Saturday, July 31, 2010

4 Madu: Plot Mendatar, Konsep Menarik

Menyelami dunia poligami dalam Auditorium UPSI, 30 Julai 2010 memberikan satu pengalaman yang tuuut... x tau nak cakap. Namun, ianya bukan pengalaman menarik, tetapi taklah juga tidak menarik. Berpeluang menonton tayangan filem terbaru pengarah Prof A. Razak Mohaideen, '4 Madu' pada jam 8.30 mlm, dan di akhir filem, aku hanya mampu berkata 'thanks god filem ni ditayangkan di auditorium dengan separuh harga tiket wayang'.

Review

Siapa yang tak kenal dengan pengarah berpangkat Prof Madya A. Razak Mohaideen, pengarah yang selalu tampil dengan pelbagai idea yang sederhana dan cerita yang santai. Filem bertema Anak Mami aku boleh kategorikan antara filem terbaiknya. Lawak menjadi, plot santai dan tak mendatar, cukup menghiburkan, juga penuh dengan moral yang sesuai. Menonton Nana Tanjung, Anak Mami, mahupun Mami Jarum adalah satu kepuasan buat penonton. Filem sebegini adalah jiwa pengarah ini, dan penonton mampu untuk menyerap aura filem-filem berkonsep ini.

Gandingan 'basi', Apek dan Fasha Sandha

Beberapa tahun dahulu, pengarah cuba keluar dari kepompong dengan mencuba satu tema berbeza. Pada masa itu, tema poligami masih dianggap tabu kerana ianya satu yang sensitif terutama kepada Muslim. Namun, 'Otai', filem yang bertema sebegini diterima dan mungkin juga daripada kejayaan ini, Prof Razak sekali lagi mencuba tema yang sama dalam filem terbarunya yang akan ditayangkan di pawagam pada hari raya ini, '4 Madu'.

'4 Madu' mengisahkan dua adik beradik, Azrul dan Azlan, adik beradik tiri berlainan ibu yang mempunyai karier berbeza. Tangan pencerita menentukan bahawa dua adik beradik ini akan menerima sejumlah wang wasiat daripada harta peninggalan ayah mereka jika syarat-syarat dipenuhi. Syaratnya, mereka perlu menikahi seorang isteri pada 4 tahap cabaran. Setiap isteri yang dicari mempunyai kriteria tertentu yang perlu dipenuhi. Dalam masa 3 minggu, mereka perlu mencari 4 orang isteri sebelum mereka mendapat wang wasiat bernilai jutaan ringgit itu.

Secara keseluruhannya, cerita nampak santai. Ianya senang difahami dan memang ringan untuk penggemar filem yang mahu merelaks otak. Namun, teknik olahan penceritaan agak mendatar sehinggakan hilang mood dan point yang ingin diceritakan. Tersedar di sini bahawa filem ini mempunyai banyak babak yang panjang dan berjela-jela sehinggakan isi yang ingin disampaikan tenggelam dan membuatkan penonton bertanya rasional babak yang direka.

Tarikan filem ini, Apek dalam dua karakter berbeza

Dari aspek positif, teknik ala realiti tv menarik, namun masih banyak usaha perlu dipertingkatkan. Keseluruhannya, filem ini mendatar sangat-sangat dan tak ada babak yang intense. Persoalannya di sini, apa yang ingin disampaikan oleh pengarah dalam filem ini? Isu poligami dan juga wasiat yang perlu dipenuhi? Ianya menarik dan cukup sesuai untuk filem komedi yang berlandaskan topik berat. Tetapi, garapan nampak lewah dan menenggelamkan point yang ingin diutarakan. Penjelasan di akhir filem tidak kukuh. Ianya nampak seperti satu ending yang mahu dicepatkan sehingga mengabaikan kepentingan plot.

Selain itu, teknik pemotongan frame (betulkan kalau salah istilah), dimana dua frame ditunjukkan dalam satu frame nampak seperti kaedah tipikal. Dalam beberapa babak, untuk mewujudkan adegan dua karakter Apek dalam satu bingkai, frame itu dibahagi dua dan dilakonkan dalam dua syot berlainan. Secara senangnya, pengarah nampak mengambil babak mudah dan senang tanpa menggunakan teknik CGI atau 'blue screen' yang sekarang sudah banyak digunakan. Namun, semua nampak ok. Namun, di babak akhir, penulis perasan pemotongan frame di kiri dan kanan (untuk nampakkan Azrul dan Azlan dalam satu frame) nampak tidak sempurna. Warna kerusi nampak berbeza kerana kecuaian dalam pencahayaan. Malah, payung di atas meja juga mempunyai kontra warna yang berbeza. Nasib baik tak ada objek hilang dalam babak-babak itu.

Penampilan Dato' Rahim Razali, membosankan

Jujurnya menyukai babak kredit di awal filem, rasanya itu saja babak yang boleh membuatkan penonton terperangkap seketika sebelum kembali terlopong dan menutup mata, mahupun tersembam ke dalam bekas popcorn. Watak Fasha Sandha, Ros tidak dijelaskan dengan baik. Talian cinta antara Azlan dan Ros nampak tak kukuh. Watak Ros hanya dihiasi dialog manja yang kadangkala nampak 'gedik'. Namun, penulis masih beranggapan positif kerana ianya mungkin karakter yang mahu dilakar pengarah.

