Sunday, July 4, 2010

Magika: Imaginasi Edry Hebat!

Berpeluang menonton filem Magika di Dewan Kapitol, Perlis pada 4 Julai 2010. Dewan Kapitol yang dahulunya sebuah panggung kini bergema dengan filem pertama yang ditayangkan setelah bergelar dewan selepas diambil alih oleh pihak Universiti Malaysia Perlis yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia. Setelah berbelas tahun tidak pernah jejakkan kaki ke dalam panggung itu, kini aku menjenguk kenangan panggung Kapitol bersama alam imaginasi Magika.

Review
Magika merupakan sebuah filem Edry Abdul Halim yang mengetengahkann konsep imaginasi dan campuran karakter rakyat yang dikenali ramai. Melihat pada poster, Magika nampak mirip seperti The Spiderwick Chronicles. Malah, jika digambarkan tanpa menonton filemnya, Magika nampak mirip seperti The Chronicles Of Narnia. Namun, sangkaan itu harus dibuang ke tepi kerana Magika bukan seperti itu. Ianya sebuah filem imaginasi yang cukup menarik dan lain daripada yang lain.

Ayu (Diana Danielle) mempunyai adik yang memberontak, Malik (Fimie Don). Disebabkan rajuk kisah silam, Malik lari ke hutan pada kala senja dan terjatuh ke dalam perigi lama. Ayu yang mengekori terjatuh ketika menyelamatkan Malik. Namun, mereka kini sudah berada di alam lain, Magika. Di alam fantasi itu, Malik diculik Nenek Kebayan (Ziana Zain) yang ingin kekayaan untuk jamu awet muda terbarunya. Kisah bermula apabila Ayu mengembara dibantu Badang (Mawi) mendapatkan adiknya dan juga keluar dari dunia Magika.

Pertama kalinya, geng Senario bersatu semula dalam karakter Hang Tuah dan sahabat

Alam Magika penuh dengan imaginasi Edry, mungkin. Edry nampak bijak menggarap karakter cerita dongeng dan rakyat menjadi satu filem yang mirip parodi, jika semua karakter2 ini mempunyai filem tersendiri. Khayalan Hang Tuah bercakap utara, Mahsuri bercakap Siam dan dibunuh Awang kerana menyangkakan Mahsuri itu Dayang, Pak Pandir dan Mak Andeh yang lucu, juga kejahatan Nenek Kebayan mencuri perhatian. Selain itu, Bawang Putih dan Bawang Merah, Orang Minyak menjual minyak Nenek Kebayan dan Penunggu Tasik Cini memang penyeri kepada filem ini.

Naratif Magika bermula pantas. Awal cerita, kita sudah ditunjukkan dengan pergaduhan Ayu dan Malik pada senja hari. Atas sebab apa mereka bergaduh, itu akan diimbau dari masa ke semasa. Tidak beberapa minit selepas bergaduh, alam Magika muncul. Plot nampak pantas disusun sehinggakan kejahatan Nenek Kebayan tidak jelas. Namun, lagu Rahsia Awet Muda memperjelaskan kejahatan Nenek Kebayan secara santai. Mungkin sebelum pergaduhan dua beradik ini, kalau ditunjukkan intro Nenek Kebayan yang inginkan seorang budak dari alam lain untuk dijadikan bahan awet mudanya, ia mungkin nampak lebih kemas dan jelas jalan penceritaannya.

Maya Karin sebagai puteri bunian

Keseluruhannya, plot nampak penuh dengan kepelbagaian karakter dengan kisah subplot tersendiri. Namun, cerita utama tidak terjejas dengan kehadiran subplot. Subplot yang lucu dan juga cameo yang pelbagai menarik perhatian. Laras dialog yang nampaknya moden dan santai dan percampuran gaya bahasa inggeris dan bahasa percakapan harian mungkin nampak tidak logik dalam alam Magika yang lebih kuno. Bayangkan Bendahara bercakap ttg barang seperti kasut berjenama yang hanya ada di dunia moden dalam dialek kelantan. Bayangkan Nenek Kebayan bercakap menggunakan bahasa melayu dengan sepatah dua bahasa inggeris Namun, laras bahasa inilah yang mempelbagaikan unsur jenaka dalam filem ni.

