuktikan bahawa filem-filem arahan A Razak Mohaideen boleh ditolak oleh penonton jika tidak kena dengan formulanya. Filem ini tidak terkecuali daripada tempias kontroversi salah seorang pelakonnya Nur Eina Azman didakwa telah mengeluarkan kenyataan dan membuat fitnah terhadap penerbit filem Abdul Latiff Mohaideen kononnya mempunyai hubungan istimewa dengan seorang pelakon iaitu Bkay Nair. Susulan itu, pihak produksi Line Clear Motion Pictures telah menghantar notis peguam yang menuntut agar Eina membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataannya itu dan dia digugurkan daripada senarai pelakon. 

Arahan: C.L. Hor dan Jumaatun Azmi 
Tayangan: 27 Januari 2011 
Kutipan: RM800,000 

Filem aksi ini menyaksikan percubaan sulung aktres Nanu Baharudin sebagai penerbit bersama. Walaupun diterbitkan dengan kos produksi yang tinggi iaitu RM2.5j kerana aplikasi imej janaan berkomputer (CGI), ia gagal membawa pulangan apabila sekadar mengutip tidak sampai RM1 juta. Barisan pelakon yang mantap iaitu Adi Putra dan Zulhuzaimy selain trailer filem yang memikat tidak mampu yang akhirnya kecundang di pawagam. Malah, kontroversi yang melanda iaitu apabila Nanu didakwa melakonkan babak cium dan tampil seksi yang keterlaluan dalam filem itu juga gagal melonjakkan keterujaan penonton untuk memberikan peluang kepada filem ini. 

Arahan: Namewee 
Tayangan: 8 September 2011 
Kutipan: RM7 juta 

Dengan kos penerbitan kurang daripada RM1 juta, produksi filem ini boleh berbangga apabila Nasi Lemak 2.0 berjaya memikat penonton segenap kaum untuk bertandang ke pawagam. Walaupun ia terlebih dahulu disensasikan oleh isu hangat yang melibatkan pengarah dan pelakonnya Namewee yang mempersendakan lagu kebangsaan, Negaraku, isu tersebut dilihat membantu dalam menarik perhatian masyarakat untuk menonton filem ini. Tanpa publisiti yang meluas, filem yang membariskan Adibah Noor dan Datuk David Arumugam ini turut berdepan kecaman umum yang meminta ia diharamkan. Namun, kontroversi itu sedikit pun tidak menjejaskan filem ini apabila meraih kutipan RM7 juta.

2012 akan memberikan lebih variasi dalam dunia filem tempatan. Pelbagai filem masih menanti tayangan, dan  kita tunggu dan lihat.

1 comment:

Blogger Sabahan said...

Dalam botol dengan ratu tak tengok lagi.