Penulis tidak merasakan bahawa filem ini bertindak memerli mana mana kaum special mahupun apa saja identiti manusia. '4 Madu' menarik dari satu sudut yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sedar atau tidak, filem ini menggandingkan pelbagai dialek dari seluruh pelusuk Malaysia. Apa yang anda fikirkan? Ya, '4 Madu' menekankan konsep satu Malaysia. Idea kreatif dan menarik dan sesuai dengan peredaran zaman. Namun, sekali lagi, diulang bahawa plot yang mendatar tidak mampu membantu filem ini dalam hal ini.

Sekali lagi, pengarah nampak terpengaruh dengan gaya yang telah dicuba dalam filem 'Otai'. Sekali lagi juga, pengarah masih nampak mamat kurus ini saja untuk ditampilakan dalam filem yang sama. Malah, penulis menyimpulkan, kalau ianya bukan bertajuk '4 Madu' ianya patut dinamakan 'Otai 2: 4 Madu'. Manakan tidak, Saiful Apek memegang dua karakter, tema poligami, syarat-syarat yang mesti dipenuhi dan beberapa aspek minor yang nampak hampir sama membuatkan ianya nampak seperti olahan semula 'Otai'.

Lakonan Bienda, antara karakter yang menyerlah

Apapun, lakonan Saiful Apek biasa. Masih berada pada tahap yang sama. Memegang dua karakter dalam satu filem bukan kerja senang. Dan, Apek hanya boleh dianggap sederhana saja dalam dua karakter yang dilakonkan dalam filem ini. Watak Azrul dan Azlan yang berlainan ibu pada mulanya nampak berbeza, namun apabila semakin lama masuk ke dalam filem, kita hanya mampu membezakan Azrul dan Azlan hanya pada rambut mereka, bukan lagi pada karakter mereka.

Dalam banyak-banyak isteri yang ditayangkan dalam filem ini, watak Rosnah Mat Aris paling menonjol. Lakonan Bienda juga tidak mengecewakan. Namun, Shazzy Falak nampak tidak terlalu menonjol. Isteri-isteri yang lain biasa saja. Secara keseluruhannya, dengan konsep realiti yang cuba ditampilkan, lakonan nampak sesuai saja dengan keadaan cerita yang ingin digambarkan. Lakonan Rozita Che Wan juga tenggelam. Tiada babak menarik dan lakonannya hambar. Babak akhirnya, sewaktu dia bersama dengan Azrul pun nampak tidak terlalu emosional dan tidak beremosi.

Ending filem nampak seperti terlalu tergesa-gesa. Hasilnya, filem ini mempunyai ending yang tidak memberikan impak. Tidak juga pada emosi, tiada impak langsung pada jiwa dan juga lawak, malah tiada impak langsung pada apa apa keadaan. Nampak seperti filem ini mahu cepat habis. Tiada babak yang memerangkap penonton di akhir filem membuatkan penonton tergamam. Persoalannya, di akhir filem, perlukah ada satu babak lecture yang berjela untuk menerangkan kenapa arwah bapa mereka memberikan tugasan sedemikian? Bukankah itu lebih baik kalau objektif tugasan ini diletakkan sebagai set induksi (dengan penggunaan flash back) pada awal filem?

3 isteri Azrul dalam satu babak '4 Madu'

Secara implisit, '4 Madu' penuh mesej. Tetapi, penulis tidak yakin bahawa mesej itu akan sampai jika sekali lagi disebutkan, filem ini mempunyai plot mendatar. Apa yang cuba disampaikan cukup menarik. Ya, ianya sinikal buat manusia yang menilai cinta dari paras rupa. Ya juga, ia sinikal buat para suami yang mempunyai isteri lebih dari satu. Ya dan semestinya, ia juga sinikal buat para isteri yang mata duitan. Secara implisit, pengarah cuba mengiaskan isu poligami dalam satu penceritaan yang santai. Itu saja yang membezakan filem '4 Madu' dari 'Otai'.

Apapun, '4 Madu' akan ditayangkan di pawagam Hari Raya Aidilfitri nanti. Mungkin ini boleh dijadikan sebab untuk menonton filem ini, satu, filem ini ada isu poligami dalam versi yang belum pernah dicuba. Dua, filem ini mempunyai 8 isteri dalam karakter berbeza. Dan ketiga, filem ini memberi peluang kepada penonton untuk melihat karakter satu Malaysia dalam satu filem. Owh, satu lagi, filem ini memberip perspektif baru dalam isu poligami.

Ramalan penulis, filem ini mungkin menerima kutipan sederhana dan tidak membanggakan. Pertarungan sengit antara gergasi besar, KRU Pictures dengan filem skala besarnya, Magika (yang sudah melebarkan auranya, walaupun ditayangkan dua minggu selepas '4 Madu') membuatkan filem '4 Madu' mungkin tenggelam dalam dunia fantasi Magika. Selamat tinggal madu-madu, Syawal ini mungkinkah alam magika atau alam madu pilihan anda? Nilai dan pilih sendiri. Da.. - CikguMan

1 comment:

ozzy said...

salam..
Rasanya filem A.Razak M ini agak klise dgn tema yg hampir sama, mungkin dah kekurangan idea..barisan pelakon juga muka yg hampir sama ..kdg2 filem yg ditayangkan juga hanya layak dibuat drama
Pengarah baru spt syamsul & farid kamil agak berani dgn menampilkan filem yg lebih berkualiti