Filem ini penuh dengan lagu-lagu yang menyusuri penceritaan filem ini. Dari permulaan hingga tamat, filem ini penuh warna dengan pelbagai rentak lagu yang disesuaikan dengan keadaan. Nampaknya, filem ini seperti muzikal yang lebih sarat dengan lagu berbanding filem Hindi zaman 90an. Filem hindi selalunya tak sampai 10 lagu. Magika, lebih dari 10 lagu. Lagu-lagu dalam Magika mengembalikan kegemilangan filem muzikal komedi era P Ramlee. Cubaan kali ini berjaya mengimbau zaman filem hitam putih Malaysia itu. Keseluruhannya, lagu-lagu ciptaan Edry cukup sesuai dan penuh dengan mesej. Lagu Kita Bersaudara nyanyian KRU adalah satu trek yang memikat telinga. Dengan rentak acapella, Kita Bersaudara punyai mesej tersendiri.

Bawang Putih dan Bawang Merah, antara karakter menarik dalam Magika

Filem Magika dihiasi 15 lagu nyanyian pelakon filem ini sendiri. Trek Magika, dimulakan dengan lagu Magika dan Gebang nyanyian Maya Karin. Dengan visual yang memukau, trek ini membuatkan penonton tertumpu kepada layar. Memang superb dan fantastik. Kehilangan, trek nyanyian Mawi dan Diana Danielle adalah antara trek yang menangkap hati para penonton. Di sini dapat dirasakan babak permulaan kisah antara Badang dan Ayu. Trek Rahsia Awet Muda nyanyian Ziana Zain penuh komedi. Lagu Naga Tasik Chini nyanyian M Nasir, Diana Danielle dan Fimie Don penuh kekuatan. Filem diakhiri dengan Penyembuh Rindu nyanyian Diana Danielle dan Mawi sebelum kredit filem diadun dengan Selamat Tinggal Magika nyanyian barisan pelakon Magika.

Dengan barisan pelakon yang ramai, jalan cerita yang penuh dengan karakter yang pelbagai digarap dengan baik. Setiap subplot digabung jalin dengan baik. Namun, antara yang tidak dapat diperjelaskan adalah kata-kata Pak Pandir yang berlainan dengan kata-kata Badang. Pada awal filem, Pak Pandir menyatakan bahawa ada 7 pintu keluar dari Magika dan pintu terdekat adalah di Batu Belah Batu Bertangkup yang terletak di Tasik Chini. Namun, di rumah Badang, Badang menyatakan bahawa itu saja satu-satunya jalan untuk keluar dari Magika dan walaupun ia berbahaya, ia mesti ditempuh untuk pulang. Namun, seperti kata Badang "dengan kuasa imaginasi, semua boleh berlaku", jadi abaikan saja.

cameo Pak Belalang dan anaknya penuh dialog lucu

CGI digarap baik. Penonton boleh terpukau dengan setting tempat tinggal Puteri Gunung Ledang dan juga tempat tinggal Nenek Kebayan yang digambarkan secara wide-shoot. Memang menarik dan cukup teliti. Walaubagaimanapun, ada juga beberapa babak yang nampak tidak digabungjalin dengan baik antara babak full CGI dengan half CGI. Contohnya, babak rumah nenek kebayan yang terletak di sebuah pulau batu yang berumput dan dihubungkan titian gantung. Semasa adegan Badang menyelamatkan Malik, padang rumput di hadapan rumah Nenek Kebayan nampak luas dan tidak ada pula pandangan bahawa rumah Nenek Kebayan di tengah pulau.

Selain tu, babak jambatan yang menghubungkan Tasik Chini nampak berserabut. Walaupun adegan akhir itu dipenuhi aksi hebat, beberapa masalah CGI nampak mencacatkan adegan akhir. Babak jambatan itu terbina dengan sendiri adalah menarik. Masa ini, hanya Malik dan Badang saja yang nampak jambatan. Selepas beberpa ketika, dengan kuasa imaginasi Ayu, jambatan terbentuk sendiri. Namun, jika jambatan itu baru terbina, bagaimana Malik dan Badang boleh nampak dahulu sebelum Ayu nampak? Kenapa babak ini tidak diperjelaskan dengan adegan Badang dan Malik berjalan saja di atas jambatan imaginasi dan meminta Ayu membayangkannya sebelum berjalan di atas jambatan? Namun, pujian harus diberikan kerana visual effect yang cukup menakjubkan.

