Friday, August 6, 2010

Repo Men: Idea Bijak, Plot Sederhana

Berkesempatan ke masa harapan yang mungkin logiknya tidak akan ada pun. Namun, di sebalik future yang penuh imaginasi hitam, filem ini menarik untuk ditonton. Repo Men, sebuah filem yang akan menjenguk pawagam tidak lama lagi. Ini review untuk anda, yang mungkin berminat untuk filem bergenre ini.

Review

Genre filem masa depan bukan suatu yang asing bagi pembikin filem Hollywood. Malah, Steven Spielberg antara pembikin yang popular dengen genre sebegini. Antara yang diingati, filem Minority Report dan juga Artificial Intelligence. Tak kurang juga kehebatan The Abyss dan juga filem-filem lain. Sejak kehebatan 3D menjengah pawagam, nampaknya filem futuristik makin tak nampak. Mungkinkah kita juga sudah berada di zaman yang pernah dipaparkan dalam filem-filem 90an dahulu?

Diadaptasi dari Eric Garcia's novel ' bertajuk Repossession Mambo', filem ini diarahkan oleh Miguel Sapochnik. Tidak mengenali siapakah gerangan sang direktor ini, namun hasil kerjanya tidak mengecewakan. Pengarah ini nampak berjaya mengadunkan elemen komedi, aksi dan juga drama yang bersulam cemas dengan baik. Babak aksi dan komedi nampak seimbang menjadikan filem ini mempunyai genre pelbagai yang sesuai ditonton. Keseluruhannya, Repo Men memang sebuah filem gred A yang dibarisi pelakon-pelakon Alice Braga, Forest Whitaker, Jude Law dan Liev Schreiber.


Plot cerita berlatar belakangkan satu masa depan dimana organ tiruan menjadi satu kebiasaan. Pada zaman ini, organ tiruan menggantikan bahagian manusia yang rosak dan harganya yang mahal dimudahkan dengan proses bayaran ansuran oleh syarikat pengeluar, 'The Union'. Di sinilah wujudnya Repo Men, orang yang akan datang mengambil semula organ tiruan daripada pemiliknya yang tidak membayar ansuran. Watak utama filem ini, Remy (Jude Law) adalah repo men profesional 'The Union'. Namun, dalam satu kejadian, jantungnya rosak dan telah diganti dengan jantung baru dari syarikatnya.

Di sini bermula masalah yang akan menjadikan filem ini menarik. Remy yang dahulunya 'pengutip organ' pemilik yang tidak bayar ansuran kini terpaksa menghadapi masalah yang sama. Remy, terpaksa menghadapi rakannya sendiri apabila dia sendiri menghadapi masalah untuk membayar ansuran jantungnya. Dibantu rakannya, Jake (Forest Whitaker), Remy mula mencari jalan untuk menyelesaikan masalahnya.

Secara keseluruhan, lakonan semuanya mantap-mantap. Jude Law memang menarik dan komedinya seimbang. Wataknya menjadi dan stabil. Forest Whitaker biasa saja. Namun, rasanya ini kali pertama penulis menyaksikan pelakon ini dalam genre aksi. Seingat penulis, gayanya sebagai polis dalam Phone Booth dan seorang pelancong dalam Vantage Point adalah gaya menarik yang pernah dilihat. Nampaknya, Whitaker memang serba boleh.


Aksi digarap kemas namun pada skala sederhana. Penggunaan objek seperti tukul, pisau dan gerjaji dalam aksi pertarungan nampak mengerikan tetapi digarap dengan koreografi cantik. Jadi, yang tak suka darah boleh tutup mata sekejap. Dunia masa depan juga digarap sederhana. Jangan mengharap anda melihat kereta terbang seperti Star Wars, apa yang anda akan lihat hanyalah keretapi terbang yang satunya mungkin benda yang terbang dalam filem ini.

Namun, kesimpulannya, genre sci-fi thriller yang kurang laris mungkin menenggelamkan filem ini. Tetapi, Repo Men masih menarik dengan aksi fresh dan juga tema yang bijak walaupun plotnya cukup sederhana. Ianya mungkin sesuai untuk peminat genre komedi gelap dan juga aksi thriller yang sederhana. Mungkin juga ianya untuk peminat filem yang mahu membawa filem ini ke luar panggung setelah selesai menontonnya. Kenapa? Penamat filem ini memang sesuatu yang perlu anda fikirkan... di pawagam 19 Ogos 2010.


No comments: