Monday, October 4, 2010

Muzikal Tun Mahathir: Biografi Dalam Warna Berbeza


Peluang menyaksikan Teater Muzikal Tun Mahathir berakhir dengan satu konklusi; sesungguhnya dunia teater ini sungguh luas. Seakan mimpi menjadi nyata, menyaksikan susuk susuk popular di atas pentas Panggung Sari yang famous itu adalah satu perkara yang mungkin akan disimpan untuk memori semester 5 ini. Sekali lagi, teater ini memang menakjubkan buat seorang student yang pertama kali menjejak kaki ke Panggung Sari ini. Excitement dalam panggung bertaraf dunia itu masih ada dalam ingatan saat punat keyboard Presario ini ditekan untuk membentuk inci-inci kata. Rungkaian kata seterusnya ini adalah apa yang tercetus dari hati aku sebagai seorang penonton yang menonton karya muzikal berkisar tentang bapa permodenan Malaysia ini.

Pertama kali melihat wajah Tun Mahathir terpampang di poster biru promosi, mungkin Muzikal Tun Mahathir akan menjadi muzikal teater yang biasa. Tiada bisa yang boleh melenyapkan keselesaan untuk tidur dalam Panggung Sari yang menawan itu. Namun, rupanya muzikal ini lebih dari itu. Ianya seakan satu bisa yang membuatkan semua orang berada dalam pelbagai posisi emosi. Muzikal penuh muzikal dan juga reality ini digarap baik dengan susunan muzik dan juga rekaan babak yang kreatif dan penuh artistik. Dalam ungkapan mudahnya, Tun Mahathir ibarat dihidupkan kembali dalam satu watak yang boleh membuatkan dirinya diagung-agungkan.


Muzikal Tun Mahathir ini mengisahkan perjalanan hidup perdana menteri ke 4 Malaysia yang dipersembahkan dalam gaya santai dan penuh muzik. Kisah ini dipapar dalam tiga zaman berbeza iaitu dari kanak-kanak, remaja dan juga dewasa. Muzikal ini juga membawa penonton mengenali bibit cinta Mahathir dan juga isterinya di Singapura. Lebih berkonsepkan biografi, teater ini berakhir dengan dramatik beberapa ketika selepas adegan perletakan jawatannya dipersembahkan.

Secara dasarnya, plot Muzikal Tun Mahathir ini nampak lurus. Tiada permainan flashback digunakan dalam membentuk susunan babak. Bermulanya layar besar diangkat, kisah bermula dengan latar belakang zaman awal kanak-kanak Che Det. Dalam zaman kanak-kanak ini, peluang diberikan kepada Mohd Shafeiq Shazwan Zamrus, aktor muda dari rancangan reality Idola Kecil. Sememangnya tiada yang dapat dikomen tentang lakonan si cilik ini. Menarik dan menghiburkan. Namun, malang pada hari itu tidak dapat menyaksikan Jalaluddin Hassan sebagai bapa Mahathir apabila diganti dengan pelakon lain. Namun, bisa watak Mohamad Iskandar, masih mampu dipikul Shahrul Mizaad Ashaari dengan baik.

Berganjak ke tengah plot, penonton diperkenalkan kepada aktor Zizan Nin, sebagai Mahathir remaja,di sini juga munculnya karakter Dr. Siti Hasmah, lakonan Erra Fazira. Jujurnya aku ingin nyatakan bahawa memang pujian harus diberikan buat Erra Fazira. Mimik muka, posturnya memang berjaya. Karakter Dr. Siti Hasmah nampak hidup di tangan Erra Fazira. Zizan Nin pada aku, memberikan peluang untuk penonton bersantai. Dengan karakter pemalu yang ditonjolkan, Zizan Nin membawakan satu dunia yang tidak pernah diketahui tentang Tun Mahathir. Lagaknya bersahaja, namun Zizan Nin nampak seperti hanya mampu menjadi dirinya dari menjadi diri Tun Mahathir.