Cameo Nabil melucukan sebagai orang minyak yang menjual minyak

Pelakon-pelakon Magika memang terbaik. Pemilihan Ziana Zain, Ning Baizura, Raja Azura, Nabil, dan ramai lagi cameo memang menceriakan dunia Magika.Lakonan Mawi menyerlah. Jin Notti hanyalah picisan jika dibandingkan dengan Magika. Dapat dirasakan bahawa Mawi menghayati lakonannya dengan baik. Atau mungkinkah kerana lagu-lagu muzikal ini yang membantu lakonan Mawi? Mungkin ya. Diana Danielle juga ok. Lakonan yang cukup meyakinkan. Fimie Don sudah dapat dijangka. Lakonannya dalam Hikayat Putera Shazlan membantu lakonannya dalam filem ini. Kehadiran Jalaluddin Hassan dan juga Ogy Ahmad Daud memberikan satu lakonan beremosi kepada penonton.

Keseluruhannya, Magika adalah sebuah filem imaginasi. Ianya setanding The Chronicles Of Narnia, The Spiderwick Chronicles dan filem fantasi hollywood yang lain. Tak perlu lagi mengatakan filem kita teruk kerana KRU Pictures sudah membuktikan bahawa dengan imaginasi, filem kita juga boleh setanding dengan filem luar. Magika adalah alam fantasi yang sesuai ditonton oleh semua lapisan umur. Tonton dengan minda terbuka. Abaikan logik kerana imaginasi boleh melangkau apa saja batasan. Disebalik Magika, terselit pelbagai mesej yang sesuai untuk penonton cilik juga dewasa.

Apapun, saksikan Magika di pawagam September 2010. - CikguMan

20 comments:

Anonymous said...

cam best jgak...

Anonymous said...

menarik ulasan ni. camna nak email hang?

Anonymous said...

Hello,
Terima kasih kerana dtg menonton filem Magika :) and thank you very much for your feedback n review. Saya ada attached link blog ini di page saya juga. Take care and keep the great reviews coming ;)

-Diana Danielle

OrAng_PeRLiS_mEnULiS said...

anonymous 1: mmg best

anonymous 2: khai_786@yahoo.com

anonymous 3 a.k.a diana danielle: firstly, mmg x caya ni DD.. but when i saw my link on your fb fanpage, waaargh... i can't believe it. It's you. Thanks for attaching it on your FB...

Kniedaz said...

macam best..boleh bawa anak2 menonton

OrAng_PeRLiS_mEnULiS said...

kniedaz: sesuai untuk semua lapisan masyarakat

FyZa said...

cita nie nmpk menarik dgn barisan pelakon yg bkn calang2..x sabar nk tgk..;)

OrAng_PeRLiS_mEnULiS said...

fyza: nantikan yer...

OrAng_PeRLiS_mEnULiS said...

fyza: nantikan yer...

azam said...

cerita ringan yang harus ditonton bukan macam cerita mamak lineclear hahah

OrAng_PeRLiS_mEnULiS said...

azam: ahahaha

bukan penggoda said...

xley ltk anon, tp apesal ada je anon yg sesat kt sini? hihi.

ohh. mcm best je cte magika ni. and terase mcm nk jgk artis dtg komen kt blog. ekekekekeke.

Zikr the Jalanan Sepi Perantau said...

wah tak tengok lagi cerita nie...

OrAng_PeRLiS_mEnULiS said...

zikr n x penggoda: september ini yer

MyCerita! said...

mcm best..
nanti aku buat review pasal grafik lak :D

wawan said...

kena tengok niiii

aiDieNa said...

Salam.. mohon izin copy review anda tentang filem ini.. saya akan backlink kan ur blog.. :)

Macam seronok.. tak sabar nak tengok..

OrAng_PeRLiS_mEnULiS said...

mycerita: silakan

wawan: pasti!

aiDiena: silakan.. terima kasih

suzie rahman said...

wah best..sape nk blnjer ni..hihi

apik pehe said...

hehehe..apik nk try g tengok la..