Bahagian ketiga, akhirnya Zizan Nin bertukar tempat dengan pelakon lain. Tepukan gemuruh buat Isma Daniel. Ini satu-satunya penyeri muzikal ini yang mempu membawa minda penonton melihat dirinya sebagai Dr. Mahathir. Tepukan gemuruh buat Isma Daniel. Dia, mungkin dengan usahanya berjaya meniru gaya lagak Tun Mahathir. Loghat utaranya juga menjadi. Pentas itu miliknya buat muzikal ini. Emosi yang diberikan pada babak-babak akhir pementasan berjaya mencuit hati penonton dengan sebak.

Set menarik. Mengakui bahawa babak kapal di pelabuhan itu adalah yang menarik. Ternyata, peluang untuk menyaksikan pentas bergerak Panggung Sari tercapai. Saat menyaksikan pentas di hadapan diturunkan untuk satu kejutan apabila tiba-tiba Erra Fazira dan Esma Daniel muncul dihadapan mata, ianya adalah perkara yang tidak disangkakan. Masih tidak waras lagi akal ini apabila memikirkan tentang kelibat Erra Fazira dalam karakter Siti Hasmah juga Esma Daniel dalam karakter Dr. Mahathir itu berapa beberapa inci sahaja dari seat aku. Babak perletakan jawatan Dr. Mahathir, digarap menarik, berjaya wujudkan emosi.

Muzik Pak Ngah sesuai. Dalam lagu-lagu yang dipersembahkan, aku memilih untuk mendengar trek Insan Penakluk saat membawa CD soundtrack pulang selepas membelinya dengan harga RM20. Owh ya, aku juga bawa pulang skrip teater Suzanna 60an yang disertakan sekali cd lakonannya. Diharap skrip itu mampu untuk melatih diri aku mengenal intonasi dengan lebih baik. Berbalik kepada CD soundtrack yang muziknya digubah Pak Ngah, trek Insan Penakluk cukup gah sebagai penutup tirai persembahan.

Pencahayaan teliti dan penuh warna warni. Semuanya digabungkan menjadi sebuah pementasan yang memberikan satu impak buat penonton. Koreografi pentas nampak penuh warna warni. Namun, aku sendiri kadangkala tidak tahu hendak mahu focus ke arah mana kerana pelbagai karakter yang bermain-main di atas pentas. Keseluruhannya, semua gerak tari menarik dan kreatif.

barisan pelakon utama muzikal

Bila akhirnya papan ini sudah mula suam-suam, akhirnya cukup rasanya gorengan pekasam masak lemak ini dari aku. Secara keseluruhannya, teater ini menarik dan wajar ditonton semua masyarakat. Adaptasinya penuh pengkajian. Menonton teater ini dirasakan seperti menyelongkar kembali buku Sejarah Malaysia yang pernah ditatap tahunan lalu. Apa yang mahu disampaikan dari teater ini diharap tidak akan ‘selesai’ kerana proses untuk mendidik rakyat tentang jiwa bapa permodenan ini dalam cara sebegini adalah cara yang terbaik untuk memberitahu pelapis masa hadapan tentang Tun Mahathir.

nak dijadikan cerita, jumpa pula orang sekampung..:-)

Muzikal ini dipersembahkan sehingga 9 Oktober 2010...

3 comments:

Ieda Al-Habsyi said...

bestnya kalau ieda dpt tgk..

Anggerek said...

awesome entry about the theater. but ade typing error dlm this paragraph

"Masih tidak waras lagi akal ini apabila memikirkan tentang kelibat Erra Fazira dalam karakter Siti Rosmah juga Esma Daniel dalam karakter Dr. Mahathir itu berapa beberapa inci sahaja dari seat aku"

it should be Siti Hasmah not Siti Rosmah"

Thank you

OrAng_PeRLiS_mEnULiS said...

Anggerek: terima kasih atas pembetulan...